1 Februari 2024, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diadakan di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang memberikan fokus kepada beberapa bidang seperti hidrogen, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi yang merangkumi keterjaminan buatan dan perubatan jitu, ekosistem syarikat pemula serta teknologi angkasa.

“Bagi mencapai sasaran jangka pendek dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, MOSTI secara aktif sedang membina rangkaian industri bagi mewujudkan ekosistem teknologi hidrogren dengan mengeksport tenaga hidrogen ke Korea, Jepun dan Singapura yang bernilai lebih daripada RM20 bilion menjelang tahun 2027,” kata YB Chang Lih Kang ketika berucap dalam majlis amanat berkenaan.

Menurut beliau, MOSTI akan bekerjasama dengan pihak industri bagi mewujudkan sebuah Stesen Mengisi Minyak Hidrogen Mudah Alih (MHRS) sebagai projek perintis serta meneroka peluang penggunaan tenaga hidrogen dalam sektor pengangkutan.

Selain itu, Garis Panduan Etika AI yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu daripada usaha MOSTI untuk merakyatkan AI dengan memastikan pembangunan teknologi yang beretika.

Garis panduan tersebut akan melengkapi usaha pengukuhan tatakelola, perundangan dan etika, mengawal selia AI susulan ancaman yang sedia ada dan bakal timbul kesan daripada penggunaannya.

Tambah beliau, MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia akan meneruskan Kajian Pembangunan Varieti Padi Baharu MOSTI Tahan Iklim dan satu lagi varieti padi termaju akan dihasilkan pada tahun ini sebagai usaha untuk memastikan keterjaminan makanan rakyat melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan.

Seperti yang digariskan dalam ekonomi MADANI, program seperti MYStartup NXT oleh Cradle Fund dan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan diteruskan bagi mencapai sasaran mewujudkan 5000 syarikat pemula menjelang akhir tahun 2025.

Beliau juga menyatakan bahawa Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) akan meneruskan pembangunan aplikasi baharu sebagai usaha untuk merakyatkan teknologi angkasa dalam menangani cabaran komuniti setempat melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya.

Sistem Maklumat Arkeologi Melaka, Sistem Ko-Nelayan, Marang Land Information Data System dan Environmental Monitoring with Satellite Remote Sensing Application using Bid Data and Artificial Intelligence System adalah antara sistem yang sedang dibangunkan oleh MYSA.

YB Chang Lih Kang juga menekankan konsep whole of government approach (WGA) yang menggalakkan kerjasama bersepadu antara kementerian dengan agensi dalam menguruskan isu rakyat melalui pembangunan sains, teknologi dan inovasi.

Kerjasama antara MOSTI dengan PBT diharapkan dapat dipertingkat memandangkan PBT dianggap sebagai “pintu hadapan” terhadap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat sekali gus memastikan teknologi dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.