Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlam sekitar cukup sinonim dengan perubahan iklim. Hal ini dikatakan demikian kerana sering diperkatakan bahawa dengan memelihara dan memulihara alam sekitar, kesan dan impak perubahan iklim juga dapat dikurangkan.
Apabila impak kian terasa, jari mula dituding. Kata jiran, memelihara alam bukan tugas kami, tetapi tugas ini mesti dipikul oleh kerajaan. Kata kerajaan pula, bagaimanakah polisi yang dibina berkesan jika komuniti yang tidak punya kesedaran? Terdapat juga komuniti yang mempunyai kesedaran yang mendalam, namun tidak mempunyai kemudahan dan alternatif yang berkesan.
Inisiatif kerajaan tiada kurangnya. Beratus, malah beribu program diadakan untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan komuniti tentang pentingnya menjaga dan memulihara alam sekitar. Namun demikian, jika dilihat kepada keadaaan semasa persekitaran yang kita diami pada hari ini, sukar untuk ditentukan sama ada cukupkah program yang dilaksanakan? Cukup dalamkah penyampaian programnya? Cukup sedarkah komuniti kita?
Mengambil kira situasi ini, Pusat Pengurusan Alam Sekitar atau Environmental Management Centre (EMC) mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program bersama komuniti yang dikenali sebagai Program Komuniti Alam dan Perubahan Iklim (KAPI) dengan tema kitar semula. Program ini dilaksanakan untuk menggalakkan dan menerapkan dalam minda komuniti untuk mengamalkan budaya mengurangkan, mengguna kembali dan mengitar semula atau reduce, reuse, recycle (3R) dalam kehidupan seharian.
Bagi mencapai matlamat ini, lapisan generasi komuniti yang pelbagai dibentuk sebagai satu kumpulan sasaran yang bersesuaian untuk diasah dan dibasuh mindanya, seterusnya dapat merancakkan lagi inisiatif memelihara dan memulihara alam sekitar agar keistimewaan alam yang ada pada hari ini turut dapat dikecapi oleh generasi akan datang. Program ini juga dilengkapi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti hebahan maklumat alam sekitar dan penjualan barang kitar semula oleh komuniti kepada peraih yang dilihat bersesuaian dengan sasaran program.
Capaian Maklumat Alam Sekitar
Sudah menjadi lumrah bahawa tiada siapa yang mempunyai masa dan minat untuk membaca maklumat alam sekitar dalam bentuk laporan. Kekangan ini membuka mata pasukan untuk bertindak sebagai jambatan ilmu antara kerajaan dengan penyelidik kepada komuniti.
Hebahan maklumat alam sekitar dalam bentuk infografik merupakan satu daripada inisiatif di bawah tunjang science and environment near to heart (SENToH) yang digerakkan oleh EMC untuk menghebahkan maklumat alam sekitar yang mungkin kepada komuniti. Bahan infografik ini dihebahkan kepada komuniti melalui wakil komuniti dan ilmu alam sekitar tersebut dijangka dapat diserap oleh komuniti, seterusnya diguna pakai dalam kehidupan seharian komuniti.
Dalam program ini, rata-rata komuniti hadir bersama helaian infografik di tangan mereka. Apabila bermulanya sesi kuiz ringkas, masing-masing gigih mencari jawapan daripada helaian tersebut. Ada juga dalam kalangan komuniti yang dapat menjawab secara terus kepada soalan yang diberikan.
Latihan ini jelas menunjukkan bahawa penyampaian maklumat kepada pelbagai lapisan komuniti perlu direncana dengan lebih berstrategi kerana tidak semua orang memahami istilah teknikal yang digunakan. Penganjuran program pula kadangkala hanya dilaksana sekadar untuk memenuhkan pencapaian dan sasaran tertentu sahaja. Walhal, ejen perubahan terbesar yang akan menentukan kelangsungan alam sekitar untuk generasi masa hadapan dibiarkan terkontang kanting tanpa maklumat yang jelas dan tepat.
Aktiviti Kitar Semula
Pada awal perbincangan pelaksanaan program, pasukan dimaklumkan bahawa apa-apa jua aktiviti yang dirancang, sekiranya dapat memberikan peluang penjanaan pendapatan oleh komuniti, perkara tersebut sangat dialu-alukan.
Oleh hal yang demikian, aktiviti asing, timbang dan menang direncanakan untuk memberikan ruang kepada komuniti untuk menjual barang kitar semula yang dimiliki kepada peraih kitar semula yang dikenal pasti.
Perancangan rapi juga perlu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti kitar semula ini dapat memberikan faedah, bukan sahaja dari segi pendapatan kepada komuniti, malah perubahan sikap dalam komuniti selepas berakhirnya satu-satu program.
Dalam hal ini juga, matlamat program adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya dua puluh peratus daripada komuniti terkesan dengan agenda pelaksanaan program dan ingin melaksanakan rutin ini selepas program tamat.
Hingga September 2023, kadar kitar semula nasional yang direkodkan hanyalah 35 peratus. Angka ini agak jauh ketinggalan berbanding dengan negara maju yang merekodkan sekurang-kurangnya 60 peratus kadar kitar semula.
Inisiatif yang digerakkan oleh EMS ini mungkin kelihatan kecil pada mata orang lain. Namun begitu, sebanyak 944 kilogram barang kitar semula berjaya dikumpulkan pada hari pertama program tersebut berlangsung. Pencapaian ini dilihat sebagai petanda positif daripada komuniti yang bersedia untuk berubah dan memulakan rutin ini dalam kehidupan seharian.
Apabila menyebut tentang kitar semula, orang ramai akan memikirkan kertas dan buku. Walau bagaimanapun, berpandukan maklumat yang diperoleh, pelbagai barang dibawa oleh komuniti seperti basikal, monitor skrin, minyak masak, botol plastik dan pelbagai jenis kotak untuk dikitar semula.
Jelas sekali bahawa pelbagai jenis barang ini sekiranya tidak dikitar semula, pastinya akan berakhir di tapak pelupusan sampah yang semakin terhad dan penuh. Setiap sisa pula mempunyai tempoh pelupusan yang berbeza-beza seperti plastik yang memerlukan puluhan hingga ratusan tahun sebelum terurai sepenuhnya. Beberapa sisa juga mungkin tidak sampai ke tapak pembuangan sampah dan tersebar oleh angin dan haiwan yang akhirnya mencemarkan alam sekitar dan ekosistem semula jadi seperti kawasan marin.
Barang yang dikitar semula mampu menjana pendapatan sampingan, bukan hanya kepada komuniti, tetapi kepada pendapatan negara. Berdasarkan data daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, bahan kertas direkodkan sebagai sisa terbuang terbanyak dan mampu menyumbang hampir RM205 juta kepada pendapatan negara. Selain itu, bahan plastik juga mampu menjana potensi pendapatan sejumlah RM163 juta.
Selain penjanaan pendapatan, sekiranya aktiviti kitar semula diamalkan secara rutin oleh setiap penduduk Malaysia, kos pengurusan sampah oleh kerajaan dapat dikurangkan selain ruang pembuangan sampah juga dapat dioptimumkan untuk pelupusan sampah yang tidak boleh dikitar semula.
Tidak terhenti disitu, penjanaan pendapatan kepada komuniti bukan hanya melalui penjualan barang kitar semula, namun penghasilan produk berasaskan produk kitar semula juga mampu memberikan faedah yang sama kepada komuniti. Penghasilan produk berasaskan sisa mampu memperkasakan tiap-tiap individu dalam kalangan komuniti untuk menjadi komuniti celik inovasi dan teknologi selain komuniti yang lebih cakna akan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Inisiatif kecil seperti ini merupakan langkah pertama ke arah mencipta komuniti yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dan jika dipanjangkan kepada komuniti yang lebih besar, mampu memberikan impak yang lebih besar.
Tuan Noraida Tuan Hamzah, Wan Nurshamimi Wan Jusoh dan Wan Hanna Melini Wan Mohtar, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia.