7 Mei 2024, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kerajaan memperkenalkan Inisiatif Solar Peralihan Tenaga untuk Rakyat (Inisiatif Solar@PETRA) untuk menggalakkan rakyat menyertai dan mendapat manfaat daripada agenda peralihan tenaga selaras dengan aspirasi negara untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan, inisiatif tersebut akan diterajui oleh pihaknya bersama-sama agensinya, iaitu Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari serta pihak berkepentingan lain.

“Pelaksanaannya bertujuan memperluas dan meningkatkan pemasangan sistem solar fotovolta (PV) dalam kalangan pengguna domestik melalui program dan skim khusus yang dirangka,” kata PETRA.

PETRA juga menyatakan bahawa Inisiatif Solar@PETRA akan dimulakan dan dilancarkan bersekali dengan Program Solar BOLEH! sebagai pemangkin untuk meningkatkan capaian pengguna domestik terhadap skim pemasangan serta kemudahan pembiayaan yang tersedia dalam pasaran.

Program Solar BOLEH! ialah usaha sama antara PETRA dengan AEON Company (M) Berhad, SOLS Energy dan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang bertujuan mempromosikan tawaran produk solar inovatif kepada pengguna domestik yang disediakan oleh pihak swasta.

Antara tawaran tersebut termasuklah langganan pemasangan sistem solar untuk rakyat yang boleh dilakukan secara mudah di cawangan AEON seluruh negara, yakni pemasangan tersebut akan mendapat dua kali ganda mata ganjaran AEON dan 100 orang pelanggan terawal akan memperoleh 40,000 mata ganjaran tambahan bersempena dengan ulang tahun AEON ke-40.

Selain itu, usaha berkenaan juga bertujuan memberikan pengiktirafan dan manfaat kepada pelanggan yang prihatin serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Katanya, kemudahan pembiayaan solar oleh BSN kepada kakitangan kerajaan melalui produk BSN MyRinggit-i (Panel Solar) pula menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif dan pembayaran balik boleh dilakukan melalui pemotongan gaji.

Jelas PETRA, manfaat lain yang ditawarkan termasuklah kemudahan langganan solar oleh SOLS Energy yang menyediakan kaedah pembiayaan solar berasaskan model sifar modal kepada pengguna domestik dan seterusnya menjadikan pemasangan solar mampu bayar untuk rakyat jelata.

Pelaksanaan Program Solar BOLEH! lebih memudahkan capaian rakyat yang berminat kepada skim pemasangan sistem solar PV yang ditawarkan dalam pasaran.

PETRA juga memaklumkan bahawa program tersebut ialah program tambahan kepada Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) yang merupakan program permulaan di bawah Inisiatif Solar@PETRA.

Hal tersebut membuktikan bahawa PETRA komited dalam merangka lebih banyak program dan inisiatif khusus bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada penerapan teknologi solar untuk penjanaan bekalan elektrik melalui pemasangan sistem solar PV di premis kediaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.