9 Mei 2024, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – MIMOS Berhad dan G7 Aerospace Sdn. Bhd. (G7A) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) semalam bagi membina keupayaan integrasi sistem tempatan dalam ekosistem aeroangkasa Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MIMOS Berhad, kerjasama strategik tersebut menggariskan komitmen bersama untuk memperkukuh keupayaan Malaysia dalam teknologi aeroangkasa, menggalakkan kemajuan teknologi dan memupuk aktiviti bernilai tinggi dalam sektor tersebut.

“Kerjasama ini merangkumi pelbagai inisiatif termasuklah penyertaan dalam program pusat inovasi teknologi industri (ITIC) yang diuruskan oleh MIMOS, projek penyelidikan dan pembangunan yang tertumpu kepada inovasi bahagian avionik, pembinaan kapasiti melalui latihan dan pemindahan pengetahuan serta projek yang disesuaikan dalam sektor elektronik dan elektrik avionik,” kata MIMOS.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa kerjasama tersebut akan memberikan peluang kepada MIMOS untuk memacu kemajuan dalam industri aeroangkasa Malaysia dengan membolehkan aktiviti Bukti Konsep melalui program ITIC.

Inisiatif tersebut juga memungkinkan MIMOS untuk menyokong pemain industri dalam menguji dan menyempurnakan teknologi mereka sebelum dikomersialkan, mempercepat inovasi secara efektif dan memendekkan masa untuk membawa produk baharu ke pasaran.

Selaras dengan objektif strategik New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030, kerjasama berkenaan direka khusus untuk meningkatkan keselamatan ekonomi dan memperkukuh ketahanan serta daya saing ekosistem pembuatan Malaysia.

Menerusi kerjasama strategik ini, MIMOS dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri yang lestari dan penciptaan pekerjaan di seluruh sektor serta meningkatkan peranannya sebagai pemangkin untuk mengubah Malaysia menjadi hab utama dalam bidang teknologi dan inovasi aeroangkasa pada peringkat global.

MIMOS berkata, G7A pula akan memainkan peranan penting dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam perkhidmatan penyelenggaraan avionik, sekali gus memperkuat kemampuan huluan dan hiliran serta meningkatkan keseluruhan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan dan produk aeroangkasa di seluruh Malaysia.

Jelas MIMOS, sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh, G7A akan memberikan tumpuan kepada pemahaman keperluan pelanggan untuk peningkatan avionik, menyediakan dokumentasi reka bentuk untuk integrasi sistem dan pensijilan keselamatan, melabur dalam perkakasan dan perisian yang diperlukan untuk prototaip serta memasarkan solusi kepada pengguna akhir dan pelanggan yang berpotensi.

Pendekatan holistik tersebut bertujuan membina kepakaran seluruh industri dan meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam industri aeroangkasa global.

MoU yang ditandatangani pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 itu telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.