4 Januari 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan kewujudan kartel atau mafia yang mampu memonopoli industri padi dan beras kerana sebanyak 39 ribu lesen seperti lesen borong beras, lesen eksport, lesen import, lesen kilang padi, lesen membeli padi, lesen beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS) telah dikeluarkan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPKM hari ini, industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang membolehkan kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan.

Akta 522 memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras untuk mengeluarkan lesen dan permit bagi urus niaga padi dan beras meliputi pengilangan, pemborongan, peruncitan, import dan eksport serta pemindahan antara negeri.

Pada tahun lalu, lesen pengilangan BPS telah diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah, Jabatan Pertanian Malaysia melaksanakan ujian makmal bagi pengesahan BPS dan KPKM turut memperuntukkan sebanyak 72,000 tan metrik BPS bagi memenuhi keperluan pesawah.

Sepanjang tempoh pelaksanaan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) bagi memastikan semua peruncit menjual BPS mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan BPS pada 7 November hingga 21 November tahun lalu, KPKM telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan BPS milik peruncit yang melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Pengilang, pemborong dan peruncit perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan KPKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini dan sekiranya pelanggaran undang-undang berlaku, tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen.

Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, para pesawah dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi kepada kementerian melalui portal aduan KPB atau e-mel [email protected] atau menghubungi Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-8870 1751/1748/1183.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.