26 Januari 2024, 19:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Selaras dengan hasrat negara untuk menyokong inisiatif peralihan tenaga dan mengurangkan jejak karbon, pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) pada tahun ini bukan sahaja menjana limpahan ekonomi dalam bentuk nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion dalam industri TBB, malah sekurang-kurangnya 36 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat dapat diwujudkan.

Hari Tenaga Bersih Antarabangsa yang diraikan pada 26 Januari untuk kali pertama di seluruh dunia bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha masyarakat global dalam memenuhi komitmen peralihan tenaga yang saksama dan inklusif.

“Peralihan tenaga yang dilaksanakan akan dipastikan mengikut prinsip kesaksamaan, ketelusan dan daya saing,” ujar Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, komitmen yang akan diberikan dalam mengurangkan jejak karbon dengan meningkatkan sumber tenaga boleh baharu kepada 70 peratus pada tahun 2050 dan diurus secara menyeluruh, memberikan keutamaan kepada kebolehpercayaan sistem bekalan, keterjangkauan pengguna dan kelestarian sumber.

Antara inisiatif dan program TBB yang akan dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah Program Net Energy Metering (NEM) yang membolehkan sekurang-kurangnya 25 000 orang pengguna elektrik domestik dan 100 orang pengguna kategori komersial dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar fotovoltan.

Mulai 1 April 2024, Program Large Scale Solar (LSS) untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan tawaran kuota 2000 megawatt (MW) akan dibuka dengan penjualan dokumen Request for Proposal (RFP) oleh Suruhanjaya Tenaga.

Bagi memastikan proses pemilihan pemaju secara telus dan adil serta untuk mendapatkan tawaran tarif penjanaan tenaga pada kadar yang paling kompetitif, pelaksanaan program LSS akan dibuat secara bidaan serta pada skala yang lebih besar.

Selain itu, Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon menerusi mekanisme New Enhanced Dispatched Arrangement (NEDA) yang mampu meningkatkan daya harap bekalan elektrik dengan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB akan dilaksanakan dengan jumlah kuota 400 MW bagi membuka peluang penyertaan untuk pembangunan projek penjanaan daripada sumber bukan solar dan permohonan boleh dikemukakan mulai 5 Februari 2024 melalui laman sesawang Single Buyer.

Projek Rintis Sistem Penstoran Tenaga juga akan dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad dan dioperasikan oleh Grid System Operator (GSO) serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga yang akan dimulakan pada suku tahun pertama 2024.

Berdasarkan kemajuan dalam pembangunan sektor TBB dan permintaan akan bekalan elektrik hijau semasa, pihak kementerian turut mengkaji dan membangunkan program serta inisiatif baharu dalam bidang TBB yang bersifat progresif demi meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara sekali gus membuka lebih banyak peluang dan akses kepada bekalan elektrik hijau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.