Oleh Audrey Lim Huili
7 Disember 2023, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Virus imunodefisiensi manusia (HIV) dan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) kerap digunakan silih berganti, namun kedua-duanya membawa maksud yang berlainan. HIV merupakan sejenis virus yang menyerang sistem ketahanan tubuh dan seterusnya melemahkan tahap imuniti seseorang untuk melawan jangkitan secara optimum. Sebaliknya, AIDS merujuk fasa terakhir jangkitan HIV yang dialami oleh pesakit.

Virus HIV akan kekal sepanjang hayat di dalam badan pesakit yang dijangkiti. Walau bagaimanapun, pengambilan ubat antiretrovirus secara berterusan dan janji temu kesihatan secara berkala dapat melambatkan jangkitan HIV daripada memasuki fasa AIDS. Terapi rawatan dengan kombinasi ubat antiretrovirus dikenali sebagai terapi antiretrovirus (ART).

Fungsi ART

ART ialah gabungan sekurang-kurangnya tiga jenis ubat daripada beberapa kumpulan ubat antiretrovirus. Sehingga kini, di Malaysia, terdapat empat jenis kumpulan ubat ART yang mempunyai mekanisme yang berlainan, iaitu, nucleoside/nucleotide reverse transcriptase inhibitors (NRTI), non-nucleoside reverse transcriptase inhibitors (NNRTI), perencat protease (PI) dan integrase strand transfer inhibitors (INSTI).

Fungsi ART adalah untuk meningkatkan bilangan sel darah putih (sel CD4) serta mengurangkan bilangan virus HIV di dalam badan (beban virus). Dengan cara ini, risiko bagi jangkitan oportunistik, iaitu jangkitan yang lebih teruk bagi pesakit yang dijangkiti HIV dapat dikurangkan. Seterusnya, tahap kesihatan dan kualiti hidup pesakit akan meningkat.

Pengambilan ART adalah untuk sepanjang hayat dan tidak boleh dihentikan, kecuali atas nasihat doktor. ART perlu diambil pada masa yang sama setiap hari kerana ketidakpatuhan kepada masa pengambilan ART berisiko menyebabkan kegagalan rawatan.

Namun begitu, segelintir pesakit mengalami kesukaran untuk kekal patuh kepada rawatan ART kerana mengalami kesan sampingan yang menyebabkan kualiti hidup mereka terjejas. Oleh sebab itu, pemahaman pesakit tentang kesan sampingan ART perlu ditingkatkan agar mereka mengetahui cara meminimumkan kesan sampingan yang dialami dan seterusnya dapat kekal patuh kepada rawatan.

Kesan Sampingan Biasa Ubat Antiretrovirus

Antara kesan sampingan ubat antiretrovirus daripada kumpulan NRTI seperti Tenofovir ialah ketoksikan mitokondria (mitochondrial toxicity) yang mengakibatkan kebas dan sakit saraf. Selain itu, ubat-ubat NRTI boleh menyebabkan ketidakselesaan perut, rasa loya, muntah dan cirit-birit.

Tenofovir secara khususnya perlu digunakan dengan pemantauan fungsi buah pinggang yang berterusan dan ujian kepadatan mineral tulang secara berkala. Hal ini dikatakan demikian kerana ubat ini berpotensi menyebabkan kesan sampingan berkaitan kedua-dua organ berkenaan.

Ubat Nevirapine daripada kumpulan NNRTI pula lazimnya menyebabkan ruam yang boleh sembuh dalam masa dua minggu hingga empat minggu. Namun begitu, dalam sesetengah keadaan, kesan sampingan sindrom Stevens-Johnson yang lebih serius mungkin berlaku. Satu lagi ubat daripada kumpulan NNRTI, iaitu ubat Efavirenz pula sering menyebabkan rasa pening, mengantuk, insomnia dan mimpi ngeri.

Antara kesan sampingan bagi ubat dalam kumpulan PI termasuklah kesan hepatotoksisiti dan sindrom metabolisme. Ubat daripada kumpulan INSTI pula berisiko mengakibatkan kesan sampingan seperti sakit otot, pening dan insomnia.

Cara Menangani Kesan Sampingan Ubat Antiretrovirus

Langkah bersesuaian boleh diambil oleh pesakit yang mengambil ART bagi mengurangkan kesan sampingan yang dialami. Hal ini penting memandangkan kesan sampingan tersebut dapat mempengaruhi tahap kepatuhan pesakit terhadap rawatan ART.

Kesan sampingan pening dan sakit kepala boleh diatasi dengan pengambilan ubat tahan sakit seperti tablet Paracetamol mengikut dos serta kekerapan yang disarankan. Keadaan tenang serta rehat yang mencukupi di dalam bilik yang sunyi dan gelap turut membantu dalam situasi ini. Pesakit juga dinasihatkan supaya mengurangkan minuman berkafein seperti teh dan kopi.

Pesakit yang mengalami insomnia selepas mengambil ART digalakkan mengamalkan tabiat tidur yang sihat. Perkara ini termasuklah dengan menyediakan persekitaran tidur yang kondusif seperti bilik tidur yang sunyi, gelap, dingin dan selesa.

Gajet dan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer dan televisyen yang terdapat di dalam bilik harus dimatikan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu tidur. Bukan itu sahaja, makanan dalam saiz yang besar serta minuman beralkohol atau kafein juga hendaklah dielakkan apabila sudah menghampiri waktu tidur.

Selain itu, pesakit disarankan agar sentiasa minum air yang telah dimasak serta mengurangkan kuantiti atau saiz hidangan bagi setiap waktu makan. Langkah ini dapat mengurangkan kesan sampingan muntah dan cirit-birit selepas pengambilan ART.

Di samping itu, pesakit hendaklah mengelakkan makanan yang pedas dan berminyak. Sekiranya pesakit mengalami cirit-birit atau muntah yang berterusan, pesakit haruslah mendapatkan rawatan lanjut. Ubat seperti garam rehidrasi boleh diambil seperti yang diarahkan.

Kesan sampingan ruam yang dialami oleh pesakit dapat dikurangkan dengan penggunaan sabun tanpa pewangi atau produk pelembap kulit pada bahagian badan yang terkesan. Pesakit harus meminimumkan tempoh berada di luar rumah, terutamanya pada cuaca yang panas bagi mengelakkan kulit terdedah kepada cahaya matahari. Pengambilan air yang mencukupi juga sangat digalakkan.

Bagi kesan sampingan kebas atau sakit otot pada kaki, pesakit dinasihatkan untuk memilih stoking atau kasut yang bersesuaian. Hadkan aktiviti yang memerlukan pesakit berjalan dalam tempoh yang lama.

Selain itu, pesakit boleh merendamkan kaki di dalam air suam dan mengurutnya dengan kain sebagai cara relaksasi kaki. Sakit otot pada bahagian badan yang lain boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat tahan sakit seperti Paracetamol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti Mefenamic Acid atau Diclofenac.

Kepentingan Menangani Kesan Sampingan dengan Berkesan

Kepatuhan kepada ART merupakan satu daripada faktor yang menentukan keberkesanan rawatan. Oleh sebab itu, kepatuhan pesakit kepada rawatan harus dititikberatkan dan satu daripada caranya adalah dengan meminimumkan kesan sampingan yang mungkin terjadi. Pesakit digalakkan untuk berbincang dengan ahli profesional kesihatan seperti doktor atau ahli farmasi bagi mendapatkan panduan dan nasihat yang bersesuaian supaya kesan sampingan ubat antiretrovirus dapat diuruskan secara efektif.

 

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.