Oleh Hamdan Abu
5 Januari 2024, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada November 2023, tular satu berita kehilangan sekotak bahan letupan yang mengandungi sebanyak 30 unit alat peletup yang dikenali sebagai cast booster 400GMS kepunyaan sebuah syarikat kuari yang dalam perjalanan dari Batu Arang ke Kuala Langat, Selangor.

Bahan letupan itu dipercaya tercicir daripada kenderaan pacuan empat roda dan hanya disedari pemandunya di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik (SILK) berhampiran Kuala Langat apabila melihat isyarat daripada pemandu di belakangnya. Polis masih menyiasat kes tersebut dan sehingga tarikh rencana ini ditulis, bahan letupan itu masih belum ditemukan.

Untuk pemahaman, cast booster 400GMS atau penggalak tuang ialah bahan letupan yang digunkan dalam industri kuari dan lombong untuk memecahkan batuan.  Apabila peledaknya dipadankan, cast booster akan meletup pada halaju dan suhu yang sangat tinggi. Bahan letupan yang mengandungi pentolit ini banyak digunakan dalam industri berkenaan dan hanya dikendalikan oleh individu yang mahir atau kompeten.

Cast booster Dyno Nobel TROJAN® . Foto ihsan Dyno Nobel.

 

Persiapan memasang alat letupan di kuari batu. Foto ihsan Dyno Nobel.

Atas faktor itu, bahan letupan penggalak tuangan ini sangat bahaya dan penggunaannya tertakluk kepada kemahiran serta terikat dengan undang-undang dan protokol keselamatan. Sudah tentu, penggunaannya tertakluk kepada prosedur dan memerlukan kebenaran pihak polis serta digunakan untuk industri sahaja.

Menurut undang-undang Malaysia, memiliki, menyimpan atau menggunakan bahan letupan serupa itu secara tidak sah tertakluk pada Seksyen 8, Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1947 yang boleh membawa hukuman selama tujuh tahun penjara atau denda sebanyak RM10 ribu atau kedua-duanya.

Aktiviti Meletup Batu

Bahan mineral sangat diperlukan dalam pembangunan sesebuah negara. Batu digunakan dalam pelbagai industri dan perkhidmatan seperti membina jalan raya dan bangunan.

Oleh sebab itu, batu hanya boleh diperoleh daripada kawasan yang berbatu seperti bukit dan akan dilombong untuk mengeluarkannya. Oleh hal yang demikian, meletup batu merupakan kaedah berkesan bagi tujuan tersebut. Pengeluaran mineral lain seperti emas juga menggunakan kaedah letupan.

Kepesatan industri perkuarian berkembang secara mendadak sejak tahun 1980-an dengan bilangan pengusaha kuari pada ketika itu tidak kurang daripada 320 syarikat di seluruh negara. Aktiviti kuari ialah proses mengeluarkan batu daripada perut bumi bagi tujuan membina bangunan, jalan raya dan terowong. Terdapat beberapa kaedah mengeluarkan batu, namun yang biasa digunakan ialah kaedah letupan menggunakan letupan atau pengerudian mekanikal.

Kerja-kerja meletup batu perlu dijalankan oleh pengendali bertauliah yang dikenali sebagai pembedil atau peletup (shotfirer) selain perlu mematuhi prosedur standard yang ditetapkan, terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan struktur dan kediaman awam. Antara bahaya yang berkait rapat dengan kerja letupan batu termasuklah batu yang berterbangan, bagas udara, gegaran tanah dan sebaran debu.

Pembedil

Seseorang yang mengendalikan bahan letupan dirujuk sebagai pembedil yang perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu. Antara syaratnya termasuklah kelulusan permit, bebas daripada sebarang rekod jenayah dan mempunyai pentauliahan. Pengendalinya juga perlu melalui tapisan keselamatan polis yang ketat sebelum permit atau lesen dikeluarkan.

Sementara itu, pembedil penggalak tuangan di kawasan kuari dan lombong perlu mempunyai sijil kompetensi yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia selepas lulus peperiksaan teori dan amali yang dikendalikan oleh agensi itu. Calon pembedil juga dikehendaki menghadiri kursus peledak selama enam hari yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Kuari Malaysia. Sukatan pelajaran kursus adalah berdasarkan kursus peledak industri kuari di United Kingdom yang berkaitan dengan tatacara menggunakan bahan letupan, keselamatan, kawalan dan simpanan bahan letupan.

Sebelum menghadiri kursus itu, calon dikehendaki untuk menjalani tapisan keselamatan PDRM. Calon juga haruslah berusia melebihi 21 tahun serta tidak mempunyai kecacatan fizikal dan mental. Bukan warganegara Malaysia tidak layak untuk memiliki sijil pembedil kompeten. Sejak tahun 2017, hanya pemegang lesen pembedil yang dikeluarkan oleh JMG yang dibenarkan untuk menjalankan kerja peletupan dalam operasi perlombongan, pengkuarian atau pembinaan.

Selain itu, pembedil yang perlu bekerja dengan jurutera di tapak perlu merancang secara teliti operasi letupan. Beliau semestinya mahir untuk menentukan jenis bahan letupan dan kuantiti yang perlu digunakan mengikut keluasan tapak letupan. Elemen letupan seperti corak letupan dan kapasiti alat peletup perlu mengikut spesifikasi bagi menjamin protokol keselamatan.

Sebagai contohnya, kesan gegaran daripada letupan penggalak tuangan mestilah dalam julat yang tidak menimbulkan masalah kepada penduduk sekitar dan harta benda. Proses untuk meletupkan juga perlu melalui tatacara yang betul seperti pengerudian lubang mengikut kedalaman yang ditentukan dan kelas bahan letupan. Jika letupan dilakukan pada permukaan, langkah keselamatan tambahan perlu diamalkan bagi mengelakkan bahaya di sekelilingnya, terutamanya dalam jarak jejari kurang dari 400 meter.

Kerjaya sebagai Pembedil

Kebanyakan orang tidak mengetahui akan kerjaya sebagai pembedil yang bekerja dalam industri pembinaan, kuari, perlombongan dan terowong. Di negara membangun, pembedil mendapat permintaan yang tinggi kerana keperluan pembangunan seperti kerja meratakan bukit, kawasaan berbatu atau merobohkan struktur.

Walau bagaimanapun, tiada kursus khas yang berkaitan dengan pembedil yang boleh dipelajari di institusi pendidikan tinggi di negara ini. Bakal pembedil perlu berusaha sendiri menghadiri kursus jangka pendek yang dikendalikan oleh majikan atau pertubuhan profesional. Lazimnya, pembedil yang berkhidmat dalam industri perlombongan dan pengkuarian juga merupakan jurutera. Oleh itu, pembedil yang berpendidikan tinggi dalam bidang yang berkaitan seperti kejuruteraan sumber mineral, sains geologi dan seumpamanya daripada institut pengajian tinggi merupakan satu kelebihan.

Kebanyakan graduan dalam bidang kejuruteraan sumber mineral merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Difahamkan, setakat ini, hanya USM merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi awam di negara ini yang menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Sumber Mineral.

Jurutera Perlombongan, Dinie Ameer 28 tahun berkata, memandangkan industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) mula berkembang di Malaysia, kerjaya sebagai jurutera dalam industri perlombongan mineral mempunyai masa depan yang baik. Pelbagai jawatan dan bidang perlombongan mineral mula ditawarkan oleh beberapa syarikat tempatan.

Dinie Ameer, Jurutera Kanan Mineral dalam bidang perlombongan emas.

Graduan dalam bidang kejuruteraan sumber mineral daripada USM yang berjawatan sebagai Jurutera Kanan di sebuah syarikat perlombongan emas di Tawau, Sabah berkata, kerjayanya amat mencabar, baik dari segi fizikal mahupun mental. Dalam industri yang diceburinya, gadis seperti Dinie menghadapi sedikit kesukaran untuk menyampaikan arahan kepada rakan sepasukan yang kebanyakannya lelaki dan lebih senior daripadanya.

Selain itu, beliau perlu berada di kawasan perlombongan yang jauh berpuluh-puluh kilometer di pedalaman atau di dalam hutan untuk tempoh yang panjang selain tinggal bersendirian. Beliau juga perlu bersedia bekerja di luar pejabat dan dalam cuaca panas atau hujan yang mungkin pada segelintir yang lain tidak sanggup untuk menghadapinya. Di samping itu, capaian komunikasi yang sukar dalam tempoh lama menyekat perhubungan luar dan terpisah daripada jaringan maklumat masa nyata (real-time).

Dinie yang berpengalaman lebih lima tahun dalam industri lombong emas menambah, walaupun umum melihat industri melombong emas sebagai suatu perusahaan yang sangat gah, namun hakikatnya syarikat perlu mengeluarkan pelaburan awal yang besar untuk pelbagai peralatan, jentera, kakitangan, jururunding dan yang agak penting ialah kepakaran ahli geologi. Jika salah perancangan, syarikat berkenaan boleh mengalami kerugian disebabkan oleh bahan mineral di kawasan perlombongan terlalu minimu, dan tidak memberikan pulangan ekonomi yang baik.

“Melombong emas berbeza dengan industri kuari batu. Walaupun kawasan melombong emas dilihat agak luas tetapi bukan semua bahan yang ditemukan ialah emas. Berbanding dengan kuari batu, sesuatu bukit yang diratakan semuanya adalah hasil batuan yang boleh dijual,” jelas Dinie.

Kemalangan di Kuari 

Kegagalan pembedil untuk mematuhi prosedur tertentu boleh menyebabkan kemalangan atau tragedi yang melibatkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa. Sekadar mengambil  contoh pada 22 Mac 2007 telah berlakunya runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Ipoh. Kemalangan itu melibatkan kehilangan dua pekerjanya yang sedang mengerudi batu pada kedalaman 3.65 meter untuk memasukkan penggalak tuangan.

Sementara itu, kontraktor utama perlu mendapatkan kelulusan pelan pembangunan dan kerja tanah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kehendak ini dinyatakan secara umum dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pelan pembangunan yang dihantar haruslah memperincikan semua prosedur kerja (method statement) yang melibatkan letupan.

Permit letupan lepuh (plaster shooting) pula tidak akan diberikan jika kerjanya dilakukan dalam jarak jejari 400 meter dari kawasan berpenduduk. Letupan lepuh ialah peledak yang diletakkan terus pada permukaan batu yang kecil berbanding dengan peledak yang perlu dimasukkan di dalam lubang untuk memecahkan batu yang bersaiz besar.

Pengeluaran bahan batuan seperti tanah, pasir batu dan logam-logam bernilai (emas, bauksit dan lain-lain) adalah tertakluk di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994. Berdasarkan keperluan industri dan penguatkuasaan, kuari dibenarkan beroperasi berdasarkan Surat Kuasa Kepada Kuari (Letter of Authority to Quarry) yang dikeluarkan secara tahunan untuk kuari yang jauh dari kawasan perumahan. Kuari yang berdekatan dengan kawasan kediaman pula diberikan kebenaran bagi setiap enam bulan dan kuari di kawasan pembangunan tertakluk pada pembaharuan permit.

Selain pemeriksaan rutin oleh jabatan berkaitan, pengusaha kuari juga diwajibkan menghantar laporan operasi kuari dan peletupan seperti disyaratkan oleh JMG serta Laporan Kualiti Alam Sekitar pada setiap tiga bulan bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan. Kuari yang diusahakan di kawasan hutan simpan pula memerlukan kebenaran khas daripada Jabatan Perhutanan Negeri.

Antara agensi yang terlibat dengan penguatkuasaan operasi kuari termasuklah JMG, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). PDRM pula bertanggungjawab mengeluarkan permit penggunaan bahan letupan itu kepada pembedil letupan yang tertakluk pada Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1947. Pegawai polis juga berhak masuk ke kawasan kuari untuk memantu letupan yang dilakukan.

Kegiatan industri perkuarian di negara ini dikawal oleh beberapa undang-undang seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Akta Bahan Letupan 1957, Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan 1984.

Jurutera kuari yang juga pembedil kompeten, Muhammad Afiq Zabidi berkata, sepanjang empat tahun bertugas di tapak kuari, belum ada kemalangan serius yang berpunca daripada letupan batu. Beliau juga sangat menitikberatkan prosedur operasi dan mematuhi keselamatan sepanjang masa bagi mengelakkan bahaya.

“Sebelum letupan dilakukan, segala prosedur sebagaimana yang ditetapkan oleh JMG akan dipastikan teratur serta memastikan arah angin tidak memberikan halangan atau membawa debu kepada kawasan berpenduduk,” jelasnya.

Kata Muhammad Afiq, beliau menyedari banyak cabaran berkaitan operasi kuari daripada penduduk, terutamanya yang tinggal berhampiran kuari. Antaranya termasuklah beliau perlu menangani aduan orang ramai yang dikaitkan dengan kegiatan kuari walupun isu yang dibangkitkan itu bukan berpunca dari kuari.  Oleh sebab itu, beliau seboleh mungkin akan mengambil tindakan untuk menangani masalah yang dibangkitkan seperti aduan gegaran, bunyi bising, sebaran habuk atau debu akibat tipuan angin dan lain-lain.

Muhammad Afiq Jurutera Kuari di Pulau Pinang.
Muhammad Afiq bertugas sebagai Jurutera Kuari di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Muhammad Afiq berkata peluang untuk graduan kejuruteraan kuari dan lombong mendapatkan pekerjaan lebih mudah berbanding kejuruteraan dalam bidang lain yang mungkin sudah terlalu ramai. Katanya, sebaik menamatkan pengajian daripada USM, beliau telah ditawarkan untuk bekerja dalam bidang yang dipelajarinya.

Hasil Industri Kuari

Pengusaha kuari kebanyakannya memilih untuk mengendalikan kuari di kawasan yang mempunyai bahan granit. Granit ialah bahan batuan bertekstur keras,   terbentuk di dalam tanah dan dibawa ke permukaan bumi melalui peluluhawaan. Kandungan utama batu granit ialah kuarza, feldspar dan mika.

Industri kuari menghasilkan pelbagai produk, bukan sahaja untuk membuat jalan raya dan bangunan, malah sebagai bahan untuk menghasilkan produk batu lantai seperti jubin granit, seramik, kuarzit, batu pasir dan lain-lain. Sementara itu, batu kapur digunakan untk menghasilkan simen, manakala granit digunakan dalam campuran simen konkrit.

Mengendalikan Kuari

Untuk mengendalikan sebuah kuari bersaiz sederhana yang mempunyai antara 50 hingga 70 pekerja, hal tersebut memerlukan pelaburan mencecah RM5 juta. Pelaburan itu adalah bagi menyediakan pelbagai kelengkapan seperti mesin pengorek (crawler drill), mesin pemecah batu (boulder breaker), penyodok (shovel/excavator), beberapa buah lori pengangkut dan traktor.

Kawasan kuari dan peralatan yang digunakan. Foto ihsan Muhammad Afiq.

Sebuah kuari sederhana dianggarkan mampu memproses kira-kira 115 juta tan metrik batu setahun dengan anggaran hasil kira-kira RM1955 juta jika berdasarkan anggaran harga minimum sebanyak RM17 bagi setiap tan metrik.  Dianggarkan juga kira-kira 322 buah kuari beroperasi di seluruh negara dengan andaian 20 ribu pekerja dalam pelbagai tugas.

Masalah Berbangkit

Masalah berbangkit berkaitan operasi kuari di kawasan berpenduduk telah banyak kali diperkatakan dan agensi berkaitan juga telah bertindak berdasarkan aduan tersebut. Berbagai-bagai masalah yang timbul seperti gangguan habuk dan udara tercemar, bunyi bising, gegaran daripada letupan dan kenderaan pengangkut batu yang keluar masuk.

Sekadar beberapa contoh, pada Oktober 2021, penduduk Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor telah mengadu berlakunya pencemaran dan udara yang berbau asfat atau bitumen daripada kuari di Jalan Sungai Lalang. Ekoran kejadian itu, JAS telah menyiasat empat premis yang berkaitan kuari dan dua daripadanya telah diberikan notis Penahanan Operasi Kelengkapan. Premis tersebut juga di arahkan untuk melengkapkan peralatan sistem kawalan pencemaran udara. Sebuah lagi premis telah ditarik lesennya oleh PBT.

Penduduk di Bandar Sunway Semenyih pula sering mengadu berlakunya gegaran kuat setiap kali kerja letupan dilakukan. Ada ketika, penduduk berasakan kediaman mereka bergegar dan ada kejadian dinding, tembok dan lantai yang retak.

Pada Oktober 2022 juga, JAS melakukan siasatan ekoran aduan penduduk berkaitan bau seakan-akan minyak tar sepanjang malam. Selepas penyiasatan dalam pelbagai faktor, JAS menemui kehadiran pencemar udara jenis hidrokarbon dan sebatian organik meruap (volatile organic compound) selain pelepasan chimeney premix plant.

Berdasarkan hansard persidangan Dewan Negeri Selangor Disember 2022, sebanyak 17 pengusaha kuari di negeri itu yang beroperasi di atas tanah kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pengarah Tanah dan Galian daerah Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sementara itu, terdapat sembilan kuari lain di bawah pentadiran Jabatan Perhutanan Selangor yang terletak di kawasan hutan simpan daerah Hulu Langat dan Gombak. Rizab bahan batuan dan bahan granit di Selangor difahamkan  boleh dilombong selama lapan tahun hingga 27 tahun lagi di kawasan tertentu.

Kesimpulannya, perlombongan dan pengkuarian masih menjadi satu daripada industri utama diMalaysia yang mengeluarkan bahan mineral logam dan bukan logam. Mineral logam seperti agregat, bauksit, tembaga,  emas, kerikil, ilmenit, bijih besi dan timah. Mineral bukan logam pula merangkumi kaolin, batu kapur, mika, monazit, pasir, pasir silika, tanah liat dan arang batu, termasuklah air dan gas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.