2 Februari 2024, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak dinafikan bahawa Malaysia dikenali sebagai satu daripada negara terkemuka di rantau Asia. Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaan hak asasi manusia untuk orang kurang upaya (OKU), Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara lain seperti Thailand dan Indonesia yang melaksanakan dasar dan undang-undang untuk OKU secara lebih harmoni dan menyeluruh berlandaskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Orang Kurang Upaya (CRPD).

Perkara 1 dalam CRPD jelas menyatakan bahawa tujuan utama konvensyen ini diwujudkan adalah untuk melindungi, mempromosikan dan memastikan semua OKU dapat menikmati hak dan kebebasan mereka serta menghormati kumpulan ini. Kegagalan dari segi pelaksanaan hak asasi ini diterjemahkan dalam bentuk kurangnya pelaksanaan, penguatkuasaan, elemen kritikal untuk menegakkan hak asasi OKU dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak mesra OKU.

Contoh mudah yang boleh diambil kira ialah ketiadaan menu dalam tulisan Braille untuk OKU, sama ada di restoran, medan selera, kedai makanan segera atau kafe. Berdasarkan pengetahuan penulis, sehingga artikel pendek ini ditulis, tidak banyak kedai makanan rantaian atau tempat- makan yang menawarkan menu dalam tulisan Braille untuk golongan OKU.

Rangkaian kedai makanan segera, Jollibee di Filipina telah memperkenalkan menu dalam tulisan Braille, khas untuk individu yang mengalami cacat penglihatan. Sebuah restoran di Indore yang terletak di barat tengah India juga mengambil inisiatif dengan menyediakan menu mereka dalam tulisan braille.

Sementara itu, Starbucks, satu daripada rangkaian kedai kopi multinasional yang berpangkalan di Seattle, Washington turut menyatakan komitmen mereka dengan memberikan peluang dan kemasukan golongan OKU ke dalam premis melalui penyediaan menu dalam tulisan Braille di semua cawangan kedai di Amerika Syarikat dan Kanada.

Tidak terhenti di situ sahaja, Starbucks membantu golongan OKU ini dengan membuka cawangan yang menggunakan bahasa isyarat di China, Malaysia (Pulau Pinang), Jepun, United Kingdom dan Washington DC. Kedai ini menjadi lebih istimewa apabila dikendalikan oleh pekerja OKU pekak melalui bahasa isyarat. Hal ini secara tidak langsung memberikan peluang pekerjaan kepada kumpulan masyarakat ini.

Sementara itu, di Malaysia, berdasarkan pengetahuan penulis, hanya hotel bertaraf lima bintang, iaitu Pullman Putrajaya Lakeside (selain cawangan Starbucks di Pulau Pinang) telah memperkenalkan menu dalam tulisan Braille untuk tetamu yang cacat penglihatan sejak tahun 2016 lagi (penulis tidak pasti sama ada mereka masih lagi melaksanakan menu seperti itu sehingga sekarang).

Usaha ini merupakan berita baik untuk OKU yang menghadiri acara di hotel kerana hak mereka tidak diabaikan, namun dari sisi yang berbeza, undangan bagi acara eksklusif atau menghadiri majlis di tempat seperti ini hanya beberapa kali dalam setahun. Tidak seperti kunjungan ke restoran, medan selera, kedai rantaian makanan segera atau kafe yang dalam pengiraan penulis, golongan OKU ini hadir ke tempat ini dengan lebih kerap.

Penulis makan malam bersama-sama seorang OKU.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu ini dari perspektif OKU, penulis berjaya menemu bual dua responden melalui telefon pada hujung November 2023. Temu bual mudah ini mengandungi dua soalan dan dijalankan dalam tempoh 10 minit hingga 15 minit.

Soalan pertama mengenai pengalaman mereka sendiri semasa makan di restoran, medan selera, kedai rantaian makanan segera atau kafe, manakala soalan kedua mengenai cadangan mereka mengenai sebarang penambahbaikan yang sesuai untuk meningkatkan lagi amalan semasa OKU di premis ini agar menjadi lebih mesra pengguna terhadap OKU pada masa akan datang.

Tiada sebarang cenderahati berbentuk wang atau tanda penghargaan diberikan bagi tujuan ini. Kedua-dua responden ini juga dimaklumkan bahawa input yang diperoleh daripada temu bual pendek ini akan digunakan sebagai bahan dalam penulisan artikel pendek dan persetujuan diberikan mengenai perkara ini.

Secara keseluruhannya, kedua-dua responden memberikan maklumat dari dua perspektif yang cukup berbeza, sekali gus menambahkan lagi pengetahuan penulis mengenai perkara ini. Selain itu, hal ini mungkin berlaku disebabkan oleh perbezaan jantina antara kedua-dua responden berkenaan.

Responden pertama, Encik Muhammad Shahir Ramli berkongsikan pengalaman beliau sebagai OKU apabila ingin menjamu selera di kedai atau medan selera yang terletak di mana-mana pusat membeli-belah. Restoran juga sentiasa menghadapi isu yang sama, iaitu keperluan untuk menugaskan pekerja yang boleh menjadi pemudah cara dan membantu sebaik sahaja OKU sampai atau tiba di restoran.

Beliau juga mencadangkan bahawa pemilik restoran perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai mana-mana badan atau pertubuhan bukan kerajaan cacat penglihatan yang menawarkan perkhidmatan percetakan Braille. Pekerja restoran juga perlu dilengkapi dengan latihan asas dalam memahami atau mengendalikan OKU penglihatan selain menyediakan senarai menu (kod QR) yang ditulis dalam huruf besar agar boleh digunakan oleh golongan OKU.

Sementara itu, responden kedua yang dikenali sebagai Puan Liyana Abdul Hamid menyatakan bahawa berdasarkan pengamatan beliau, belum ada mana-mana premis kedai perniagaan makanan yang menawarkan menu dalam tulisan Braille. Beliau hanya bergantung kepada pengalaman rakan-rakan yang pernah makan di kedai yang sama di samping memesan makanan yang biasa dipesan sebelum ini.

Kadangkala, beliau akan membaca menu di aplikasi Grab terlebih dahulu sebelum datang ke sesuatu premis. Namun demikian, tidak semua menu yang akan disenaraikan dalam aplikasi tersebut.

Oleh hal yang demikian, beliau benar-benar bergantung sepenuhnya pada pelayan untuk membacakan menuĀ bersama-sama harga kepadanya . Namun begitu, situasi tersebut bergantung sepenuhnya pada pelayan, sama ada akan membaca menu secara penuh atau hanya menyebut hidangan utama sahaja.

Tambah beliau lagi, terdapat keadaan di mana pelayan tidak mempunyai perasaan bertanggungjawab terhadap golongan OKU. Maka itu, beliau akan sekadar memesan apa yang hendak dimakan agar tidak mahu menyusahkan orang ramai, terutamanya pelayan tersebut.

Beliau juga mencadangkan beberapa perkara seperti menyediakan buku menu dalam tulisan Braille yang berbentuk katalog dan menggunakan kertas keras yang dicetak bersama-sama harga bagi memudahkan golongan OKU. Gambar makanan pula tidak diperlukan sama sekali.

Beliau turut mengusulkan agar ditugaskan seseorang untuk membantu OKU ketika mereka hendak makan. Beliau juga menyedari bahawa golongan OKU tidak akan datang sebegitu kerap untuk menjamu selera di satu-satu premis.

Pelayan juga boleh membantu membacakan menu atau menyediakan kod QR yang mengandungi tulisan Braille untuk ayat seperti imbas di sini. Keadaan juga akan menjadi lebih baik jika terdapatnya pilihan untuk membuat pesanan dalam menu yang sama untuk memudahkan golongan istimewa ini.

Kesimpulannya, masih banyak yang perlu dilakukan sebelum OKU di Malaysia dapat memenuhi keperluan asas mereka. Pengusaha premis makanan yang bertanggungjawab boleh mengambil pengalaman kedua-dua responden ini bagi memenuhi hak dan permintaan pelanggan OKU dengan menugaskan seorang pekerja untuk membimbing dan membantu OKU apabila mereka datang ke kedai makan.

Pekerja yang sama juga bertanggungjawab untuk memastikan OKU ini mendapat perkhidmatan terbaik, yakni bermula apabila mereka menjejakkan kaki sehingga mereka keluar dari kedai. Pengusaha juga mungkin boleh mempertimbang untuk memberikan diskaun atau tawaran istimewa eksklusif kepada pelanggan OKU sahaja. Perkara kecil ini akan membuatkan mereka berasa lebih dihargai oleh masyarakat.

Penulis berpendapat bahawa masih jauh lagi perjalanan untuk kita dapat melihat cawangan kedai rantaian makanan di Malaysia untuk mempunyai sekurang-kurangnya menu dalam tulisan Braille yang akan memenuhi keperluan golongan ini. Penulisan ini diharapkan akan memulakan sesuatu yang bermakna kepada pengusaha premis makanan bagi membolehkan hak dan peluang yang sama rata diperoleh oleh golongan OKU untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.