4 Januari 2024, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nama ulat kelongsong atau dikenali juga sebagai kamitetep mungkin agak asing berbanding dengan serangga lain seperti nyamuk, lebah dan tebuan. Namun begitu, serangga ini sering ditemukan pada dinding rumah dalam bentuk kepompong yang pipih.

Saiz ulat kelongsong hanyalah sebesar biji buah tembikai atau biji labu. Ulat kelongsong atau nama saintifiknya Phereoeca uterella merupakan sejenis rama-rama daripada famili Tineidae dan order Lepidoptera.

Larva ulat kelongsong akan membesar dan kekal di dalam kepompong hingga serangga ini bertukar menjadi ulat kelongsong dewasa. Kepompong ulat kelongsong biasa ditemukan di tempat kering yang mempunyai kelembapan yang tinggi seperti di bilik mandi, di sebalik langsir dan almari serta di tempat yang terlindung di dalam rumah. Walaupun ulat kelongsong dilihat kecil, namun sengatannya boleh menyebabkan kegatalan dan kerengsaan pada kulit.

Tindak Balas Kulit Akibat Sengatan Larva Ulat Kelongsong

Bukan sahaja menjadi serangga perosak yang mengakibatkan kekotoran pada dinding rumah, ulat kelongsong boleh dikatakan berbahaya kerana larvanya boleh menyengat.

Walaupun sengatan serangga ini tidaklah seteruk sengatan lebah atau gigitan pepijat, namun sengatan larva ulat kelongsong mampu menyebabkan tindak balas kulit pada bahagian tubuh yang disengat. Individu yang disengat biasanya akan mengalami bengkak, rasa sakit dan kegatalan yang berpanjangan. Lazimnya, sengatan ini berlaku tanpa disedari oleh individu yang disengat.

Bukan itu sahaja, sengatan larva ulat kelongsong meninggalkan bulu halus pada kulit yang boleh mencetuskan tindak balas alahan. Sesetengah individu mungkin berisiko mendapat gejala alahan yang lebih serius seperti anafilaksis yang boleh menyebabkan beberapa fungsi badan terganggu seperti tekanan darah menurun secara mendadak, kesukaran bernafas, pitam dan akhirnya berkemungkinan mengakibatkan kematian.

Sekiranya disengat larva ulat kelongsong, langkah awal yang harus dilakukan ialah membuang bulu halus daripada larva tersebut daripada permukaan kulit. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan bulu halus ini dapat ditanggalkan daripada kulit termasuklah dengan menggunakan pita pelekat. Kemudian, bahagian yang berkenaan harus dicuci dengan sabun dan air.

Selain itu, rasa pedih pada bahagian yang disengat dapat dikurangkan dengan menggunakan ais yang dibalut dengan kain yang bersesuaian (jaram sejuk). Teknik ini boleh dilakukan selama lima minit hingga 10 minit. Ais yang digunakan hendaklah dipastikan tidak bersentuhan dengan kulit tanpa sebarang lapik untuk tempoh yang terlalu lama kerana dikhuatiri akan memberikan kesan kepada kulit.

Rawatan bagi Sengatan Larva Ulat Kelongsong

Secara umumnya, rawatan yang digunakan untuk mengubati bahagian tubuh yang disengat larva ulat kelongsong adalah secara simptomatik. Dalam kebanyakan kes yang melibatkan sengatan ulat kelongsong, tindak balas kulit yang dialami tidak begitu serius dan boleh dirawat di rumah. Walau bagaimanapun, individu yang mengalami gejala yang lebih serius hendaklah mendapatkan pemeriksaan lanjut di kemudahan kesihatan.

Beberapa kumpulan ubat boleh digunakan untuk tujuan yang berbeza oleh individu yang disengat ulat kelongsong. Antaranya termasuklah ubat tahan sakit seperti parasetamol atau ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen atau mefenamic acid. Ubat-ubatan ini boleh dieperoleh di farmasi komuniti dan pengambilannya perlu mengikut dos dan kekerapan yang diarahkan.

Sebagai tambahan kepada ubat tahan sakit, ubat topikal juga boleh digunakan dalam rawatan sengatan ulat kelongsong sekiranya diperlukan. Sediaan topikal hanya untuk kegunaan luaran bagi membantu mengurangkan keradangan dan kegatalan pada bahagian tubuh yang disengat. Sediaan topikal ini boleh diperoleh di farmasi komuniti. Individu yang disengat juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi tentang cara penggunaan sediaan topikal ini.

Losen kalamin merupakan satu daripada sediaan topikal yang boleh digunakan untuk mengurangkan kegatalan akibat kerengsaan kulit. Losen tersebut harus digoncangkan secukupnya bagi menyeragamkan kandungan bahan aktif sebelum boleh digunakan.

Sapuan losen boleh dilakukan dengan menggunakan kapas. Selepas disapu, losen tersebut boleh dibiarkan pada kulit hingga kering. Langkah yang sama boleh diulang sekiranya diperlukan.

Satu lagi ubat topikal yang sesuai untuk mengurangkan keradangan dan melegakan kegatalan akibat sengatan ialah sediaan steroid topikal. Krim yang mengandungi ubat daripada kumpulan steroid hendaklah disapu pada kulit secara nipis dan tidak berlebihan. Tempoh penggunaan juga harus dipatuhi kerana penggunaan ubat ini yang berpanjangan tidak digalakkan.

Ubat daripada kumpulan antihistamin juga merupakan ubat yang penting untuk mengurangkan gejala alahan pada kawasan yang disengat ulat kelongsong. Secara ringkasnya, gejala seperti ruam, gatal-gatal pada kulit, bersin, hidung berair dan beberapa lagi berlaku disebabkan tindak balas histamin kepada bendasing atau alergen di dalam badan. Antihistamin bertindak dengan menghalang kesan histamin dan seterusnya mengelakkan gejala alahan daripada berlaku.

Ubat Antihistamin dan Cara Pengambilan

Terdapat dua kumpulan ubat antihistamin iaitu ubat antihistamin generasi pertama dan ubat antihistamin generasi kedua. Kedua-dua kumpulan ini berbeza dari segi kesan sampingan yang dihasilkan

Ubat antihistamin generasi pertama seperti klorfeniramina, difenhidramina dan prometazina boleh mengakibatkan rasa mengantuk dan mengganggu penumpuan. Sebaliknya, risiko kesan sampingan tersebut adalah lebih rendah dengan pengambilan ubat antihistamin generasi kedua seperti loratadine, cetirizine, desloratadine dan levocetirizine.

Sekiranya mengambil ubat antihistamin generasi pertama, individu yang disengat larva ulat kelongsong diingatkan untuk berehat di rumah kerana dikhuatiri akan mengalami kesan sampingan. Mereka dinasihatkan agar tidak memandu dan mengendalikan peralatan atau mesin yang memerlukan penumpuan. Hal ini penting untuk mengelakkan kemalangan atau kecederaan disebabkan oleh kesan sampingan mengantuk dan hilang fokus.

Ubat antihistamin generasi pertama juga harus digunakan secara berhati-hati untuk kanak-kanak. Penggunaan ubat ini tidak digalakkan untuk kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun kerana ubat-ubatan ini berisiko mengakibatkan masalah pernafasan (distres respirasi). Ibu bapa bagi kanak-kanak yang disengat ulat kelongsong disaran untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut agar rawatan yang bersesuaian dapat diberikan.

Memandangkan risiko kesan sampingan lebih rendah dengan pengambilan ubat antihistamin generasi kedua, individu yang terkena sengatan ulat kelongsong adalah digalakkan untuk menggunakan ubat ini. Ubat antihistamin dikategorikan sebagai ubat terkawal tanpa preskripsi yang boleh diperoleh melalui ahli farmasi di farmasi komuniti. Nasihat ahli farmasi di premis tersebut boleh membantu dalam menentukan ubat antihistamin yang bersesuaian dengan individu yang hendak mengambilnya.

Nasihat untuk Individu yang Disengat Ulat Kelongsong

Tindak balas kulit yang berpunca daripada sengatan ulat kelongsong biasanya akan sembuh dalam tempoh satu minggu hingga dua minggu. Ubat antihistamin atau sediaan topikal yang digunakan dapat membantu mengurangkan gejala yang dialami dan mempercepat penyembuhan. Individu yang disengat ulat kelongsong dinasihatkan untuk tidak menggaru pada bahagian tersebut kerana tindakan ini akan menyebabkan luka dan berisiko untuk meningkatkan risiko jangkitan.

Selain mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut apabila diperlukan, langkah pembasmian ulat kelongsong harus dilakukan di rumah. Kepompong ulat kelongsong yang melekat pada dinding atau perabot hendaklah sentiasa dibuang.

Aktiviti mengemas dan membersihkan kawasan rumah harus dilakukan dengan lebih kerap. Penyedia perkhidmatan kawalan serangga perosak boleh juga dihubungi untuk membantu memusnahkan larva ulat kelongsong, di samping mengelakkan ulat kelongsong dewasa membiak di dalam rumah.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.