15 Februari 2024, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagai seorang bapa kepada dua orang anak kembar perempuan yang berusia dua tahun setengah, agak sukar untuk penulis membuatkan anak-anak penulis fokus dan bersemangat terhadap pelbagai aktiviti di rumah seperti belajar mengenal huruf, bermain dengan pelbagai alatan mainan dan melakukan aktiviti fizikal.

Namun begitu, perkara sebaliknya berlaku apabila penulis melihat mereka begitu khusyuk dan fokus apabila menonton rancangan kartun. Tumpuan mereka terhadap kartun menjadikan penulis tertanya-tanya apakah ramuan ajaib yang terkandung dalam kartun sehingga mereka boleh “melekat” di hadapan kaca televisyen?

Pertamanya, penulis menelusuri teori yang mendasari kartun sehinggakan begitu berjaya memukau kanak-kanak. Penulis percaya satu daripadanya ialah teori kemampuan mereka untuk menangkap imaginasi kanak-kanak.

Kartun merupakan bentuk ekspresi kreatif, penuh dengan warna yang sangat ketara, cerita yang menarik dan kepelbagaian watak yang unik yang kanak-kanak boleh merasakan kaitan dan hubungan dengannya. Kartun menyerlahkan suatu pengalaman dan persekitaran yang berlainan daripada realiti serta menggambarkan dunia alternatif yang boleh membuat kanak-kanak leka dan teruja untuk meneroka.

Kartun juga memberikan persekitaran yang selamat bagi kanak-kanak untuk belajar sesuatu pengajaran yang berharga. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan program kartun di televisyen direka bentuk dan dibangunkan untuk mengajar erti kehidupan secara menghiburkan. Kartun juga mempunyai unsur lucu yang boleh dirasai dan mencuit hati kanak-kanak.

Kesemua faktor ini bersatu untuk menjadikan kartun sebagai bentuk hiburan yang menarik terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak pada peringkat umur yang berbeza mempunyai kegemaran tertentu apabila melibatkan kartun. Hal ini disebabkan oleh kartun yang direka adalah untuk memenuhi keperluan khusus kanak-kanak pada peringkat perkembangan yang berbeza.

Teori Piaget yang memberikan penekanan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak terus dikaji dalam bidang psikologi, sosiologi dan pendidikan. Teori berkenaan memberikan banyak sumbangan kepada pemahaman manusia tentang perkembangan kognitif kanak-kanak.

Kanak-kanak yang berusia antara 0 bulan hingga 24 bulan akan mengalami peringkat deria motor. Deria dan tindakan mereka boleh berkembang melalui yang mereka lihat. Semasa peringkat praoperasional yang berlaku antara dua tahun hingga tujuh tahun pula, kanak-kanak memperoleh perkembangan kemahiran bahasa dan kemahiran berfikir.

Piaget menegaskan bahawa perkembangan kognitif perlu mengikut urutan dan tidak boleh dilangkau. Setiap peringkat menggambarkan  kemampuan intelektual baharu dan pemahaman dunia yang lebih kompleks. Satu kajian tempatan mengaitkan bagaimana Teori Piaget selari dengan kandungan satu daripada animasi tempatan yang banyak membuka mata banyak pihak, iaitu melalui siri animasi Upin & Ipin.

Disebabkan itu, kanak-kanak lebih cenderung untuk menonton kartun yang direka khas untuk kumpulan umur mereka berbanding dengan kartun yang ditujukan kepada kanak-kanak yang lebih dewasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kartun untuk kanak-kanak kecil lazimnya bersifat asas dan tidak rumit untuk difahami berbanding dengan kartun untuk kanak-kanak yang lebih besar.

Kanak-kanak juga suka akan kesederhanaan kartun dan mempelajari perkara baharu daripada mereka. Andainya ibu bapa inginkan anak-anak mempelajari kemahiran asas kehidupan, maka kartun  merupakan satu daripada pilihan yang baik untuk perkembangan kanak-kanak. Kartun juga sangat baik untuk membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran bahasa dan sosial mereka.

Menurut Teori Peniruan yang diperkenalkan oleh seorang ahli psikologi kanak-kanak, Albert Bandura, kanak-kanak belajar dengan meniru apa-apa yang dilihat daripada persekitaran mereka. Mereka tidak hanya meniru ibu bapa mereka, malah kanak-kanak juga cenderung untuk meniru watak daripada rancangan televisyen dan kartun kegemaran mereka. Misalnya, dalam konteks anak-anak penulis, penulis terhibur melihat keletah mereka meniru gaya dalam kartun bertemakan lagu Head, Shoulders, Knees & Toes.

Penulis juga sering tertanya-tanya mengapakah anak-anak tidak suka dengan filem dan drama yang melibatkan dunia realiti selain daripada kartun? Sering juga iklan terpapar di tengah-tengah rancangan kartun tertentu, namun tumpuan mereka hilang serta-merta. Penulis berpendapat bahawa hal ini adalah disebabkan oleh sifat kartun yang tidak terlalu matang dan sederhana yang menjadikannya menarik kepada kanak-kanak.

Selain itu, tahap tumpuan kanak-kanak juga lebih pendek dan atas faktor tersebut, kartun dilihat lebih menarik berbanding dengan filem yang lumrahnya untuk golongan dewasa. Selain itu, tempoh kartun yang lebih pendek dan mengandungi lebih banyak aksi dapat menarik tumpuan mereka. Kartun turut memberikan lebih banyak elemen yang menggambarkan kreativiti berbanding dengan video yang melibatkan dunia realiti.

Kanak-kanak juga lebih tertarik kepada rancangan yang mereka rasa terdapatnya kaitan terhadap sesuatu. Oleh itu, watak dalam kartun sering kali merupakan kanak-kanak sendiri, haiwan, makhluk atau kenderaan yang bertindak seperti kanak-kanak. Kanak-kanak tertarik apabila kartun mengandungi tema-tema yang sesuai dengan perkembangan mereka seperti menjadi kawan yang baik, menjadi seorang doktor atau puteri, terbang dengan kapal terbang atau pergi ke angkasa.

Pembangun rancangan kartun pastinya mengambil kira kumpulan umur sasaran kerana kumpulan umur yang berbeza akan mempunyai minat dan keutamaan yang berbeza. Mereka juga mempertimbangkan aspek pendidikan kartun kerana kanak-kanak belajar dengan baik apabila maklumat disampaikan kepada mereka dengan cara yang menghiburkan.

Pengkarya kartun juga menumpukan kepada penciptaan watak yang mudah diingati dan dapat dirasakan oleh kanak-kanak. Mereka memilih cerita dengan plot yang jelas dan penyelesaian yang bermakna. Akhirnya, dalam proses penerbitan, mereka memilih warna yang “hidup” dan bercahaya dengan reka bentuk visual dan reka bunyi yang menarik perhatian.

Ahli psikologi kanak-kanak percaya bahawa satu daripada faktor kanak-kanak tertarik kepada kartun adalah disebabkan oleh visual yang dipaparkan membantu kanak-kanak untuk memproses emosi mereka secara selamat dan menghiburkan. Kanak-kanak juga tidak takut untuk menyatakan perasaan mereka. Namun begitu, kadangkala mereka juga bimbang akan dihakimi, terutamanya oleh ibu bapa. Menurut ahli psikologi, kartun membolehkan kanak-kanak mengawal emosi mereka tanpa takut dihakimi.

Sebagai bapa, penulis bertanggungjawab untuk tidak membiarkan anak-anak daripada terus hanyut dan leka menonton kartun. Hal ini penting untuk pembangunan dan perkembangan keseluruhan mereka pada fasa awal kanak-kanak.

Ibu bapa juga perlu mengehadkan masa tontonan kartun di televisyen, telefon, tablet dan komputer. Pakar kesihatan kanak-kanak menasihatkan ibu bapa supaya tidak mendedahkan bayi di bawah dua tahun kepada skrin televisyen. Mereka juga mencadangkan bahawa kanak-kanak yang berusia dua tahun hingga lima tahun, mereka sepatutnya dihadkan untuk menonton televisyen tidak lebih daripada satu jam pada setiap hari.

Bagi kanak-kanak yang berusia lima tahun dan ke atas, pakar kanak-kanak mencadangkan tempoh maksimum selama dua jam pada setiap hari untuk menonton televisyen. Hal ini penting kerana semakin lama kanak-kanak meluangkan masa dengan skrin, semakin tinggi risiko mereka untuk mengalami ketagihan skrin.

Tuntasnya, kartun bersifat sederhana, penuh aksi dan penuh dengan jenaka. Menonton rancangan kartun juga sangat baik untuk membantu kanak-kanak menguruskan emosi mereka, mempelajari perkara baharu dan meneroka imaginasi.

Kartun penuh dengan kreativiti dan imaginasi yang tidak dimiliki oleh bentuk media lain. Faktor itulah yang menjadikan kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur untuk menggemari kartun. Walaupun begitu, hal ini tidak bermakna mereka boleh menghabiskan sepanjang hari menontonnya. Kanak-kanak perlu dikawal masa yang diperuntukkan kepada mereka untuk menonton kartun walaupun kartun mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

 

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.