17 November 2023, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Aplikasi Advance Integrated Nilam System (AINS) yang telah dibangunkan oleh pasukan JomBaca melalui program MYHackathon 2022 telah diserahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu meningkatkan budaya membaca dalam kalangan pelajar serta kecekapan dalam pengurusan maklumat pelajar dan aset sekolah.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI, program tersebut melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang berkongsikan kepakaran bagi menyelesaikan sesuatu masalah demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Program MYHackathon ialah inisiatif nasional yang dipacu oleh MOSTI dan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) sebagai agensi pelaksana yang bertujuan mendorong pembangunan teknologi dan inovasi dalam kalangan pemula (startup) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Dalam kenyataan itu juga, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata, AINS merupakan contoh kejayaan kerjasama merentasi pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta dalam pembangunan aplikasi yang dapat memanfaatkan pendidikan negara serta bukti komitmen kerajaan dalam menghadapi cabaran menerusi cara yang proaktif dan berinovasi.

Tambah beliau, projek AINS berperanan membantu meringankan beban guru dalam menganalisis perekodan bacaan pelajar dan memberikan maklumat terperinci berkaitan dengan kandungan terkini bagi menarik minat pelajar untuk terus mengekalkan budaya membaca.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke menyatakan bahawa Cradle akan terus memberikan sokongan kepada pemula tempatan menerusi pelbagai program pembiayaan dan pembangunan kapasiti dari peringkat idea hingga peringkat pengkomersialan.

Cradle akan terus memainkan peranan bagi memastikan pertumbuhan ekosistem pemula tempatan yang mampan, inklusif dan berpotensi selari dengan sasaran kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021 – 2030 untuk mencapai kedudukan ke-20 teratas bagi Ekosistem Syarikat Pemula Global menjelang tahun 2030 selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab industri digital dan pemula bagi rantau Asia Tenggara.

Kenyataan tersebut juga memaklumkan bahawa MYHackathon 2022 Kohort 2 merupakan satu daripada program di bawah inisiatif nasional MYStartup bagi membantu pemula peringkat awal untuk memacu perkembangan perniagaan mereka menerusi program pembangunan kapasiti.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan MYStartup boleh melayari laman sesawang MyStartup.

(Sumber gambar: Facebook Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.