13 Januari 2024, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kera atau nama saintifiknya Macaca fascicularis ialah haiwan daripada famili Cercopithecidae. Monyet dari subfamili Cercopithecinae ini merupakan haiwan yang memiliki kantung pada bahagian pipi untuk menyimpan makanan. Bulu pada tubuhnya berwarna kelabu keperangan pada bahagian dorsal dan cerah pada bahagian ventral.

Haiwan ini mempunyai bulu yang memanjang serta berwarna cerah pada bahagian pipi hingga ke dagunya. Kulit mukanya berwarna kelabu dan memiliki ekor yang panjang kira-kira 40 sentimeter hingga 65 sentimeter bagi individu dewasa. Ekor yang panjang ini penting untuk memberikan kestabilan kepada monyet untuk bergerak, terutamanya semasa memanjat dan meniti pada ruang yang sempit.

Saiz tubuh kera jantan biasanya lebih besar dengan berat antara lima kilogram hingga sembilan kilogram berbanding dengan kera betina yang mempunyai berat antara tiga kilogram hingga enam kilogram.

Pada peringkat bayi, bulu kera berwarna hitam, manakala kulitnya berwarna merah jambu cerah. Warna bulu bayi akan berubah kepada kelabu keperangan sepenuhnya apabila bayi mencecah usia tiga bulan.

Haiwan sosial ini hidup secara berkelompok dan membentuk kumpulan yang biasanya terdiri daripada 20 ahli hingga 30 ahli. Ada kalanya, satu-satu kumpulan boleh mencecah hingga 50 ahli. Setiap kumpulan kera terdiri daripada beberapa jantan dewasa (multimale) dan betina dewasa (multifemale) di samping beberapa individu separa dewasa, juvenil dan bayi.

 

 

Kera (Macaca fascicularis) jantan dewasa.

 

Kera jantan separa dewasa bertubuh lebih kecil berbanding dengan kera dewasa.

Selain Malaysia, spesies ini juga boleh ditemukan di Brunei, barat daya Bangladesh, Kemboja, kepulauan Nicobar dan Andaman di India, selatan Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan di sekitar Sumatera dan Jawa, Indonesia. Habitat semula jadi kera yang berada di bawah status haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi ini ialah hutan tanah pamah, hutan primer serta sekunder dan hutan paya bakau.

Primat omnivor ini memakan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan, pucuk, daun dan haiwan kecil seperti serangga dan mamalia kecil. Spesies ini juga ditemukan memakan ketam yang menyebabkannya dikenali sebagai crab-eating macaque.

Kera sedang makan buah kelapa sawit.

Kera merupakan haiwan yang mampu mengeksploitasi sumber antropogenik. Penerokaan hutan untuk aktiviti pembangunan seperti pembukaan kawasan taman perumahan, institusi pengajian dan pengubahsuaian habitat kepada kawasan ekopelancongan telah memaksa spesies ini untuk beradaptasi dengan perubahan persekitaran. Keadaan tersebut juga mengakibatkan spesies ini mula memasuki taman perumahan, bangunan, kawasan tanaman dan rekreasi sehingga mencetuskan konflik antara kera dengan manusia.

Antara kelakuan gangguan atau konflik kera dan manusia yang paling kerap diperhatikan termasuklah menyelongkar tong sampah, mengganggu hasil tanaman serta kawasan pertanian, merosakkan infrastruktur seperti merosakkan tiang lampu, kabel elektrik, bumbung bangunan, kenderaan manusia dan banyak lagi. Tidak kurang juga kes seperti spesies ini memasuki kediaman manusia, menyerang serta merampas barangan peribadi dan mencederakan manusia.

Kera sedang menyelongkar beg untuk mencari makanan.

 

Sekumpulan kera sedang cuba untuk menceroboh masuk ke kediaman.

 

Keadaan ini boleh mengundang kepada penyebaran penyakit.

 

Cara mudah bagi kera mendapatkan makanan adalah dengan menyelongkar tong sampah dan menyebabkan kawasan sekitar nampak kotor serta boleh mengundang haiwan lain seperti lalat dan anjing liar.

Pengurusan sampah sarap yang kurang sistematik dan baik merupakan faktor penyebab tong sampah menjadi tumpuan kera dalam mencari makanan. Akibatnya, sampah sarap berselerak dan menyebabkan bau busuk. Hal ini sekali gus mengundang kepada lalat dan haiwan lain untuk hadir.

Masalah ini juga akhirnya memberikan impak yang buruk terhadap persekitaran dan secara tidak langsung menyebabkan pencemaran serta penyakit. Kehadiran kera ke kawasan penempatan manusia serta interaksi antara kera dengan manusia hakikatnya mendedahkan kedua-dua entiti ini kepada risiko penyebaran penyakit berbahaya.

Kera juga diketahui merupakan vektor atau perumah kepada pelbagai jenis penyakit zoonotik. Antara penyakit yang dibawa oleh kera dan boleh menjangkiti manusia termasuklah malaria, denggi, cacar monyet, masalah mikrosefali dan gangguan saraf melalui virus zika, pelbagai jenis parasit (endoparasit dan ektoparasit) dan sebagainya. Penyakit ini boleh membawa maut kepada manusia sekiranya tidak dirawat dengan sebaiknya.

Ketersediaan makanan yang tinggi dan kemudahan dalam mendapatkan makanan sekitar penempatan manusia telah menyebabkan konflik antara kera dengan manusia. Motivasi tinggi dan tumpuan kera dalam pencarian makanan di kawasan penempatan manusia kini mula menunjukkan kebergantungan spesies ini terhadap manusia untuk mendapatkan makanan.

Tambah buruk lagi, apabila manusia dengan sengaja memberikan haiwan ini makan dengan keberadaan mereka di tepi jalan raya, tempat awam, kawasan kejiranan dan kawasan ekopelancongan. Akibatnya, haiwan ini akan lebih memilih untuk menerima dan makan makanan manusia berbanding dengan makanan semula jadi.

Hal ini dikatakan demikian kerana makanan manusia lebih mudah didapati di kawasan penempatan manusia dan kaya dengan nutrisi. Hal ini secara tidak langsung mengajar kera untuk terus bergantung pada manusia.

Kebergantungan terhadap manusia dalam mendapatkan makanan memberikan ruang kepada kera untuk bertindak agresif, terutamanya apabila haiwan ini lapar. Tindakan ini berlaku dengan cara merampas, menyerang dan mencederakan manusia untuk mendapatkan makanan.

Bukan itu sahaja, haiwan ini akan menjadi lebih berani untuk memasuki premis atau menceroboh kediaman manusia bagi tujuan yang sama. Pencerobohan ini biasanya dilakukan oleh kera, sama ada secara individu ataupun berkumpulan. Pencerobohan atau serangan kera secara berkumpulan lebih membahayakan penduduk.

Hakikatnya, saban tahun negara kita diberitakan dengan isu kera menyerang manusia melalui akhbar. Antara kes terkini yang dilaporkan termasuklah pada 23 Disember 2023 di Kampung Melati, Kuala Krai, Kelantan. Seorang kanak-kanak lima tahun digigit oleh kera sehingga terpaksa menerima 30 jahitan.

Begitu juga dengan kes yang berlaku di Sungai Petani pada 25 Ogos 2022. Penduduk mengadu bahawa sekumpulan kera telah menyerang penduduk hingga menyebabkan rumah mereka hampir musnah.

Pada 6 Januari 2020 pula, seorang kanak-kanak dilaporkan cedera parah akibat serangan kera pada bahagian kepala dan belakang badan di sebuah kedai makan di Lebuh Raya Muadzam Shah. Kanak-kanak ini diserang oleh kera sewaktu menonton video menggunakan telefon bimbit ibunya. Namun begitu, insiden ini tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan serta gangguan lain seperti merosakkan tanaman dan harta benda.

Kera sedang meninjau dalaman rumah melalui tingkap rumah yang terbuka.

Oleh itu, kepada mereka yang tinggal atau menjalankan aktiviti di kawasan berhampiran dengan habitat kera atau sering mengalami masalah gangguan kera, terdapat beberapa cara bagi mengelakkan isu gangguan kera. Berikut adalah 12 tip bagi mengelak gangguan kera.

  1. Jangan beri makanan kepada kera

Jangan memberi makanan kepada kera, terutamanya di tempat awam, kawasan perumahan, pinggir hutan, jalan raya dan taman. Sikap memberi makanan kepada kera akan mengundang kehadiran kera yang lebih banyak di kawasan tersebut. Kera juga akan bertindak agresif dengan menyerang manusia atau orang awam untuk tujuan mendapatkan makanan, terutamanya apabila lapar.

  1. Elakkan membuang sampah secara terbuka

Tapak pembuangan sampah secara terbuka yang boleh mengundang kera dan haiwan lain. Pembuangan sampah yang bersistematik dan penggunaan tong sampah anti-monyet dapat menangani masalah sampah berselerak akibat gangguan kera.

  1. Tutup pintu dan tingkap

Pastikan pintu dan tingkap sentiasa ditutup rapat apabila anda keluar atau berada di dalam premis. Pasangkan jeriji dan kunci bagi mengelakkan kera daripada menceroboh.

  1. Awasi anak anda

Pastikan anak kecil anda sentiasa diawasi. Elakkan anak kecil dari bermain-main di luar rumah atau di kawasan keliaran kera. Kera lebih gemar menyerang dan mengganggu kanak-kanak atau bayi berbanding dengan orang dewasa kerana anak-anak ini lebih lemah.

  1. Jangan bawa makanan atau minuman secara terbuka

Kera mempunyai deria bau yang sangat tajam. Jangan membawa makanan dalam bungkusan plastik atau buah-buahan secara terbuka sehingga boleh diketahui oleh kera semasa melintasi atau melalui kawasan kera. Hal ini boleh membawa kepada tindakan agresif kera.

  1. Elakkan melalui kawasan atau laluan kera

Sekiranya anda berseorangan dan melalui kawasan habitat atau laluan kera, elakkan diri daripada melalui kawasan yang memungkinkan anda terserempak dengan kera. Kehadiran anda pasti kurang menyenangkan mereka.

  1. Elakkan hubungan mata secara langsung

Apabila bertembung dengan kera, elakkan daripada merenung mata secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana renungan atau hubungan mata boleh menyebabkan kera berasakan diri diancam dan boleh menyebabkan haiwan ini bertindak agresif.

  1. Jangan tunjuk yang anda takut kepada kera

Jika terserempak dengan kera, berjalanlah dengan yakin sekalipun anda berasa bimbang. Berjalanlah dengan bahu yang terbuka dan badan yang lurus. Tunjukkan bahawa anda lebih dominan daripada mereka. Kera cenderung menyerang individu yang berasa kurang yakin dan takut.

  1. Jangan membelakangkan tubuh apabila kera bertindak agresif

Elakkan daripada membelakangkan kera apabila kera berada dalam jarak dekat dengan anda atau apabila kera menunjukkan reaksi agresif di hadapan anda. Jika tidak, awas! Anda dalam bahaya.

  1. Jangan mengacah-acah kera

Jangan mengacah-acah kera atau menunjukkan provokasi terhadap kera. Tindakan ini akan menyebabkan haiwan ini kurang senang dan akan bertindak agresif terhadap anda.

  1. Payung atau objek kayu untuk pertahankan diri dari serangan

Bawa payung atau objek panjang yang boleh dibawa bersama-sama anda sekiranya melalui kawasan yang memungkinkan anda bertembung dengan kera. Alatan ini mungkin berguna sebagai alat untuk mempertahankan diri sekiranya dikejar oleh kera.

  1. Ular getah dan patung harimau

Sekiranya halaman rumah anda kerap diceroboh, tindakan mimikri boleh digunakan untuk menjauhkan kera. Ular getah atau patung harimau boleh diletakkan di halaman rumah atau kawasan singgahan kera untuk menakut-nakutkan haiwan ini bagi mengelakkan gangguan.

Dr. Norlinda Mohd. Daut, Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.