Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Aquaria KLCC pada hari ini menandakan persetujuan antara kedua-dua belah pihak dalam menjalinkan kerjasama berkaitan dengan pengurusan dan pemuliharaan spesies akuatik terancam seperti penyu, mamalia marin dan batu karang.
DOF dalam kenyataannya berkata, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan bersama-sama pada masa akan datang dengan adanya kerjasama dalam aspek pendidikan dan peningkatan kesedaran awam mengenai pemuliharaan spesies akuatik terancam tersebut.
Dalam kenyataan itu juga, Pengarah Urusan Aquaria KLCC, YBhg. Datuk Simon Foong menyatakan bahawa pemeteraian MoU berkenaan sebagai tanda komitmen yang diberikan oleh Aquaria KLCC terhadap pemuliharaan marin.
Dalam memajukan inisiatif penyelidikan dan pemuliharaan dengan memanfaatkan akademik, kami bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memacu perubahan bermakna dalam ekosistem marin.
Sementara itu, prapelancaran Pusat Konservasi Marin di Angsana Resort dan pengisytiharan Pantai Telok Bahang sebagai sarang penyu bertelur juga diadakan dalam majlis yang sama.
Pelaksanaan bagi kedua-dua usaha tersebut dilakukan oleh Aquawalk Group Sdn. Bhd. serta Angsana Resort dan UMT bertindak sebagai penasihat teknikal bagi usaha pemeliharaan dan rehabilitasi spesies terancam seperti penyu.
Berdasarkan rekod dari tahun 2019 hingga tahun 2023, data pendaratan ibu penyu di Pulau Pinang adalah sebanyak 292 kali dan sebanyak 27,701 biji telur telah berjaya diperoleh, manakala penetasan telur pula sebanyak 17,607 biji.
DOF berkata, pendaratan spesies penyu seperti penyu agar (Chelonia mydas) dan penyu lipas (Lepidochelys olivacea) lebih tertumpu di Pantai Kerachut, Teluk Kampi dan Teluk Bahang.
Dalam hal ini, DOF sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pemegang taruh lain seperti pertubuhan bukan kerajaan untuk menjalankan aktiviti kesedaran kepada golongan sasar.
DOF sentiasa peka dengan isu pengurusan dan konservasi spesies terancam, maka aktiviti pengurusan dan penguatkuasaan penyu dilaksanakan dengan merujuk Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) atau Enakmen Penyu di bawah undang-undang kerajaan negeri.
Sebagai rekod, MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dan Pengarah Urusan Aquaria KLCC, YBhg. Datuk Simon Foong dan disaksikan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Pulau Pinang, Yang Berhormat H’ng Mooi Lye.