Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKerajaan dijangka akan mula melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) atau lebih dikenali sebagai Digital ID sepenuhnya pada tahun ini. Hal ini telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Hari Pendaftaran Negara Tahun 2021 dan Sambutan Jabatan Pendaftaran Negara 73 Tahun.
Baru-baru ini, kerajaan telah melantik Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Negara MIMOS Berhad sebagai agensi pelaksana bagi program Digital ID dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta. Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyalurkan peruntukan tersebut kepada MIMOS Berhad bagi menyegerakan pelaksanaan program berkenaan.
Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini berdasarkan ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, imbasan iris dan maklumat demografik seperti nama dan sebagainya bagi membolehkan rakyat menjalankan urusan secara dalam talian dengan selamat. Pengesahan individu secara digital adalah penting bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.
Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan pendigitalan perkhidmatan kerajaan berteknologi dan berkapasiti tinggi, Digital ID ialah satu daripada inisiatif yang terkandung dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Berdasarkan maklumat daripada portal kerajaan, sebanyak 90 peratus perkhidmatan Digital ID dilaksanakan secara dalam talian. Kadar penembusan e-dagang di dalam negara juga mencatat sebanyak 60 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan Digital ID dilihat sebagai cara terbaik dan mudah untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti seseorang apabila berurus niaga dengan menggunakan perkhidmatan kerajaan dan laman sesawang e-dagang.
Selain itu, Digital ID juga dapat membantu rakyat membuat suatu urusan secara bersemuka atau pada jarak jauh menerusi alam maya dengan menggunakan penyedia perkhidmatan digital dari sektor awam ataupun swasta bagi tujuan pengesahan identiti dengan selamat, terjamin dan pantas.
Dengan adanya Digital ID, orang ramai boleh mengakses dan melakukan pelbagai transaksi tanpa perlu mengingati pelbagai ID pengenalan dan kata laluan seperti yang dilakukan pada masa ini. Digital ID tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti kewarganegaraan, namun bertindak sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan ketika melakukan transaksi secara digital.
Penggunaan Digital ID pada peringkat global telah berkembang pada kadar yang pantas. Menurut Thales Group, skim Digital ID telah ada di 15 buah negara Eropah seperti Jerman, Belgium, Croatia, Denmark, Estonia, Itali, Sepanyol, Belanda, Portugal dan United Kingdom (UK) pada penghujung tahun 2020.
Jumlah kad pengenalan digital dijangka akan meningkat secara global daripada 2.5 bilion pada tahun 2022 kepada empat bilion pengguna pada tahun 2026. Estonia telah membenarkan rakyatnya menyimpan dan mengurus dokumen rasmi masing-masing melalui dompet digital sejak beberapa tahun lalu. Di negara ini, sebanyak 99 peratus perkhidmatan dapat diakses secara elektronik.
Sebagai contohnya, rakyat di negara berkenaan boleh membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank untuk membuktikan identiti, melakukan perundingan dengan doktor dan mendapatkan preskripsi ubat-ubatan secara dalam talian menerusi akses kepada rekod kesihatan, melakukan transaksi penyewaan hartanah, mengundi dalam talian, e-pembelajaran dan sebagainya.
Teknologi baharu yang diguna pakai oleh Estonia bukan sahaja memudahkan rakyatnya, malah mampu membantu negara tersebut menjimatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak dua peratus dengan menggunakan teknologi digital.
Di India pula, kira-kira 1.2 bilion warganegaranya telah didaftarkan di bawah program Digital ID yang bermula pada tahun 2009. Hal ini memberikan banyak manfaat kepada negara berkenaan termasuklah mengurangkan kos dan birokrasi. Dari segi keselamatan juga bertambah baik dengan menggantikan dokumen fizikal kepada dokumen digital serta dapat mengurangkan aktiviti penipuan dan rasuah.
Pada tahun lalu, UK mencadangkan satu undang-undang baharu untuk menjadikan identiti digital lebih dipercayai dan selamat seperti pasport dan lesen memandu walaupun penggunaan Digital ID di UK bergerak pada kadar yang perlahan, iaitu kurang daripada 10 peratus penduduk di negara tersebut menggunakan Digital ID untuk berurusan dengan perkhidmatan kerajaan.
Sistem Digital ID mampu merancakkan transformasi digital yang lebih cekap merentas ekonomi tempatan dan meningkatkan penyertaan negara dalam ekonomi pada peringkat global. Hal ini dapat diperhatikan apabila banyak transaksi tempatan dan antarabangsa yang memerlukan pengenalan peribadi. Aktiviti komersial termasuklah e-dagang dan perkhidmatan e-kerajaan menjadi lebih mudah diakses, cepat dan berkesan.
Seterusnya, penggunaan Digital ID juga menjadikan suatu transaksi yang dilakukan lebih pantas dan murah. Penggunaan Digital ID juga mampu mengurangkan kos dan masa, mengurangkan kerenah birokrasi dan ketersediaan perkhidmatan yang lebih responsif. Kepantasan dan kepercayaan pengenalan seseorang boleh disahkan dengan cepat sekali gus menghasilkan interaksi yang lebih cekap antara pihak yang terlibat dengan urusan berkenaan.
Di samping itu, Digital ID turut mengurangkan risiko penipuan dengan menawarkan beberapa faedah dari segi keselamatan dalam talian dan mengurangkan berlakunya penipuan secara dalam talian serta pelanggaran data peribadi. Negara yang telah melaksanakan Digital ID didapati mengalami penurunan yang ketara dari segi aktiviti penipuan serta menjimatkan puluhan atau ratusan juta dolar.
Walau bagaimanapun, penggunaan Digital ID telah menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan ahli politik tentang beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Antara masalah dalam penggunaan Digital ID ialah capaian terhadap liputan Internet, terutamanya dalam ekonomi yang sedang pesat membangun, yakni sebahagian besar penduduk berkemungkinan tidak mempunyai akses kepada Internet. Oleh hal yang demikian, hal ini menjadi kesukaran kepada mereka untuk menggunakan Digital ID dalam dunia digital.
Berdasarkan pangkalan data Identiti untuk Pembangunan (ID4D) Bank Dunia, hampir satu bilion orang di seluruh dunia tidak mempunyai sebarang bentuk pengenalan yang diiktiraf secara sah. Pelaksanaan akses kepada program Digital ID menjadi sukar bagi melaksanakan pelbagai urusan dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, golongan seperti orang miskin, penduduk luar bandar, etnik minoriti, warga tua, orang kurang upaya, wanita dan kanak-kanak yang kurang celik teknikal berkemungkinan terpinggir daripada sistem baharu ini.
Selain itu, risiko keselamatan juga menjadi isu utama dalam penggunaan Digital ID. Memandangkan teknologi pada masa ini semakin berkembang, hal ini membuka ruang kepada penjenayah untuk mencuri maklumat dan melakukan aktiviti penipuan.
Situasi ini dapat dilihat apabila masalah penipuan siber yang semakin berleluasa, namun tidak dapat dibendung hingga kini. Sekiranya Digital ID dilaksanakan, berkemungkinan besar akan mengundang satu lagi jenayah digital dalam bentuk yang baharu.
Digital ID diumpamakan seperti peranti ghaib yang dipasang pada badan seseorang. Dengan menggunakan kaedah teknologi kecerdasan buatan, setiap pergerakan, cita rasa dan pemikiran seseorang itu mudah dikawal seperti haiwan yang dirantai.
Di UK, ancaman siber telah meningkat sebanyak 62 peratus sejak tahun 2020. Dengan mengambil kira hal ini, kerajaan seharusnya memastikan penggunaan Digital ID yang bakal dilaksanakan lebih dipercayai dan selamat.
Sebelum Digital ID dapat dilaksanakan, beberapa cabaran perlu dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Cabaran utamanya ialah memastikan tahap privasi dan keselamatan seseorang. Sistem Digital ID memproses berbilion data maklumat peribadi seseorang secara kerap dan tanpa kebenaran atau pengetahuan mereka. Maklumat ini termasuklah butiran biografi seperti nama, alamat, tarikh lahir, jantina serta biometrik (pengecaman muka, imbasan iris dan cap jari), data perbankan dan transaksi serta maklumat berasaskan lokasi.
Pemusatan data yang begitu banyak, perkongsian data peribadi yang berlebihan tanpa persetujuan pengguna, ketidakupayaan untuk mengawal data peribadi, pendedahan kepada serangan siber dan pelanggaran data serta pengawasan besar-besaran oleh syarikat dan kerajaan adalah antara isu yang menunjukkan kesan negatif Digital ID.
Cabaran kedua ialah berkaitan dengan penggubalan akta tentang Digital ID. Hingga kini, tiada akta khusus yang berkaitan dengannya. Akta ini adalah penting untuk digunakan dalam beberapa perkara yang sangat sensitif, misalnya pendaftaran pengundi baharu dalam daftar pemilih, mengundi dalam pilihan raya, mengakses perkhidmatan awam dan swasta serta mendapatkan lesen memandu.
Selain itu, tiada peruntukan dalam apa-apa akta untuk ciri kebolehcapaian mandatori dalam Digital ID dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya. Oleh sebab itu, orang kurang upaya berkemungkinan dikecualikan daripada menggunakan teknologi ini. Diskriminasi terhadap komuniti utama seperti pendatang, gelandangan dan orang kurang upaya juga telah diketengahkan dalam banyak kajian tentang Digital ID di seluruh dunia.
Cabaran lain ialah ralat teknikal. Ralat teknikal yang tidak diingini boleh berlaku dan menyebabkan akses kepada perkhidmatan kritikal adalah terhad seperti kegagalan dalam pengesahan di tempat perkhidmatan, laman sesawang yang tidak mesra pengguna, rekod tidak tepat, ketidakupayaan untuk menambah maklumat penting atau kekurangan sokongan teknikal yang boleh dipercayai.
Oleh hal yang demikian, kerajaan seharusnya mempertimbangkan sepenuhnya risiko ketersediaan dan mengenal pasti penyelesaian yang mengutamakan pengguna serta menjamin privasi dan keselamatan pengguna.
Faktor penyelenggaraan juga menjadi cabaran dalam penggunaan Digital ID. Beberapa masalah utama yang berkemungkinan wujud, iaitu kekurangan dana untuk mengekalkan sistem siber yang selamat, kesukaran mengekalkan sumber manusia yang kritikal untuk mentadbir sistem Digital ID, akses yang tidak sama rata kepada capaian Internet dan telefon pintar yang menjadi teknologi yang paling penting untuk memacu penggunaan Digital ID. Selain itu, pergantungan pada teknologi atau vendor tertentu, kepercayaan yang rendah terhadap kerajaan serta kesukaran penggunaannya di kawasan luar bandar juga adalah antara masalah yang perlu diselesaikan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan Digital ID memberikan manfaat kepada rakyat, komuniti yang menjalankan perniagaan dan kerajaan dalam aspek menyokong perkhidmatan digital yang lebih efisien. Pelaksanaan Digital ID juga dijangka bakal menggalakkan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan bagi penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat.
Tambahan pula, Digital ID turut memberikan nilai tambah kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi digital merentasi pelbagai sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan awam, kewangan, e-dagang, e-dompet dan e-kesihatan. Bukan itu sahaja, Digital ID juga membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan tanpa sempadan tempat dan masa.
Teknologi ini lebih diperlukan pada masa ini akibat kesan pandemik COVID-19 bagi menyokong berlangsungnya pelaksanaan kerja, pembelajaran, transaksi dan aktiviti lain secara dalam talian atau tanpa sentuh (contactless) bagi menjalani kebiasaan baharu.
Secara keseluruhannya, melalui penggunaan Digital ID, rakyat dapat menikmati pengalaman menggunakan perkhidmatan digital yang lebih lancar, selamat dan privasi data terjamin. Rakyat juga dapat menjimatkan masa menunggu dan wang berbanding dengan melakukan transaksi di kaunter.
Selain itu, ekonomi digital juga dapat ditingkatkan dan memacu negara ke arah transformasi digital dengan meningkatkan kepercayaan dan keselamatan pengguna untuk melakukan transaksi secara digital. Kualiti penyampaian perkhidmatan digital yang lebih efisien dan menjimatkan kos penyampaian perkhidmatan juga dapat dipertingkat.
Pihak penyedia perkhidmatan digital turut dapat meningkatkan kecekapan dan menjimatkan kos dari segi mendaftar, membangun dan menyelenggara sistem pengesahan identiti digital mereka sendiri dan menggalakkan penawaran perkhidmatan digital yang baharu seperti teknologi kewangan, platform ekonomi dan aplikasi ekonomi.