7 Mei 2024, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis  menerima lawatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Tajuddin, Bandar Baharu, Kedah yang berminat untuk mendapatkan pendedahan tentang rutin harian dan aktiviti pengkuliahan mahasiswa di universiti ini serta menyuntik minat para pelajar agar memilih program pendidikan tinggi bercirikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Rombongan yang terdiri daripada 28 orang pelajar tingkatan enam dan lima orang guru pengiring itu disambut oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar (SMPP) UiTM Cawangan Perlis di Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Para pelajar SMK Sultan Ahmad Tajuddin teruja melihat spesimen di bawah mikroskop di Makmal Agroteknologi, UiTM Cawangan Perlis.

“UiTM Cawangan Perlis amat mengalu-alukan kedatangan para pelajar SMK Sultan Ahmad Tajuddin ke kampus ini bagi merasai pengalaman pembelajaran sebagai mahasiswa di universiti,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Ujar beliau, beberapa demonstrasi eksperimen yang ditunjukkan pada hari ini diharapkan dapat meningkatkan kecenderungan para pelajar untuk memilih bidang STEM dan menyambung pelajaran ke UiTM.

Seterusnya, para pelajar diperkenalkan dengan peralatan moden dan beberapa demonstrasi eksperimen dan kajian penyelidikan dijalankan ketika para pelajar melawat ke Makmal Instrumentasi, Makmal Kimia dan Makmal Agroteknologi bagi menyuntik minat para pelajar ke arah bidang STEM.

Beberapa demonstrasi eksperimen dan kajian penyelidikan berasaskan bidang kimia telah dijalankan di Makmal Kimia, UiTM Cawangan Perlis.

Para pelajar juga berkesempatan ke Bilik Kuliah 6 untuk mengikuti beberapa segmen yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Unit Kerjaya dan Kaunseling serta Misi Akademik, UiTM Cawangan Perlis.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Puan Eliy Nazira Mat Nazir; Ketua Unit Kepimpinan Pelajar dan Pengerusi Misi Akademik, YBrs. Dr. Shafiq Sharuddin; Penolong Pegawai Sains Kanan, Puan Noriah Hassan; Penolong Pendaftar BHEP, Encik Ahmad Muaz Mahzair; Pegawai Psikologi, Puan Rozainun Mahmod dan Yang Dipertua MPP UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohamad Ferhan Abdul Halim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.