1 Disember 2023, 22:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang tadi telah mengadakan sesi taklimat khas penerbitan di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Taklimat yang berlangsung selama dua jam itu disampaikan oleh Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa yang berkongsikan ilmu tentang fungsi Jabatan Penerbitan. Menurut Puan Fauzilahyatun, DBP menawarkan pelbagai peluang penerbitan kepada para penulis dalam bidang sains dan teknologi untuk menyumbangkan karya mereka untuk diterbitkan oleh DBP sama ada menerusi majalah atau buku.

Pengarah Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa memberikan penerangan khusus berkaitan dengan peluang penerbitan di DBP.

Pengarah Penerbitan DBP menyatakan bahawa Jabatan Penerbitan merupakan jabatan terbesar di DBP yang mempunyai sembilan bahagian di bawahnya menawarkan peluang kepada penulis untuk berkarya dalam usaha membina kepakaran mereka mengikut bidang yang diminati tanpa terikat dengan latar belakang pendidikan. Tambah beliau,

Penulis yang mempunyai latar belakang yang berlainan tidak perlu khuatir untuk menyerlahkan potensi dan bakat mereka sebagai penulis walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza-beza. Namun begitu, bagi penulis yang berminat untuk menghasilkan buku ilmiah, keutamaan diberikan kepada pakar yang mahir dalam bidang yang berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau menasihati para peserta yang terdiri daripada ahli akademik itu supaya merebut peluang yang ditawarkan oleh DBP kerana karyawan tersebut akan menikmati pelbagai faedah hasil daripada karya yang diterbitkan. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa DBP mempunyai “pantang larang” yang tersendiri bagi mengekalkan kualiti penerbitannya sebagai sebuah organisasi yang dipercayai oleh masyarakat selama ini. Menurutnya, DBP tidak akan sesekali berkompromi apabila melibatkan isu plagiat dan hak cipta. “Elakkan diri daripada memplagiat karya orang lain agar tidak disenaraihitamkan oleh DBP,” tegas beliau. Beliau juga menjelaskan bahawa plagiat merupakan tindakan yang tidak beretika dan boleh menjejaskan nama baik pelbagai pihak pada masa akan datang termasuklah penulis itu sendiri yang perlu berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya dibawa ke muka pengadilan.

Dr. Rosmani Omar menerima cenderamata sebagai tanda kenangan daripada Prof. Madya Dr. Lesley Maurice Bilung.

Dalam sesi yang sama, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar turut memberikan taklimat tentang peluang penerbitan DBP menerusi 11 majalah fizikal mengikut bidang dan lapan majalah yang bersifat sohor kini yang diterbitkan melalui portal JendelaDBP. Dalam usaha DBP memperbanyak karya dalam bidang sains dan teknologi, beliau mengajak ahli akademik dalam bidang tersebut agar merebut peluang yang ada untuk menyerlahkan potensi dan bakat penulisan mereka. Hal ini demikian kerana ilmu dalam bidang sains dan teknologi yang dimiliki oleh tenaga akademik dalam bidang tersebut perlu dikongsikan kepada masyarakat. Tambah beliau,

Untuk menjadi penulis rencana majalah, penulis perlu mendekati majalah terbitan DBP dan meneliti ruangan yang ada. Menulis rencana majalah berupaya membawa penulis untuk melangkah kepada penerbitan buku. Oleh itu, rebutlah peluang penerbitan dengan DBP.

Norfaraneiza Muhd Arifin, Editor Dewan Kosmik.

Dalam sesi yang sama, Editor Dewan Kosmik,  Norfaraneiza Muhd Arifin turut memberikan taklimat tentang penulisan rencana dalam majalah Dewan Kosmik. Norfaraneiza turut berkongsi maklumat tentang peluang, syarat penerbitan dan panduan dalam menghasilkan rencana yang baik dalam majalah Dewan Kosmik yang ditangani oleh beliau. Dewan Kosmik merupakan satu-satunya majalah DBP yang bertemakan sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan yang kini telah memasuki usia 30 tahun penerbitannya. “Kekangan untuk menulis dalam bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu difahami oleh sidang editor, namun kami sedaya upaya akan membantu para penulis untuk menjadi penulis yang baik dalam bidang ini dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul,” jelas beliau.

Sesi perkongsian ilmu ini dipengerusikan oleh Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Komuniti), Prof. Madya Dr. Lesley Maurice Bilung dan dihadiri oleh kakitangan akademik Fakulti Sains dan Tekonologi Sumber, UNIMAS.

Abd Kadir Mohd Ayub, Editor Dewan Masyarakat.

Terdahulu, sesi perkongsian tentang peluang penerbitan di DBP, di samping syarat dan peluang penerbitan dalam majalah Dewan Kosmik (yang berusia 30 tahun) dan majalah Dewan Masyarakat, iaitu majalah terbitan DBP yang kini telah memasuki usia 60 tahun penerbitannya turut diadakan di Pusat Pengajian Pra-Universiti, UNIMAS pada hari yang sama. Sesi tersebut disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Editor Dewan Kosmik, Norfaraneiza Muhd Arifin dan Editor Dewan Masyarakat, Abd Kadir Mohd Ayub.

Dr. Mohd Ridwan Abd Rahman@Tahir, Timbalan Pengarah (Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan) Pusat Pengajian Pra-Universiti, UNIMAS semasa menyampaikan cenderamata kepada Ketua Editor Bahagian Majalah.

 

Menurut Timbalan Pengarah (Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan), Dr. Mohd Ridwan Abd Rahman@Tahir, pihak Pusat Pengajian Pra-Universiti, UNIMAS amat mengalu-alukan perkongsian ilmu daripada pihak DBP dalam konteks penerbitan dalam usaha meningkatkan minat tenaga akademik dalam bidang penulisan rencana popular. Hal ini demikian kerana penulisan tersebut berbeza daripada penulisan rencana ilmiah. Menyedari kepentingan penerbitan dalam bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, beliau berharap agar kerjasama berkenaan akan diteruskan pada masa yang akan datang.

Sesi taklimat bersama-sama kakitangan akademik Pusat Pengajian Pra-Universiti UNIMAS yang berlangsung pada sebelah pagi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.