13 Februari 2024, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Produk kosmetik semula jadi yang semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan semakin banyak produk ini dijual dalam pasaran. Hal ini juga didorong oleh teknik pemasaran yang meluas dan kaedah penjualan secara dalam talian yang lebih mudah diakses.

Secara umumnya, kosmetik semula jadi merupakan produk kosmetik yang berasaskan sumber tumbuh-tumbuhan dan tidak dicampurkan dengan sebarang bahan kimia atau sintetik. Persoalannya, adakah produk kosmetik semula jadi benar-benar asli dan selamat untuk digunakan?

Definisi Kosmetik dan Keperluan Notifikasi

Menurut Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia, produk kosmetik ditakrifkan sebagai produk yang digunakan pada bahagian luaran badan manusia (kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin), gigi atau membran mukosa mulut dengan beberapa tujuan utama. Antaranya termasuklah untuk membersih, mewangi, mengubah rupa, memperbaik bau badan, serta melindungi atau mengekalkan bahagian badan tersebut dalam keadaan baik.

Berdasarkan definisi tersebut, produk seperti losen, sabun mandi, produk penjagaan rambut serta gigi, semburan badan, deodoran, pewarna rambut dan krim pencukur sebenarnya dikategorikan sebagai produk kosmetik. Contoh produk kosmetik semula jadi yang sering dipasarkan adalah seperti produk yang berasaskan tumbuhan lidah buaya (aloe vera) serta produk yang mengandungi minyak jojoba, minyak argan dan minyak tea tree.

Di Malaysia, sebelum sesuatu produk kosmetik boleh diimport, dikilang, diedar atau dijual di Malaysia, produk tersebut perlu bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk kosmetik semula jadi turut tertakluk kepada keperluan notifikasi ini.

Notifikasi kosmetik merupakan proses pengisytiharan maklumat produk kosmetik oleh syarikat yang hendak memasarkan produk tersebut. Produk kosmetik yang telah bernotifikasi dengan KKM akan diberikan nombor notifikasi.

Notifikasi produk kosmetik memerlukan syarikat tersebut mengambil tanggungjawab untuk memastikan produk hendak dipasarkan adalah selamat dan berkualiti. Bukan itu sahaja, sebarang tuntutan yang dinyatakan pada label produk kosmetik harus memenuhi takrifan kosmetik serta perlu disokong dengan dokumen sokongan yang relevan dan mencukupi.

Perkara yang Harus Diberikan Perhatian Sebelum Membeli atau Menggunakan Produk Kosmetik Semula Jadi

Tuntutan yang dinyatakan pada label merupakan satu daripada perkara yang harus dititikberatkan oleh orang ramai yang hendak membeli atau menggunakan produk kosmetik yang dikatakan berasaskan bahan semula jadi. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sesetengah produk yang mempunyai tuntutan berlebihan dan mengelirukan.

Antara contoh tuntutan yang tidak dibenarkan pada label produk kosmetik termasuklah pernyataan yang menjurus kepada fungsi merawat penyakit, memberikan kesan yang kekal serta melibatkan fungsi fisiologi seperti “dapat memulih, menyembuh atau menghentikan jerawat” dan “berkesan menghentikan penghasilan kelemumur”. Tuntutan “100% semula jadi”, “bebas daripada bahan kimia”, “tiada kesan sampingan atau “dijamin selamat” juga sering dinyatakan pada label produk kosmetik semula jadi.

Orang awam hendaklah sentiasa mempertimbangkan tuntutan yang dinyatakan oleh penjual produk kosmetik semula jadi, sama ada pada label produk mahupun iklan promosinya. Sebagai contoh, dakwaan “100% semula jadi” tidak semestinya bermaksud produk tersebut mengandungi 100% kandungan bahan semula jadi kerana terdapat sebilangan produk didapati hanya mengandungi peratus bahan semula jadi yang kecil.

Sesetengah produk kosmetik semula jadi sering dipromosikan dengan tuntutan yang tidak dapat disokong dengan data yang mencukupi. Semua tuntutan dan iklan bagi produk kosmetik, khususnya tuntutan bersifat kuantitatif perlu dibuktikan dengan dokumen sokongan, termasuklah kaedah saintifik serta analisis keputusan kajian.

Selain tuntutan dan iklan, faktor kesan sampingan atau alahan juga harus diberikan perhatian oleh individu yang hendak membeli atau menggunakan produk kosmetik semula jadi. Dakwaan bahawa semua produk kosmetik semula jadi adalah selamat tidak semestinya benar. Hal ini disebabkan oleh sesetengah produk berkemungkinan mendatangkan kesan sampingan atau alahan kepada sebilangan pengguna, khususnya bagi mereka yang berkulit sensitif. Sebagai contohnya, produk minyak pati yang berasaskan cengkih, lavender dan pudian (peppermint) berisiko menyebabkan iritasi pada kulit.

Isu keselamatan produk kosmetik semula jadi turut berkaitan dengan kestabilan dan jangka hayatnya. Produk kosmetik semula jadi perlu dihasilkan di dalam fasiliti yang patuh kepada Amalan Pengilangan Baik supaya dapat mengurangkan risiko pencemaran bahan asing serta dapat memastikan produk yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat. Produk yang tercemar dengan mikroorganisma seperti bakteria dan kulat lebih mudah rosak dan berpotensi menyebabkan kesan mudarat kepada penggunanya.

Nasihat untuk Orang Awam

Tuntutan berlebihan yang sering digunakan oleh penjual untuk mempromosi produk kosmetik semula jadi adalah untuk membuatkan orang awam lebih percaya dan tertarik untuk membeli produk kosmetik semula jadi yang dipasarkan. Individu yang terpengaruh akan membeli dan menggunakan produk tersebut tanpa memikirkan risiko ditipu dan yakin bahawa produk tersebut bebas daripada kesan yang tidak diingini.

Oleh sebab itu, orang awam harus lebih berhati-hati dalam memilih dan menggunakan produk kosmetik semula jadi. Orang awam juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan testimoni dan maklumatyang kurang tepat tentang sesuatu produk kosmetik.

Produk yang selamat digunakan oleh seseorang individu tidak semestinya bersesuaian untuk individu yang lain. Setiap individu mempunyai jenis kulit berbeza yang mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap bahan dalam produk kosmetik.

Orang awam juga digalakkan supaya meneliti maklumat bahan yang terkandung dalam sesuatu produk kosmetik sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Semak status notifikasi produk kosmetik semula jadi tersebut dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) melalui laman web NPRA.

Semakan status notifikasi produk kosmetik boleh dilakukan menerusi fungsi “Carian Produk Berdaftar/Bernotifikasi” (atau “Product Searchbagi versi Bahasa Inggeris). Sebagai alternatif, orang awam juga disarankan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar NPRA Product Status melalui gedung Android Play Store, Apple Apps Store atau Huawei Apps Gallery.

Kaedah penyimpanan produk kosmetik semula jadi harus mengikut tatacara yang disarankan pada pek pembungkusan. Cara penyimpanan yang betul seperti menyimpan pada suhu yang bersesuaian dan jauh daripada sinaran matahari dapat mengelakkan produk kosmetik tersebut menjadi cepat rosak.

Selain itu, pengguna harus mengelak daripada mencalit produk yang diisi di dalam balang dengan menggunakan tangan. Penggunaan spatula atau sudu yang bersih lebih digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko pencemaran.

Orang awam dinasihatkan supaya berhenti menggunakan produk kosmetik semula jadi sekiranya mengalami sebarang gejala alahan atau kesan sampingan. Jika kesan sampingan tersebut menjadi semakin serius, orang awam hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor dan melaporkannya kepada NPRA dengan mengisi Adverse Cosmetic Event Report Form (Appendix 1) yang boleh didapati dalam Guide Manual for Adverse Event Reporting (boleh dimuat turun daripada laman web NPRA).

Sebagai kesimpulannya, seperti produk kosmetik yang lain, pemilihan dan penggunaan produk kosmetik semula jadi juga harus dilakukan dengan pertimbangan yang sewajarnya. Maklumat tentang produk yang hendak dibeli atau digunakan hendaklah dikaji dengan teliti untuk memastikan manfaat daripada produk kosmetik dapat diperoleh dan kesan yang tidak diingini dapat dielakkan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Mohd Shahiri Abd Ghapar, Pegawai Farmasi, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.