4 Januari 2024, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia melangkah setapak lagi dalam menelusuri perjalanan era digital berfokuskan rakyat. Terkini, Kementerian Ekonomi tampil dengan inisiatif Pangkalan Data Utama (PADU) yang menjadi tonggak penting dalam pengurusan data rakyat secara bersepadu pada peringkat nasional.

Inisiatif PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 2 Januari 2024 lalu. PADU tampil sebagai buah tangan tahun baharu 2024 oleh Kementerian Ekonomi untuk rakyat Malaysia. Usaha gah ini disokong oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Fungsi dan Peranan

PADU dirancang menjadi pusat data rakyat yang komprehensif dan efisien. Pangkalan data ini menghimpunkan data bagi setiap warga negara dan pemastautin tetap. PADU sebagai platform data berpusat, mengandungi maklumat terperinci bagi setiap individu dan isi rumah. Hal ini adalah untuk mewujudkan ekosistem data yang lengkap dan bersifat hampir masa nyata (real-time).

Integrasi data merupakan aspek kritikal dalam PADU. Sistem menghimpunkan maklumat adalah daripada kesemua agensi kerajaan. Integrasi ini tidak hanya merevolusi cara kerajaan mengumpul data, tetapi juga memperlihat data digunakan untuk membuat keputusan penting. Bermula daripada data asas peribadi hingga data pendapatan dan tanggungan, PADU menjamin setiap aspek kehidupan warga negara Malaysia direkodkan dan diuruskan dengan sempurna.

Dengan adanya PADU, kerajaan dapat meningkatkan keberkesanan dalam pembuatan keputusan. Sistem ini bakal memudahkan kerajaan dalam mengenal pasti keperluan spesifik bagi setiap lapisan masyarakat. Data yang diterima daripada pengguna akan diproses dengan sempurna supaya sampai kepada golongan sasar. Hakikatnya, PADU memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan Malaysia yang lebih berinovasi, adil dan inklusif. Menariknya, PADU bertepatan dengan visi negara untuk menjadi lebih inklusif dan terhubung dalam era digital.

Walaupun begitu, pelancaran PADU tidak lari daripada cabaran. Pada hari kelahirannya, sistem ini mengalami kesesakan akibat jumlah pengunjung yang tinggi. Hal ini mungkin juga sebagai tanda semangat dan penerimaan rakyat terhadap sistem ini. Di sebalik kelemahan itu, Malaysia perlu menyedari keperluan infrastruktur digital yang ampuh dan kukuh untuk menunjang inisiatif data raya sebesar PADU.

Memerangi Ketirisan

Satu daripada halangan terbesar yang dihadapi oleh kerajaan dalam penyaluran bantuan ialah isu ketirisan dan penyalahgunaan sumber dana. Sebelum ini, kerajaan membelanjakan sebanyak RM22 bilion untuk mengurangkan beban rakyat termiskin di negara ini.

PADU dijangka dapat memastikan pengagihan yang tepat kepada sasaran. Dengan anggaran subsidi mencapai RM80 bilion, sistem ini mustahak dibangunkan kerana sebelum ini, wujud kekhuatiran bahawa dana, bantuan dan subsidi kerajaan tidak sepenuhnya sampai kepada golongan memerlukan.

Maka itu, PADU diharapkan dapat menangani masalah ini dengan menyediakan satu sumber data yang tepat. Hal ini memungkinkan kerajaan untuk mengenal pasti dan memfokuskan sumber daya pada individu dan keluarga yang memenuhi kriteria tertentu. Usaha ini juga mampu mengurangi risiko penyalahgunaan dan kesalahan alokasi.

PADU diyakini dapat mengurangkan ketirisan dalam penyaluran dana dan subsidi. Hal ini termasuklah pengagihan bantuan kewangan, subsidi dan bantuan sosial lain. Sistem ini juga dirancang untuk mengurangkan kesenjangan sosioekonomi dan memastikan bantuan dan subsidi sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Isu Keselamatan Data Peribadi

Sepanjang tahun 2023, isu kebocoran maklumat peribadi menjadi perhatian utama dalam dunia teknologi dan keselamatan siber. Insiden kebocoran data peribadi ini menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat. Antaranya termasuklah pada Julai 2023, Direktorat Jenderal Imigresen Indonesia mengalami kebocoran data yang agak parah. Insiden ini melibatkan butiran sensitif pada pasport kira-kira 34.9 juta warga Indonesia.

Oleh sebab itu, dalam konteks PADU, pendekatan keselamatan data yang komprehensif amat diperlukan. Oleh itu, fokus utama harus diberikan kepada beberapa perkara.

Pertama, penekanan kepada integriti data adalah penting untuk melindungi data daripada serangan siber dan mengelakkan kebocoran. Kedua, pengurusan identiti yang efektif, termasuklah mengguna pakai model Zero Trust. Hal ini kritikal untuk mengawal akses dan memastikan hanya individu yang dibenarkan sahaja yang mempunyai akses ke data sensitif. Ketiga, penetapan keutamaan akses berdasarkan risiko. Tindakan ini dapat memastikan sumber teknologi maklumat dapat ditangani dengan bijak untuk menghadapi ancaman kritikal terhadap keselamatan data.

Selain itu, dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), terdapat kebimbangan mengenai potensi AI akan digunakan dalam menghasilkan data peribadi palsu. Oleh sebab itu, isu keselamatan data yang berkaitan dengan AI dan kepatuhan terhadap standard etika dan keperluan undang-undang menjadi semakin penting. Hal ini juga menuntut pengawasan yang lebih ketat dan peraturan yang lebih rapi dalam penggunaan AI di Malaysia.

Dalam konteks PADU, mustahak bagi kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan data peribadi rakyat seperti melaksanakan dasar keselamatan siber yang lebih ketat. Pihak berwajib juga perlu memastikan penggunaan teknik penyulitan yang lebih teguh untuk melindungi data. Selain itu, protokol akses yang lebih ketat perlu dilaksanakan.

Yang pasti, PADU memerlukan pendekatan keselamatan data yang holistik dan mantap. Kelebihan ini dapat memastikan perlindungan terhadap kebocoran data demi mengelola risiko siber dengan lebih berkesan.

Penyertaan Masyarakat dan Isu Keselamatan Data

Dengan pelibatan sebanyak 455 agensi sektor awam di Malaysia, PADU memainkan peranan dalam merasionalkan proses pengurusan maklumat. Hal ini bererti bahawa rakyat tidak lagi perlu mengisi data berulang kali untuk transaksi dengan institusi berbeza, sebagaimana dilakukan sebelum ini.

Namun demikian, keberkesanan PADU tidak hanya bergantung pada kecanggihan teknologi data raya. Kejayaan platform ini juga terletak pada penyertaan aktif masyarakat dalam mengemas kini data mereka. Oleh hal yang demikian, penyertaan rakyat Malaysia sebagai anggota masyarakat memainkan peranan yang penting.

Setiap warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas diwajibkan untuk mendaftar di portal PADU. Proses ini melibatkan pengesahan data peribadi seperti nombor kad pengenalan, jumlah isi rumah dan alamat.

Selain itu, aspek keselamatan data tetap menjadi keutamaan utama dalam pembangunan PADU. Dengan adanya risiko yang berkaitan dengan privasi dan keselamatan data, sistem ini dilengkapi dengan langkah keselamatan seperti teknologi penyulitan data, pengendalian akses yang ketat dan protokol keselamatan lain untuk melindungi data peribadi.

Di samping itu, keberkesanan PADU, sebagaimana ditekankan Ketua Pengarah Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin amat bergantung kepada keaslian data yang dimuat naik. Oleh sebab itu, inisiatif ini memerlukan pengguna memberikan hampir 40 data utama, termasuklah maklumat asas, alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan jenis bantuan.

Kesimpulannya, PADU bukan sekadar permainan retorik politik angka ekonomi, namun mencerminkan prinsip keadilan sosial dan kesetaraan. PADU membuka lembaran baharu dalam tatakelola sumber daya negara yang lebih telus melalui pengurusan data yang lebih efisien.

Sebenarnya, PADU adalah cukup “padu” yang bukan sekadar pangkalan data sebagaimana biasa. PADU merupakan cerminan inovasi digital dan tanda prihatin kerajaan terhadap penyaluran sumber negara kepada rakyat.

 

Ts. Syahrul Nizam Junaini, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.