16 November 2023, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berdasarkan Mesyuarat Menteri Pertanian dengan Exco-Exco Pertanian Negeri Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Haji Mohamad Sabu secara hibrid semalam, cadangan untuk menggubal Enakmen Pendaftaran Petani yang bertujuan menyediakan satu pangkalan data raya yang merekodkan dan mendaftarkan petani di Malaysia telah dipersetujui dalam Penggubalan Enakmen Pendaftaran Petani.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, mesyuarat tersebut akan terus dijadikan sebagai platform kolaboratif dengan kerajaan negeri bagi memperkasakan sektor pertanian negara melalui peningkatan produktiviti, pengukuhan sistem sokongan dan perkhidmatan, pengurusan sumber secara mampan serta penggalakan pelaburan dan pelibatan sektor swasta untuk meningkatkan sekuriti makanan, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menerusi Enakmen Pendaftaran Petani yang bakal digubal itu, bilangan sebenar petani yang terlibat dalam sektor pertanian dapat dikenal pasti dan memudahkan pihak kerajaan untuk menyalurkan bantuan dan insentif kepada para petani serta dijadikan rujukan kepada semua pihak khususnya dalam merancang pembangunan sektor agromakanan dan mengelakkan daripada berlakunya ketirisan dalam pemberian bantuan kepada petani.

Dalam mesyuarat itu juga, kertas pertimbangan mengenai cadangan pewujudan kawasan khusus pertanian organik pada peringkat negeri dibentangkan dengan memberikan tumpuan terhadap pertanian organik dalam menangani cabaran global yang kritikal melalui amalan mesra alam serta keselamatan kepada pengguna.

Inisiatif pengukuhan data sektor pertanian dan agromakanan yang memerlukan sokongan tadbir urus data daripada pihak kerajaan negeri untuk memastikan data pertanian yang terkini juga dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Selain itu, pelaksanaan banci pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia serta cadangan memperkukuh industri penternakan ayam untuk keterjaminan makanan negara melalui Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa juga adalah antara agenda yang dibahaskan dalam mesyuarat berkenaan.

Dalam mendukung hasrat kerajaan bagi menstruktur semula ekonomi dan menyediakan kehidupan yang berkualiti kepada rakyat, mesyuarat yang diadakan itu turut mengambil maklum akan situasi bekalan beras dan benih padi negara serta status pelaksanaan Jualan Agro MADANI.

Tidak ketinggalan, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara berhubung dengan cadangan hasrat penubuhan lembaga perindustrian nanas, kelapa dan durian yang dilihat dapat memperkukuh komoditi tersebut pada peringkat global turut dibentangkan dalam mesyuarat.

Di samping itu, mesyuarat tersebut juga mengambil maklum akan senarai spesies asing invasif di dalam tanaman, ternakan dan haiwan akuatik yang memberikan impak negatif terhadap sektor pertanian dan biodiversiti negara.

Cadangan memasukkan bubu naga atau bubu kamban sebagai peralatan tambahan menangkap ikan yang dilarang dalam senarai Jadual Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 juga dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Sebagai satu usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membantu dan menggalakkan pelibatan golongan muda dalam sektor agromakanan yang merangkumi kesemua bidang seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani termasuklah pemasaran, latihan dan kursus teknikal, penyediaan perkhidmatan sokongan dan input pertanian, kertas makluman berkenaan dengan pelaksanaan Program Agropreneur Muda turut dibentangkan.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin, Exco Pertanian dari 13 buah negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pegawai Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi KPKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.