4 Februari 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pernahkah anda mengunakan perisian kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk meramalkan wajah anda pada masa hadapan, meneka rupa paras anda dua puluh tahun lalu atau untuk melihat wajah anda pada jantina yang berlainan?

Pernah atau tidak pernah bukan jawapan yang ingin diperoleh. Sebaliknya, sama ada kita sedar atau tidak, kita sedang berhadapan dengan suatu bentuk teknologi yang amat menggerunkan, iaitu teknologi yang akan menyempitkan dunia dan menghapuskan segala sempadan yang terlihat atau tidak terlihat.

Pada masa ini, media sosial seperti Tiktok, Instagram dan Facebook dibanjiri oleh sejumlah foto manusia yang diubah suai dengan menggunakan teknologi AI. Setiap foto yang diubah suai itu hampir menyerupai foto asal seseorang.

Yang lebih menarik perhatian ialah foto tersebut diubah suai dengan hanya memuat naik gambar asal. Kemudian, magis  akan berlaku kepada gambar tersebut dalam tempoh kurang daripada sepuluh saat (pastinya bergantung pada kelajuan Internet). Teruja, bukan?

Apakah mekanisme yang digunakan oleh teknologi AI dalam pengubahsuaian foto tersebut? Soalan ini amat penting untuk difahami sebelum menelusuri kebaikan dan keburukan AI dalam aspek pengubahsuaian gambar.

Sebelum itu, perlu diingatkan bahawa terdapat perisian khas yang digunakan untuk mengubah suai foto atau mereka grafik. Pernahkah anda mendengar mengenai Adobe Photoshop?

Secara ringkasnya, Adobe Photoshop ialah perisian untuk mengubah suai sesuatu foto untuk mencapai tujuan tertentu. Misalnya, gambar diubah suai untuk dijadikan sebagai potret atau menggabungkan beberapa foto untuk menghasilkan karya abstrak dan sebagainya.

Tujuan pengubahsuaian dilakukan adalah untuk menghasilkan sebuah foto baharu yang lebih menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana setelah foto diubah suai dengan menggunakan aplikasi Adobe Photoshop, foto akan menjadi lebih menonjol dari segi warna, pencahayaan dan ketelitian.

Selain itu, perisian Adobe Photoshop dapat menukar latar belakang foto. Perisian ini juga dapat menggabungkan ratusan gambar menjadi satu foto yang menarik. Namun demikian, teknik khas ini menuntut seseorang itu untuk mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang grafik untuk mengendalikan perisian tersebut.

Perisian Adobe Photoshop juga boleh dikendalikan tanpa talian Internet. Hal ini bermakna bahawa kerja pengubahsuaian foto boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Namun begitu, spesifikasi komputer yang tinggi juga diperlukan untuk memastikan kerja pengubahsuaian foto berjalan dengan lancar. Contohnya, komputer yang digunakan oleh pereka grafik perlu dilengkapi dengan kad grafik, kelajuan memori rawak mencecah terabait dan ruang simpanan yang juga mencecah ratusan terabait. Spesifikasi yang tinggi sudah tentunya memerlukan kos yang tinggi.

Dengan adanya teknologi AI yang digabungkan dengan perisian ubah suai foto seperti Adobe Photoshop, kerja mereka grafik atau mengubah suai gambar menjadi lebih mudah dengan kos yang lebih rendah, malah ada yang boleh diperoleh secara percuma. Di samping itu, penggunaan AI dalam mengubah suai foto tidak memerlukan kemahiran yang tinggi.

Berbeza dengan Adobe Photoshop yang memerlukan beratus-ratus foto untuk memboleh pengubahsuaian dilakukan, teknologi AI hanya memerlukan sepantas satu klik atau dua klik. Foto baharu yang dijana adalah sama atau lebih menarik daripada yang dihasilkan Adobe Photoshop. Oleh hal yang demikian, boleh disimpulkan bahawa teknik pengubahsuaian foto dengan menggunakan teknik AI adalah bersifat separa automatik.

Teknologi AI menggunakan algoritma khas sebagai mekanisme untuk mempelajari ciri wajah di dalam foto dan kemudiannya menghasilkan satu foto baharu yang hampir sama atau mirip dengan wajah asal seseorang. Algoritma dalam teknologi AI juga berupaya mengenal pasti beberapa titik penting pada wajah seperti warna kulit, warna rambut, bentuk mata, hidung serta mulut.

Foto wajah baharu yang dihasilkan juga boleh dalam keadaan yang lebih berusia atau lebih muda daripada wajah asal. Kerja pengubahsuaian foto menggunakan teknik AI juga lebih ringkas dan hanya memerlukan seseorang itu untuk menekan satu butang atau dua butang sahaja. Dengan kata lain, kerja pengubahsuaian juga boleh dilakukan oleh kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.

Di sebalik ledakan teknologi AI dalam pengubasuaian foto, terdapat kebimbangan yang diutarakan oleh pakar serta saintis dalam bidang teknologi maklumat. Saintis komputer, Juergen Schmidhuber mendedahkan bahawa pihak yang berkepentingan, terutamanya syarikat pengumpulan data tanpa ragu-ragu menawarkan perkhidmatan mengubah suai foto secara percuma kepada pengguna. Mereka percaya bahawa pengguna akan menyerahkan apa sahaja sekiranya pengguna memperoleh suatu kepuasan yang mengembirakan.

Tambahnya lagi, para pengguna juga tidak akan keberatan untuk mencuba kerana pada mereka, usaha tersebut hanyalah melibatkan sekeping gambar wajah. Namun begitu, beliau berpendapat bahawa tindakan tersebut bukan sekadar membabitkan gambar wajah tanpa solekan, namun mampu memberikan impak yang sangat besar terhadap kehidupan seseorang.

Pakar keselamatan siber pula berpendapat bahawa gambar wajah seseorang yang dimuat naik ke dalam perisian AI mungkin akan digunakan untuk membina pangkalan data wajah. Para pengguna, terutamanya pengguna media sosial perlu sedar bahawa walaupun dalam polisi perlindungan data peribadi menyatakan bahawa foto yang dimuat naik akan terpadam dalam tempoh tertentu, namun polisi tersebut tidak dinyatakan dengan terperinci akan kegunaan foto tersebut.

Rentetan daripada kegelisahan pakar, maka muncul persoalan yang lain, iaitu seandainya foto pangkalan data itu jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab, apakah yang akan dilakukan kepada foto tersebut? Sekiranya hal ini berlaku, tidak dapat dinafikan bahawa suatu masa kelak, perlombongan data mengunakan wajah manusia dapat dilakukan.

Dalam keghairahan menggunakan teknologi AI untuk mengubah suai foto, para pengguna harus sedar bahawa tindakan mereka seperti meletakkan sebilah pisau pada leher mereka sendiri. Foto wajah mereka mungkin digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencipta propaganda, menjatuhkan maruah mereka atau mungkin digunakan oleh penjenayah untuk melakukan ugutan.

Pihak yang tidak bertanggungjawab mungkin akan menggunakan foto tersebut untuk mencipta video atau gambar dengan tujuan menyebarkan maklumat palsu. Gambar foto yang dimuat naik juga berpotensi digunakan oleh pembuli siber untuk menghasilkan profil palsu.

Selain itu, penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan foto yang menarik boleh memberikan kesan kepada kesihatan mental. Kebergantungan terhadap AI untuk mendapatkan wajah yang cantik dan tubuh badan yang sempurna akan menyebabkan keyakinan diri seseorang menurun.

Lebih parah, mereka akan menghidapi kemurungan disebabkan oleh tanggapan mereka bahawa foto AI lebih menarik daripada diri mereka yang sebenar. Tidak menolak kemungkinan bahawa pengguna tegar AI juga akan mengalami depresi serta ketagihan terhadap perhatian daripada pengguna media sosial yang lain.

Seterusnya, pengguna AI juga mungkin berhadapan dengan risiko tekanan jiwa. Hal ini disebabkan oleh pengguna AI akan sedaya upaya membuatkan diri mereka kelihatan sempurna seperti di dalam foto yang dicipat dengan menggunakan teknologi AI.

Pengguna AI akan berhabis wang serta masa demi untuk mendapatkan wajah seperti yang digambarkan oleh AI. Ketaksuban seumpama ini akan mengheret mereka ke lembah kemurungan. Seandainya ini berlaku, apakah kejujuran itu telah diambil alih oleh AI?

Teknologi AI ada kebaikannya – benar dan tidak dinafikan hal tersebut. Namun, jika teknologi ini menyusup masuk ke dalam kehidupan seharian dan mempengaruhi keputusan yang penting, maka pengguna perlu berwaspada. Keadaan ini serupa seperti peribahasa musuh dalam selimut yang perlahan-lahan menguasai pengguna lalu membawa kemusnahan.

Kebergantungan terhadap teknologi AI perlu dimanfaatkan secara bersederhana dan didahulukandengan ilmu agar pertimbangan yang sewajarnya dapat dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan teknologi AI. Pemantauan yang lebih rapi terhadap golongan remaja dan kanak-kanak juga amat dituntut agar mereka tidak ketagih dengan teknologi AI.

Suatu hari nanti, teknologi AI pasti akan berevolusi sehingga mampu menggambarkan perasaan hanya berdasarkan foto wajah. Sekiranya hal ini berlaku, maka manusia digambarkan seperti sedang meniti pada seutas tali. Hal ini dapat dielakkan seandainya para pengguna teknologi AI dapat mengawal diri dan mempersiapkan diri dengan ilmu teknologi. Peribahasa senjata makan tuan dilihat masih relevan walau dunia telah memasuki era digital yang dibanjiri dengan teknologi AI.

Kesimpulannya, pengguna perlu percaya bahawa sehebat manapun teknologi AI, kelebihan tersebut tidak mampu menonjolkan kejujuran. Manusia berakal tidak akan membiarkan diri mereka diperhambakan oleh teknologi AI. Akhir sekali, apakah pilihan anda, sama ada memilih kejujuran atau AI?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.