8 Januari 2024, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Mahasiswa daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari (AS256) dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis, Kampus Arau (UiTM Cawangan Perlis) mengikuti lawatan sambil belajar ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) bagi meneroka fungsi, jasa dan bakti agensi berkenaan.

Lawatan setengah hari itu disertai oleh 33 orang mahasiswa dan diiringi seorang pensyarah, Gs. Sharir Aizat Kamaruddin.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat pengenalan tentang APMM yang telah disampaikan oleh Leftenan Maritim, Mohd Fazmin Shah Md Rafee Shah merangkap Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis.

Dalam taklimat tersebut, mahasiswa diperkenalkan dengan fungsi, tanggungjawab dan aktiviti penguatkuasaan yang dipimpin oleh APMM, terutamanya di Zon Maritim Kuala Perlis dan semua maklumat berkenaan dengan statistik kes jenayah di laut turut dibentangkan.

“Jenayah penyeludupan syabu dan ganja serta ketum menjadi tumpuan utama di Zon Maritim Kuala Perlis kerana bersempadan dengan Thailand dan Indonesia,” kata Mohd Fazmin Shah Md Rafee Shah dalam sesi taklimat tersebut.

Beliau juga membentangkan statistik tangkapan daripada tahun 2022 hingga tahun 2023 yang merangkumi kes melibatkan pelanggaran Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Senjata Api 1971, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Sementara itu, Komander Maritim, Mohd Hashim Mat Zain selaku Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis berkongsikan pengalaman kerjaya sebagai pegawai APMM, usaha, jasa dan bakti warga APMM dalam bekerjasama antara jabatan kerajaan dalam menjaga perairan negara, terutamanya di Selat Melaka yang menerima kunjungan kapal dagang antarabangsa yang meningkat saban tahun.

Komander Maritim merangkap Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Mohd Hashim Mat Zain ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

APMM sentiasa membuka peluang kapada mahasiswa yang ingin membuat latihan industri dan mengalu-alukan siswazah untuk membina kerjaya bersama-sama APMM.

Peserta program memperoleh ilmu tentang penguatkuasaan dan kesan penggunaan bubu naga yang boleh merosakkan ekosistem marin.

Sesi lawatan diteruskan dengan melawat ruang pameran senjata api di ruang lokap.

Salah seorang peserta program itu, Muhammad Ihsanuddin Mohamed berkata, senjata api yang ditunjukkan mencerminkan usaha dan keseriusan APMM dalam menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

Ketika melawat ke bahagian lokap untuk merasai keadaan sebenar berada di balik tirai besi, para pegawai APMM turut memaklumkan tatacara pengurusan pusat tahanan dan memberikan nasihat kepada para mahasiswa untuk tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Menurut Jacquenena Ak Robison Babu yang turut menyertai sesi lawatan tersebut, APMM juga mempunyai lokap yang tersendiri tanpa perlu berkongsi lokap dengan jabatan atau agensi lain.

Para peserta juga berpeluang melihat hasil rampasan bubu naga yang boleh merosakkan ekosistem laut selain mendatangkan kerugian kepada perolehan sumber marin di negara ini.

Selesai sesi tersebut, para peserta dibawa ke Jeti Operasi ZMKP bagi meninjau aset kapal yang dimiliki oleh APMM dan mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan sesi taklimat bersama-sama pegawai yang terlibat.

Seorang lagi peserta program, Intan Faizani Ridwan berpandangan bahawa lawatan yang disertai olehnya itu telah memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk sentiasa menghargai jasa dan bakti APMM yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan perairan negara selamat.

Lawatan tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan kepada para peserta untuk mengenali fungsi dan tanggungjawab APMM, malah memberikan kesedaran dan peringatan kepada mereka agar tidak melakukan aktiviti jenayah yang boleh merosakkan keharmonian dan keselamatan negara.

Sekalung penghargaan kepada Pengarah dan Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Zon Maritim Kuala Perlis) serta barisan pegawai APMM yang sudi menerima kunjungan daripada mahasiswa UiTM Cawangan Perlis.

Sesi pertukaran cenderamata antara APMM dengan UiTM Cawangan Perlis.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.