Oleh Rashid Ating
17 Januari 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam satu sidang media di Washington pada 12 Januari lalu, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Negara (NASA) dan dan National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) Amerika Syarikat melaporkan bahawa suhu purata permukaan bumi pada tahun 2023 adalah yang paling panas.

Menurut analisis oleh NASA, purata suhu global pada tahun 2023 adalah sekitar 2.1 darjah Fahrenheit (bersamaan dengan 1.2 darjah Celsius) dan melebihi purata tahunan yang ditetapkan oleh NASA (pada tahun 1951 hingga tahun 1980) seperti yang dilaporkan oleh saintis dari Goddard Institute for Space Studies (GISS) di New York.

Peta bumi pada tahun 2023 menunjukkan keadaan suhu permukaan bumi yang tidak normal. Suhu normal ditunjukkan dengan warna putih, suhu yang lebih tinggi dipaparkan sebagai warna merah dan jingga, manakala suhu yang lebih rendah berwarna biru. Versi animasi peta ini menunjukkan suhu global yang tidak normal sejak tahun 1880.

Menurut Pentadbir NASA, Bill Nelson, laporan suhu global NASA dan NOAA mengesahkan bahawa kita sedang menghadapi krisis iklim.

“Keadaan panas yang melampau, kebakaran hutan dan kenaikan paras laut, membuktikan bahawa bumi sudah berubah. Masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan”.

Pada tahun 2023, dunia mengalami purata suhu panas yang melampau dan bulan Julai menjadi bulan yang paling panas pernah direkodkan sepanjang tahun. Secara keseluruhan, suhu bumi adalah kira-kira 2.5 darjah Fahrenheit (atau kira-kira 1.4 darjah Celsius) lebih panas pada tahun 2023 daripada purata akhir abad ke-19.

Pengarah GISS, Gavin Schmidt turut mengulas bahawa pemanasan luar biasa yang dialami pada masa ini bukanlah sesuatu yang pernah dihadapi sebelum ini dalam sejarah manusia. Keadaan ini turut didorong oleh pelepasan bahan api fosil dan kesannya dapat dilihat dalam kejadian gelombang haba, hujan lebat dan banjir pantai.

Walaupun saintis mempunyai bukti kukuh bahawa corak pemanasan jangka panjang planet ini berlaku akibat aktiviti manusia, namun mereka masih mengkaji fenomena lain yang boleh menjejaskan perubahan tahunan dalam iklim seperti El Nino, pengunaan aerosol, pencemaran serta letusan gunung berapi.

Kumpulan saintis juga telah menyiasat kemungkinan wujudnya kesan daripada letusan gunung berapi dasar laut Hunga Tonga-Hunga Ha’apai, gunung berapi dasar laut yang terletak di Tonga, Lautan Pasifik yang berlaku pada Januari 2022 yang meletupkan wap air dan zarah halus atau aerosol ke dalam permukaan stratosfera bumi.

Kajian terkini mendapati bahawa aerosol gunung berapi yang memantulkan cahaya matahari daripada permukaan bumi akan menyebabkan sedikit penyejukan, iaitu kurang daripada 0.2 darjah Fahrenheit (atau kira-kira 0.1 darjah Celsius) di hemisfera selatan selepas letusan itu.

Tambah Schmidt lagi, walaupun dengan faktor penyejukan sekali-sekala seperti gunung berapi atau aerosol, suhu bumi akan terus memecahkan rekod selagi pelepasan gas rumah hijau terus meningkat. Bumi juga baru sahaja mencatatkan rekod baharu untuk pelepasan gas rumah hijau pada tahun lalu.

Peta taburan haba yang memaparkan suhu bumi pada suku keempat tahun 2023 yang dijana menggunakan GISS Analisis Suhu Permukaan versi 4.

Peta taburan haba menunjukkan hampir 50 peratus hingga 60 peratus kawasan (yang diwarnakan jingga) di bumi pada suku terakhir tahun 2023 ditafsirkan mempunyai purta kenaikan suhu sekitar dua darjah Celcius. Dapat diperhatikan juga bahawa benua Oceania (Australia, New Zealand dan lain-lain) serta beberapa negara Asia seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Filipina tergolong dalam kategori ini.

Turut menarik perhatian ialah hampir keseluruhan benua Eropah dan beberapa negara di Asia seperti negara Timur Tengah (Emeriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Oman) dan beberapa negara Asia seperti Myanmar, Laos, Vietnam, dan Kemboja mengalami kenaikan suhu sekitar empat darjah Celcius, yakni jauh lebih panas berbanding dengan benua Oceania dan Asia.

Sementara itu, kawasan Kutub Utara seperti Greenland pula merekodkan kenaikan suhu dalam lingkungan 0.2 darjah Celcius hingga satu darjah Celcius. Walaupun hampir 80 peratus hingga 90 peratus kawasan bumi mengalami kepanasan yang melampau, kawasan ini masih kekal sejuk dan menjadi satu-satunya kawasan yang sejuk jika dilihat daripada taburan peta haba tersebut.

Peningkatan suhu secara mendadak atau lebih dikenali sebagai gelombang haba di Malaysia berlaku sejak bulan Julai 2023 dan berlarutan hingga hujung tahun 2023. Semua negeri di Malaysia mengalami fenomena ini sehinggakan Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan pekeliling untuk mengehadkan sebarang aktiviti di luar bilik darjah oleh sebab kekhuatiran sinaran haba yang melampau akan memberikan kesan kepada pelajar yang menjalankan aktiviti di luar bilik darjah.

Peningkatan suhu bumi pada tahun lalu memberikan isyarat bahawa berkemungkinan kejadian yang sama akan dialami pada tahun ini. Walaupun tiada sebarang unjuran rasmi dikeluarkan, namun kejadian seumpama ini tidak mustahil atau dijangka jauh lebih teruk boleh berlaku pada masa hadapan. Peningkatan paras laut disebabkan oleh pencairan glasier atau ais di Kutub Utara juga perlu diberikan perhatian serius oleh semua negara di dunia.

Dalam kepesatan mengejar pembangunan, manusia sebenarnya telah membayar harga yang cukup tinggi apabila mengorbankan alam sekitar dan memusnahkan hutan sebagai sumber perangkap karbon dioksida utama yang dilepaskan ke udara.  Fenomena alam semula jadi seperti El Nino dan La Nina juga menyebabkan keadaan semakin buruk. Diharapkan juga dengan pendedahan daripada NASA dan NOAA ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat dunia yang semestinya mempunyai peranan masing-masing untuk menjaga bumi ini, bukan sahaja untuk kita diami pada hari ini, malah untuk menjadi tinggalan kepada generasi akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.