2 Disember 2023, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kadar penurunan jangkitan baharu virus imunodefisiensi manusia (HIV) dan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) di Malaysia semakin perlahan, iaitu hanya 24 peratus antara tahun 2010 hingga tahun 2022 berbanding dengan pada tahun 2000 hingga tahun 2009 yang mencatatkan kadar penurunan sebanyak 50 peratus.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa kegagalan untuk menurunkan kadar jangkitan ini akan menyebabkan penularan penyakit berkenaan terus berlaku secara senyap.

Jangkitan HIV perlu diturunkan hingga 90 peratus mulai tahun 2010 bagi mencapai hasrat negara untuk mengakhiri penyakit AIDS yang menjadi ancaman kesihatan awam pada tahun 2030.

Sambutan Hari AIDS Sedunia merupakan agenda tetap yang disambut pada 1 Disember pada setiap tahun di seluruh dunia termasuklah Malaysia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang jangkitan HIV dan langkah pencegahan serta rawatan ke arah mengakhiri penyakit AIDS pada tahun 2030.

Sambutan tersebut juga menjadi platform untuk semua pihak memperbaharui komitmen dan tekad bagi mempergiat usaha dalam menangani jangkitan HIV dan AIDS.

KKM dengan kerjasama pelbagai pihak atau agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah komuniti akan terus memantapkan pelaksanaan program pencegahan, kawalan, rawatan dan penjagaan HIV dan AIDS di samping melaksanakan inisiatif baharu bagi terus mengekang jangkitan HIV.

Program saringan HIV akan diperluas dengan pelaksanaan saringan HIV kendiri yang menjadi pilihan tambahan, terutamanya kepada populasi kunci atau kumpulan berisiko untuk menjalani saringan dan status HIV.

Liputan tentang rawatan virus berkait AIDS (ARV) akan dipertingkat daripada 68 peratus pada tahun 2022 kepada 95 peratus menjelang tahun 2030 selain memastikan orang hidup dengan HIV yang menerima rawatan ARV ini mencapai status U=U (undetectable = untransmittable).

Selain itu, Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (PROSTAR) telah dijenamakan semula sebagai PROSTAR 2.0 bagi memperkasakan remaja dan golongan muda dengan pendidikan yang lengkap mengenai HIV dan AIDS selain memberikan pendedahan terhadap langkah pencegahan daripada jangkitan ini.

KKM juga memaklumkan bahawa stigma dan diskriminasi akan terus ditangani dengan pelaksanaan inisiatif dalam mengurangkan stigma dan diskriminasi dengan menggunakan pendekatan Peningkatan Kualiti (S&D QI) di 10 buah fasiliti kesihatan pada fasa pertama dan 55 buah fasiliti kesihatan pada fasa kedua.

Kajian rintis Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) di 18 klinik kesihatan di bawah KKM sejak Januari 2023 akan terus dijalankan bagi menilai kebolehlaksanaan perkhidmatan PrEP HIV di fasiliti kesihatan kerajaan walaupun secara umumnya ubat PrEP telah terbukti secara saintifik berupaya mencegah jangkitan HIV hingga 99 peratus.

Komuniti yang terdiri daripada orang yang hidup dan terjejas disebabkan oleh HIV memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak mereka serta meningkatkan kesedaran tentang HIV, memerangi stigma dan diskriminasi, mendidik masyarakat mengenai pencegahan HIV, meningkatkan akses kepada rawatan dan ujian HIV sekali gus memperkasakan masyarakat untuk mengubah tingkah laku berisiko yang boleh meningkatkan jangkitan HIV.

KKM juga menyeru masyarakat untuk mengambil peluang bagi meningkatkan pengetahuan tentang HIV dan AIDS serta mengamalkan cara hidup sihat bersempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia.

Semua pihak harus berganding bahu bagi membendung jangkitan HIV dan seterusnya merealisasikan matlamat negara bagi mengakhiri penyakit AIDS menjelang tahun 2030.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.