Oleh Normah Awang
23 November 2023, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mesyuarat bersama-sama pemegang taruh dari beberapa industri dan agensi kerajaan anjuran Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur bertujuan mendapatkan input bagi semakan kurikulum, khususnya kandungan kursus yang akan ditawarkan bagi kurikulum program akan datang yang dijangka akan ditawarkan pada sesi pengajian tahun 2025 – 2026.

“Semakan kurikulum perlu dilakukan terhadap semua program di Fakulti Sains Kesihatan, UKM sekali bagi setiap lima tahun untuk memastikan sukatan pelajaran yang ditawarkan adalah memenuhi kehendak pasaran semasa,” kata Timbalan Dekan Prasiswazah, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Akmal Sabarudin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam mesyuarat itu.

Timbalan Dekan Prasiswazah, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Akmal Sabarudin menyampaikan ucapan alu-aluan semasa mesyuarat bersama-sama pemegang taruh.

Menurut beliau, segala pandangan dan input yang diberikan oleh pemegang taruh dalam mesyuarat tersebut adalah penting dalam sesuatu semakan kurikulum kerana mereka merupakan bakal majikan yang akan menyediakan peluang pekerjaan kepada bakal graduan daripada program yang disemak.

Sementara itu, berdasarkan pembentangan struktur cadangan untuk semakan kurikulum yang disampaikan oleh Ketua Program, YBrs. Dr. Nurul Farahana Kamaludin, perubahan utama telah dilakukan terhadap kurikulum yang disemak, yakni komponen kursus dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah bertambah daripada 50 peratus kepada 70 peratus serta memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Jelas beliau, komponen kursus yang selebihnya merupakan komponen dalam bidang kesihatan persekitaran yang merangkumi sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan sukatan pelajaran yang disemak.

Beliau juga menyatakan bahawa hasil kajian pasaran yang telah dijalankan mendapati bahawa sebanyak 90 peratus responden telah bersetuju dengan cadangan struktur kursus yang telah dilakukan semakan.

“Komponen kesihatan persekitaran merupakan pelengkap kepada kurikulum yang akan ditawarkan kerana pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kesihatan persekitaran yang diajar kepada graduan merupakan satu daripada nilai tambah kepada kualiti diri mereka,” ujar wakil dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Puan Laila Che Long.

Sesi perbincangan tentang kesesuaian sukatan pelajaran untuk semakan kurikulum program sedang dijalankan.

Hasil daripada mesyuarat berkenaan, kesemua pemegang taruh telah bersetuju dengan sukatan pelajaran yang disemak dan hanya sedikit penambahbaikan perlu dilakukan, manakala bagi kursus latihan industri, kebanyakan pemegang taruh telah bersetuju dengan jangka masa sangkutan yang dicadangkan, iaitu selama enam bulan dengan justifikasi memberikan pendedahan dan tugasan yang lebih terperinci kepada para pelajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.