14 Februari 2024, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan mengelakkan berlakunya kebakaran hutan paya gambut.

Selain memulihara sumber, projek SMPEM juga dijalankan untuk menguruskan tanah gambut secara mampan dan bersepadu serta menjana faedah kepada generasi pada masa ini dan masa hadapan melalui pendekatan secara holistik dengan memperkasakan tatakelola institusi, meningkatkan koordinasi antara agensi dan pelibatan daripada masyarakat setempat.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media, fenomena El Nino dijangka akan menyebabkan Malaysia mengalami keadaan cuaca kering dan peningkatan kebakaran tanah gambut di seluruh negara berkemungkinan berlaku, sekali gus berisiko mengakibatkan jerebu dan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera.

Tambah beliau, insiden kebakaran hutan paya gambut dapat dikawal dan dikurangkan menerusi projek SMPEM dan Projek Pengurusan dan Konservasi Hutan Simpan Paya Gambut dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2023, insiden kebakaran hutan paya gambut di Semenanjung Malaysia hanya melibatkan keluasan sebanyak 25.2 hektar berbanding dengan seluas 385.2 hektar pada tahun 2020.

Keluasan kebakaran hutan paya gambut di Selangor dan Pahang pada tahun 2020 juga masing-masing adalah 160 hektar dan 171.7 hektar dan telah berkurangan kepada 6.9 hektar dan 2.1 hektar pada tahun 2023.

Ujar beliau, pengemaskinian Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan merupakan satu daripada aktiviti utama projek berkenaan yang berperanan dalam memandu pelaksanaan pengurusan tanah gambut secara mampan, mencegah kemerosotan dan kebakaran hutan serta memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

Projek SMPEM telah bermula pada Disember 2020 dan melibatkan lima landskap tanah gambut di Sabah, Sarawak, Pahang dan Selangor.

Di bawah projek SMPEM, aktiviti pencegahan kebakaran tanah gambut dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dijalankan dan melibatkan latihan kepada kakitangan jabatan perhutanan negeri dan komuniti setempat, pembelian peralatan pengawalan kebakaran hutan, menjalankan aktiviti kesedaran kepentingan tanah gambut, program restorasi hutan paya gambut serta pemantauan paras air di dalam tanah gambut.

Kerjasama kolektif daripada pelbagai pihak perlu diperkukuh untuk memulihara dan memelihara ekosistem tanah gambut demi kebaikan generasi kini dan akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.