17 November 2023, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terengganu – Penurunan bilangan pelajar dalam memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada peringkat yang lebih tinggi telah mendorong Jawatankuasa Pelaksana STEM Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBrs. Profesor Madya Dr. Laili Haji Che Rose dalam penghasilan Modul Kembara STEM dan seterusnya melancarkan modul tersebut bersama-sama rakan kolaborasinya.

Modul Kembara STEM yang diperkenalkan sebagai rujukan kepada pelajar dan guru bagi mendalami bidang STEM.

Inisiatif penghasilan Modul Kembara STEM tersebut adalah susulan daripada pendedahan aplikasi STEM kepada para pelajar tidak meluas, terutamanya di sekolah pedalaman selain para pelajar sering beranggapan bahawa bidang STEM terlalu rumit untuk diteroka sekali gus menyebabkan graduan yang dihasilkan tidak memenuhi kehendak industri.

“Modul Kembara STEM dapat dijadikan sebagai rujukan untuk pelajar meneroka dunia STEM dengan lebih mendalam dan menjadi alat bantu mengajar dalam pemindahan ilmu,“ kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ustaz Haji Ahmad Shah Muhamed yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Yang Amat Berhormat Dato‘ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Modul Kembara STEM.

Sekitar Majlis Pelancaran Modul Kembara STEM berlangsung.

Menurut beliau, proses membina asas pengetahuan yang kukuh kepada pelajar demi masa hadapan yang lebih terjamin sememangnya memerlukan bimbingan daripada pembimbing yang terlatih.

Beliau memaklumkan bahawa modul tersebut telah berjaya dilaksanakan melalui dua program utama, iaitu program Terengganu Peers STEM Coaching (TPSC) pada tahun 2022 yang melibatkan sebanyak 25 buah sekolah elit dengan penyertaan sebanyak 625 orang pelajar dan 125 sekolah harian biasa dengan penyertaan sebanyak 3125 orang pelajar, manakala program kedua ialah STEM Educators Bootcamp 2023 yang melibatkan para guru sahaja sebanyak 233 orang dari 124 buah sekolah di sekitar Terengganu.

Sementara itu Naib Canselor UMT, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, Modul Kembara STEM yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Pelaksana STEM Negeri Terengganu dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri Terengganu itu merupakan kejayaan besar dalam memperkasakan STEM dalam kalangan pelajar dan guru, terutamanya di Terengganu.

Beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu melalui Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. selaku syarikat induk yang menguruskan pelaburan komersial kerajaan negeri dan anak syarikatnya, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. telah bekerjasama dan menyumbang sebanyak RM210,000 dalam menjayakan Kajian Memperkasakan STEM dalam kalangan pelajar melalui TPSC.

Tambah beliau, menerusi penghasilan modul tersebut telah membuktikan usaha bersepadu yang dilakukan oleh pihak institut pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dalam membantu Kementerian Pendidikan Malaysia mempromosikan STEM dan seterusnya menarik minat pelajar meneroka bidang STEM.

Dengan adanya sumbangan daripada pihak Yayasan Guru Tun Hussein Onn sebanyak RM149,000, program STEM Educators Bootcamp 2023 dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan memfokuskan pemindahan ilmu kepada guru melalui pakar penulis dari pelbagai bidang.

Jelas beliau, modul berkenaan juga berfungsi sebagai penyelesaian dalam menangani masalah penurunan pelibatan pelajar dalam bidang STEM dan mengubah perspektif pelajar terhadap STEM, melakukan transformasi dalam teknik penyampaian ilmu STEM yang lebih kreatif sehingga mampu menjadikan mata pelajaran STEM itu mudah dipelajari dan difahami.

Ujar beliau lagi, dari sudut pemerkasaan pendedahan, modul tersebut perlu diperluas ke seluruh negeri termasuklah kawasan pedalaman yang mempunyai had akses ilmu pembelajaran STEM.

Modul Kembara STEM yang diperkenalkan mengandungi lima modul STEM hibrid yang menjadi tunjang kepada semua aktiviti yang dihasilkan berdasarkan kepakaran daripada lima organisasi berbeza.

Lima modul tersebut ialah STEM Kelautan yang dibangunkan oleh pakar dari UMT, STEM Kesihatan yang hasil ideanya daripada pakar dari Universiti Sultan Zainal Abidin, STEM Eksplorasi yang dicetuskan oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, STEM Kreativiti dan Inovasi yang menggunakan kepakaran dari Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu serta STEM Robotics yang dibangunkan oleh Jazro Robotik.

Sumbangan daripada Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dalam menjayakan Kajian Memperkasakan STEM dalam kalangan pelajar melalui program Terengganu Peers STEM Coaching.

Melalui keberhasilan kesemua modul tersebut, para pelajar berpeluang untuk mendalami dunia STEM dan seterusnya memberikan dukungan terhadap hasrat kerajaan dalam melahirkan lebih banyak pelajar yang menceburi bidang STEM bagi memenuhi kehendak dan permintaan pasaran pada masa ini.

Modul Kembara STEM yang dibangunkan dengan menonjolkan bidang tujahan masing-masing sangat istimewa dan diharapkan pihak sekolah yang menerima modul berkenaan dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.