13 Februari 2024, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut laporan firma Precedence Research, nilai pasaran teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI) diunjurkan mencecah AS$1.6 trilion dolar menjelang tahun 2030. Unjuran ini menunjukkan bahawa besarnya peranan AI dalam memacu inovasi dan ekonomi digital dunia pada masa hadapan. AI juga kini menjadi titik fokus utama dalam landasan ekonomi digital global.

 

Potensi Tidak Terbatas

Daripada automasi industri dalam bidang pembuatan hinggalah penggunaan aplikasi pintar yang memudahkan kehidupan seharian manusia, AI menunjukkan potensinya yang tidak terbatas. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh European Union Agency for Law Enforcement Cooperation, menjelang tahun 2026, sebanyak 90 peratus kandungan dalam talian akan dihasilkan secara sintetik oleh aplikasi AI generatif (generative AI).

Selain itu, AI juga digunakan dalam pelbagai industri lain. Sektor pertanian misalnya menyaksikan transformasi penggunaan teknologi analitis data pintar untuk meningkatkan hasil tanaman. Penggunaan dron yang dilengkapi dengan sistem pengesanan pintar digunakan untuk memantau keadaan tanah dan kesuburan tanaman. Data ini juga memudahkan peladang untuk mengatur jadual penyiraman dan penggunaan baja dengan lebih berkesan. Hasilnya pulangannya juga dilaporkan meningkat sebanyak dua kali ganda.

Sementara itu, sektor perbankan memanfaatkan AI dalam menganalisis trend kewangan. Selain itu, penggunaan chatbot yang menjawab pertanyaan pelanggan secara masa nyata juga menjadi norma baharu interaksi dalam sektor perbankan. Kelebihan ini dilihat mengurangkan beban kerja manual selain meningkatkan kecekapan operasi.

Selain itu, sistem AI digunakan dengan meluas dalam bidang perubatan. Teknologi ini bukan hanya dapat meningkatkan kualiti rawatan, malah dalam kesiapsiagaan perubatan. Teknologi ini juga memungkinkan diagnosis yang lebih cepat dan tepat di samping memberikan peluang kepada para doktor untuk mengenal pasti masalah kesihatan sebelum melarat. AI juga dapat memastikan maklumat berkaitan dengan pesakit dapat diakses dengan mudah dan cepat.

Inisiatif Bijak Perkasa Rakyat

Program AI untuk Rakyat membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh asas literasi digital negara, sekali gus dapat membina masyarakat yang lebih bermaklumat, cekap dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Program inovatif ini telah dilancarkan dengan penuh gemilang oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 16 Januari 2024 sebagai satu daripada langkah proaktif ke arah memperkasakan rakyat Malaysia untuk celik AI. Inisiatif program pembelajaran secara percuma ini ditawarkan dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Program pembelajaran secara dalam talian ini juga dapat diselesaikan dalam masa kira-kira empat jam.

Keistimewaan program ini terletak pada jangkauan yang meluas yang memberikan capaian kepada setiap individu tanpa mengira lokasi geografi atau latar belakang sosioekonomi. Setiap modul pembelajaran dirancang untuk membangkitkan nyala rasa kepada setiap individu untuk mendalami ilmu AI. Program ini juga dijangka menjanjikan lonjakan paradigma dalam peningkatan kadar literasi AI negara.

Oleh hal yang demikian, untuk memastikan masyarakat di negara ini tidak ketinggalan dalam revolusi AI global, kerajaan mengambil langkah proaktif melalui pelancaran program digital ini. Usaha ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memacu inovasi dan kecemerlangan digital dalam kalangan rakyatnya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia harus juga bergerak laju seiring perkembangan pantas teknologi AI. Jika tidak, kita berisiko terpinggir daripada arus kemajuan AI yang tampak rancak di seluruh pelosok dunia.

Selain itu, program ini juga bermatlamat mengembang penguasaan AI dalam kalangan masyarakat umum. Program berbentuk pembelajaran kendiri ini dilihat sebagai kunci yang akan membuka peti khazanah ilmu baharu berkaitan AI.

Apatah lagi kini kita berada di ambang revolusi teknologi digital, AI merupakan komponen kritikal yang akan menentukan masa depan negara. Oleh sebab itu, sebagai pengguna teknologi AI, sudah tiba masanya untuk kita turut serta dalam mencoret kanvas pembangunan AI negara.

Memang itulah tujuan program ini dibangunkan, iaitu bagi memastikan dalam dada setiap warga Malaysia tersematnya pengetahuan asas AI. Hanya dengan pengetahuan asas ini barulah kita mampu mendepani hembusan angin revolusi yang dibawa oleh AI.

Program AI untuk Rakyat menawarkan dua modul berkaitan kesedaran AI (AI Aware) dan hargai AI (AI Appreciate). Dengan pendekatan pembelajaran mudah dan interaksi menarik, program ini membuka peluang kepada semua untuk belajar secara santai dari komputer riba atau telefon pintar masing-masing.

Antara perkara yang penting dalam hal ini termasuklah pendemokrasian ilmu AI. Setiap orang wajar diberikan peluang untuk menguasai AI secara percuma. Belum lagi kita berbicara tentang penciptaan berasaskan aplikasi AI oleh rakyat Malaysia (yang mungkin dapat dibilang dengan jari). Setakat ini kita boleh berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pengguna AI. Namun demikian, kita masih belum mampu lagi untuk menjadi pencipta aplikasi AI.

Maka itu, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan agar memastikan rakyat di negara ini tidak hanya menjadi pengguna teknologi tetapi juga sebagai pencipta teknologi. Atas sebab itulah kerajaan tampak begitu berselera dengan sasaran KPI sebanyak satu juta peserta bagi program ini sehingga akhir tahun 2024.

Memperkukuh Ekosistem Digital Negara

Sehubungan itu, dalam usaha mempertingkat literasi AI dalam kalangan rakyat, Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Tuan Mohd Rafizi Ramli menyeru semua warganegara memanfaatkan peluang yang disediakan melalui program ini. Beliau menekankan penguasaan dan pemahaman tentang teknologi AI adalah kritikal dalam melayari cabaran arus digital.

Bagi menjayakan program ini, mustahak bagi rakyat Malaysia untuk berganding bahu dan bekerjasama. Agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti semuanya memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem digital negara.

Sebagai bangsa Malaysia, kita juga dipanggil untuk bersama-sama menyongsong era baharu ini. AI untuk Rakyat bukan hanya tentang mempersiapkan individu untuk masa hadapan, malah tentang melakar kembali naratif kemajuan negara dengan menjadikan AI sebagai enjin utama.

Pelibatan orang ramai dalam transformasi ulung ini akan membawa Malaysia ke puncak pembangunan menerusi inovasi digital. Buktikan kepada dunia kecerdasan bangsa kita dalam memanfaatkan AI demi kemakmuran bersama. Dengan visi kerajaan yang jelas, masa hadapan kemajuan digital negara bukan hanya sekadar angan-angan Mat Jenin.

Dalam langkah menuju transformasi digital, inisiatif ini bukan sekadar mempersiapkan rakyat untuk masa hadapan AI, malah membuka jendela baharu yang akan membawa kemakmuran dan kemajuan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana penguasaan terhadap AI bukan lagi pilihan tetapi sudah menjadi keperluan. Inisiatif AI untuk Rakyat juga membuka pintu kepada peluang baharu berasaskan ekonomi digital yang diyakini dapat mengukir senyuman pada bibir lebih 33 juta warga Malaysia.

Oleh hal yang demikian, marilah kita sama-sama membina negara yang tidak hanya maju secara teknologi tetapi juga sejahtera dan bersifat inklusif untuk semua. Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai peluang yang unik untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan digital ini. Dengan menyertai Program AI untuk Rakyat, kita bukan sahaja meningkatkan kefahaman tentang AI, malah membantu dalam mencanting corak masa hadapan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.