Oleh Normah Awang
22 November 2023, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Lawatan ke Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) oleh mahasiswa Tahun Tiga, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur bertujuan memberikan pendedahan tentang organisasi penting di Malaysia yang menawarkan pelbagai kursus berkaitan dengan bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan sama ada yang bersifat kompetensi ataupun bukan kompetensi.

Sebanyak 33 orang mahasiswa dan diiringi oleh seorang pensyarah serta empat orang kakitangan makmal berpeluang melawat ke beberapa Makmal Analisis Amalan Kebersihan Industri seperti Makmal Analisis Gravimetri, Makmal Analisis Logam, Makmal Analisis Silika dan Makmal Analisis Fiber.

Pengurus Bahagian Penyebaran Maklumat, NIOSH, Puan Siti Badariah Abu Bakar memulakan sesi taklimat lawatan dengan memberikan pengenalan tentang NIOSH, termasuklah sejarah, visi, misi dan fungsi agensi berkenaan.

Pengurus Bahagian Penyebaran Maklumat, NIOSH, Puan Siti Badariah Abu Bakar ketika menyampaikan taklimat berkaitan dengan fungsi NIOSH kepada mahasiswa UKM Kampus Kuala Lumpur.

Dalam sesi itu, beliau berkongsikan bahawa walaupun banyak pusat latihan di negara ini yang menawarkan pelbagai kursus bersifat kompetensi dan bukan kompetensi, namun NIOSH masih menjadi pilihan utama kepada orang awam yang ingin mengikuti kursus berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan disebabkan oleh kos pendaftaran kursus di agensi ini lebih berpatutan jika dibandingkan dengan pusat latihan lain.

Pakej untuk mahasiswa tahun akhir pada peringkat diploma atau ijazah sarjana muda bagi mengikuti Kursus Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut ditawarkan oleh NIOSH dengan yuran pendafaran yang jauh lebih murah berbanding dengan pakej kursus biasa.

Mahasiswa UKM sedang mendengar taklimat daripada penyelaras makmal mengenai instrumen yang digunakan untuk menganalisis sampel silika.

Menurut beliau, mahasiswa yang mengikuti kursus ini biasanya lebih mudah diterima oleh pihak majikan untuk bekerja kerana mempunyai nilai tambah dalam setiap diploma atau ijazah yang diperoleh.

Taklimat mengenai alat mikroskop yang digunakan untuk menganalisis sampel fiber.

Beliau juga menegaskan bahawa setiap industri atau organisasi yang mempunyai bilangan pekerja sekurang-kurangnya 40 orang adalah diwajibkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tempat kerja masing-masing bagi memastikan tempat kerja sentiasa berada dalam keadaan selamat dan produktiviti pekerja dapat dikekalkan.

Sesi penyampaian sijil penghargaan oleh Penyelaras Kursus Amalan Kebersihan Industri, Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang kepada Pengurus Bahagian Penyebaran Maklumat, NIOSH, Puan Siti Badariah Abu Bakar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.