17 November 2023, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan Dua Tahun 2023 yang diadakan pada 9 November lalu, Perlis Geopark dan Lipis Geopark telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-10 dan ke-11 di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Usaha memelihara geotapak yang mempunyai nilai warisan luar biasa itu adalah seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pengiktirafan yang diperoleh merupakan satu lagi pencapaian negara, khususnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Jumlah penduduk di Perlis Geopark yang berkeluasan 1001 kilometer itu adalah sebanyak 284 ribu orang dan kawasannya kaya dengan kepelbagaian geologi (23 geotapak), kepelbagaian biologi (lapan biotapak) dan budaya tempatan (12 tapak budaya).

Yang menariknya di Perlis Geopark ini, pengunjung dapat melihat kepelbagaian bentuk muka bumi yang terdiri daripada formasi batu kapur, perbukitan kars, perbukitan rendah beralun dan dataran pantai, misalnya Banjaran Nakawan yang menganjur sepanjang sempadan Malaysia-Thailand (36 kilometer) merupakan bukit batu kapur yang terpanjang di Malaysia.

Di Perlis Geopark juga terdapat batuan tertua di Malaysia yang berusia antara 541 juta hingga unit batuan yang berusia 66 juta tahun.

Daripada 23 geotapak, terdapat tiga yang bertaraf antarabangsa, 14 bertaraf kebangsaan dan enam bertaraf tempatan.

Sementara itu, Lipis Geopark yang berkeluasan 5198 kilometer persegi dan meliputi 10 mukim di daerah Lipis dengan bilangan penduduk sebanyak 114,000 orang amat kaya dengan kepelbagaian geologi (28 geotapak) dan kepelbagaian biologi (enam biotapak) serta budaya tempatan (sembilan tapak budaya).

Daripada 28 geotapak, satu daripadanya bertaraf antarabangsa, lima bertaraf rantau, lapan bertaraf kebangsaan, satu bertaraf negeri dan 13 bertaraf tempatan.

Antara kepelbagaian geologi Lipis Geopark yang terletak di kaki timur Banjaran Titiwangsa dan dalam Jalur Emas Semenanjung Malaysia ini termasuklah memiliki batuan sedimen dan igneus (batuan yang terbentuk akibat pembekuan magma) serta fosil pelbagai spesies yang terletak di kawasan perlindungan di Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal.

Selain itu, sebanyak 194 spesies flora termasuklah spesies endemik direkodkan di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh yang merupakan pusat kepelbagaian biologi.

Antara flora istimewa yang ditemukan di pusat itu ialah baeckea frutescens, sejenis spesies tumbuhan dalam keluarga Myrtaceae yang terdapat di hutan tropika Asia Tenggara, New Guinea dan utara Australia yang membentuk litupan unik seperti hutan bonsai di puncak Gunung Tahan, manakala spesies fauna yang dijumpai ialah harimau Malaya dan gajah Asia.

Pengiktirafan kedua-dua geopark tersebut adalah selepas Lembah Kinta dan Lenggong di Perak; Jerai di Kedah; Kinabalu di Sabah; Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan; Sarawak Delta di Sarawak; Gombak-Hulu Langat di Selangor; Stong di Kelantan; dan Kenyir di Terengganu.

Di samping itu, Malaysia juga mempunyai dua UNESCO Global Geopark (UGGp), iaitu Langkawi yang telah diperakukan sejak tahun 2007 dan Kinabalu yang diperakukan sebagai UGGp pada 24 Mei 2023.

Dalam usaha untuk membangunkan geopark masing-masing, Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara akan dijadikan rujukan dan panduan kepada semua agensi Persekutuan dan negeri serta pihak berkepentingan yang berkaitan dengannya.

NRECC amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan berkepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan serta kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri mampu mengurus geopark dengan baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.