Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPaku tanjung atau Diplazium esculentum C. Presl ialah spesies paku pakis yang berbatang tegak dan stip yang berukuran 50 sentimeter atau lebih. Tepi daunnya berigi membulat, cetek dan mengarah keluar daripada lamina daun.
Teksturnya juga nipis seperti kertas. Daun fertil mempunyai sorus pada abaksial daun, manakala daun steril tidak mempunyai sorus.
Paku pakis ini mudah ditemukan di kawasan belukar, terutamanya di kawasan tanah lembap dan teduhan matahari dengan altitud kurang daripada 800 meter.
Paku tanjung adalah antara paku pakis yang boleh dimakan dan popular di pasaran tempatan dan di seluruh negara di Asia dan Pasifik. Tumbuhan ini mempunyai taburan yang meluas di kawasan tropika dan subtropika – bermula dari kawasan tropika Asia, utara ke tengah China dan selatan Jepun hingga ke Timur Jauh di Polinesia.
Paku tanjung mudah dikenali kerana spesies ini biasa ditemukan di sekitar kampung dan ladang di Asia Tenggara. Spesies ini ialah tumbuhan yang agak tinggi berbanding dengan spesies pakis lain yang tumbuh di kawasan ladang pertanian.
Tumbuhan ini digunakan secara meluas di Asia Tenggara. Dua bahagian yang biasa digunakan ialah rizom dan daun. Daun muda spesies ini juga boleh dijadikan ulam.
Orang asli dan masyarakat Melayu menggunakan paku pakis ini untuk rawatan tradisional. Antara kegunaannya dalam perubatan tradisional termasuklah rawatan untuk demam.
Daun yang matang akan dihancurkan atau dilumatkan, kemudian direndamkan di dalam air. Rebusan air tersebut akan didemah atau disapukan pada badan pesakit. Air rebusan tumbuhan ini juga diberikan kepada ibu yang lepas bersalin untuk menyegarkan badan.
Masyarakat Sunda menggunakan keseluruhan bahagian paku tanjung, termasuklah akar untuk merawat demam, dermatitis dan campak. Masyarakat Tengger dari Jawa Timur pula menggunakan rizom pakis ini untuk merawat cirit-birit.
Sementara itu, dua masyarakat yang berbeza di Semenanjung Thailand dilaporkan mendidihkan daun spesies ini di dalam air. Air tesebut kemudiannya diminum untuk mengelakkan kembung perut dan sembelit.
Daun paku tanjung kaya dengan zat besi, fosforus, kalium dan protein. Kehadiran lipid, karbohidrat, vitamin, serat serta komposisi mineralnya menunjukkan kehadiran sebatian mikro dan makro penting yang baik untuk kesihatan badan.
Terdapat kajian yang membuktikan bahawa aktiviti antibakteria paku tanjung dan konstituen aktifnya dapat membantu dalam merawat pelbagai jenis penyakit. Ekstrak rizomnya juga didapati lebih berkesan daripada ekstrak daunnya yang menunjukkan kadar perencatan yang lebih tinggi terhadap Staphylococcus aureus dan Salmonella arizonae.
Paku tanjung tumbuh dengan mudah melalui pembiakan vegetatif. Spesies ini boleh menghasilkan kelompok besar individu dengan penghasilan individu baharu yang keluar daripada daun.
Paku tanjung ialah paku pakis yang paling biasa dimakan oleh kaum Penan Benalui di Borneo, manakala orang Dusun Sabah memasak pakis sebagai sayur atau salad. Masyarakat di Bali pula menambahkan daun lembut pakis ke dalam sup sayur-sayuran. Komuniti Dao dan H’mong di Lao Wilayah Cai, Vietnam juga menggunakan pakis yang diambil terus dari hutan ini sebagai sayuran.
Secara umumnya, paku tanjung (Diplazium esculentum) memiliki beberapa kegunaan dan nilai ekonomi, terutamanya di beberapa negara di Asia Tenggara. Antara beberapa manfaat dan nilai ekonomi paku tanjung termasuklah:
Daun muda paku tanjung boleh dimasak, dimakan dan dijadikan sebagai sayuran. Hidangan sayuran paku tanjung sering dijadikan menu pelbagai hidangan tempatan di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.
Walaupun bukti ilmiah yang mencukupi masih pada peringkat kajian, terdapat beberapa laporan yang melaporkan khasiat ubat-ubatan spesies ini. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa penggunaan pakis tanjung atau mana-mana tumbuhan lain untuk tujuan perubatan mestilah berdasarkan bukti saintifik yang kukuh dan diawasi oleh pakar perubatan atau herba yang terlatih. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua tumbuhan selamat untuk dimakan atau digunakan untuk tujuan perubatan tanpa pengawasan perubatan.
Oleh sebab permintaan yang secara relatifnya agak tinggi untuk daun paku tanjung ini dijadikan sebagai makanan sayuran, maka spesies ini memberikan nilai ekonomi kepada penduduk tempatan menjana pendapatan untuk jualan kepada masyarakat setempat.
Selain nilai ekonomi, paku tanjung juga memiliki nilai pemuliharaan yang penting kerana spesies ini juga berperanan dalam kepelbagaian biologi flora di Malaysia.
Walaupun paku tanjung memiliki nilai ekonomi, berpotensi sebagai ubat-ubatan dan mempunyai nilai kulinari, pengutipan dan penggunaan paku tanjung harus dilakukan secara terkawal. Usaha untuk menanam dan membiakkan tumbuhan ini perlu dilakukan dalam skala besar bagi memastikan kelestariannya dan kecukupan sumber untuk dinikmati oleh generasi akan datang.