6 Mei 2024, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar –  Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit batuk kering atau dikenali juga sebagai tibi perlu dirawat dengan segera bagi mengurangkan morbiditi dan kematian, selain mencegah penyebaran penyakit tersebut.

Pakar Pediatrik, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, YBrs. Dr. Noormasyitah Hamzah berkata demikian dalam program “Penyakit Batuk Kering dalam Kalangan Kanak-kanak” yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, petang tadi.

Pakar Pediatrik, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, YBrs. Dr. Noormasyitah Hamzah ketika membincangkan isu penyakit batuk kering dalam kalangan kanak-kanak yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah berjaya mengesan kemunculan penyakit tibi seawal usia kanak-kanak, namun proses untuk mendiagnosis punca penyakit itu berlaku sukar dilakukan terhadap kanak-kanak yang mengalami penyakit tersebut disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan sampel kahak kanak-kanak yang terlibat.

Antara simptom penyakit tibi dalam kalangan kanak-kanak termasuklah batuk, badan lemah, kurang bermain, kehilangan berat badan, kegagalan proses tumbesaran atau proses pembesaran kanak-kanak, berpeluh ketika malam dan demam berpanjangan melebihi dua minggu.

Dalam sesi perkongsian itu, YBrs. Dr. Noormasyitah Hamzah menjelaskan bahawa gejala penyakit tibi dikesan menerusi pemeriksaan klinikal melalui ujian kulit tuberkulin tuberculin skin test (TST) dan ujian interferon gamma (IGRA), iaitu ujian darah khas bagi mengesan jangkitan penyakit tibi serta ujian kahak mikroskopi.

Beliau berkata, bayi dan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun lebih berisiko dijangkiti penyakit tibi, iaitu antara 20 peratus hingga 40 peratus, manakala golongan remaja dan dewasa pula berisiko dijangkiti penyakit tibi sebanyak lima peratus hingga 10 peratus mengikut jangka hayat golongan dewasa.

Berdasarkan diagnosis awal, perkembangan penyakit tibi biasanya berlaku dalam tempoh dua tahun selepas jangkitan, namun perkembangan penyakit tibi dalam kalangan kanak-kanak berlaku dalam tempoh beberapa minggu selepas jangkitan berlaku.

Sebelum mengakhiri sesi perkongsian tersebut, YBrs. Dr. Noormasyitah Hamzah menegaskan bahawa kanak-kanak yang dijangkiti penyakit tibi perlu diasingkan dengan segera dan rawatan susulan selama dua tahun perlu dilakukan bagi mengelakkan jangkitan penyakit tibi terus merebak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.