14 November 2023, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tekanan kewangan keluarga, jenis kediaman rumah bertingkat, isu keselamatan anak-anak dan kesibukan ibu bapa bekerja menjadi antara punca utama terhadap kurangnya pendedahan anak kepada sinaran matahari yang mengandungi sinar ultraungu B (UVB) untuk penghasilan vitamin D.

Tempoh masa kanak-kanak bermain di luar rumah sejak kebelakangan ini juga semakin singkat berbanding dengan keberadaan mereka di dalam bangunan seperti rumah dan bilik darjah. Hal ini boleh menyebabkan masalah kekurangan vitamin D dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia

Sinaran matahari merupakan antara sumber utama penghasilan vitamin D.  Menurut kajian Saffian et al. pada tahun 2022, penempatan di bandar, perempuan dan etnik Melayu serta India lebih berisiko mengalami kekurangan vitamin D. Penilaian status vitamin D ini  boleh diukur melalui pengambilan sampel darah untuk analisis bacaan serum 25-dihidroksi vitamin D.

Vitamin D mempunyai banyak fungsi dalam badan manusia seperti untuk keseimbangan kalsium, metabolisme tulang, pengecutan otot, penyerapan fosfat, kesihatan jantung dan imuniti tubuh. Vitamin D atau dikenali dengan nama saintifiknya, kalsiferol merupakan sejenis vitamin larut lemak yang memerlukan pengangkut dalam sistem peredaran darah manusia. Antara ciri lain vitamin larut lemak termasuklah boleh disimpan di dalam badan manusia.

Badan manusia boleh menghasilkan vitamin D apabila kulit terdedah kepada sinar matahari. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor seperti musim, melanin, pencemaran udara, produk pelindung sinaran matahari, gaya berpakaian yang dipengaruhi oleh faktor agama dan budaya yang boleh mempengaruhi penghasilan vitamin D melalui sinaran matahari.

Malaysia merupakan sebuah negara di Asia Tenggara yang terletak pada garis lintang antara 1.2°U hingga 6.8°U. Iklim di Malaysia secara umumnya mempunyai suhu yang agak konsisten sepanjang tahun, iaitu panas cerah dan lembap dengan purata suhu harian antara 21 darjah Celsius hingga 32 darjah Celsius.

Monsun Barat Daya yang lebih kering (antara April hingga September) dan Monsun Timur Laut yang lebih basah (antara Oktober hingga Mac) berkait rapat dengan kebolehubahan iklim bermusim. Jika dibandingkan dengan negara yang mempunyai musim sejuk seperti Amerika Syarikat, sinaran matahari di sana adalah lebih rendah dan sinar UVB lebih lemah ketika musim sejuk. Keadaan ini membuatkan kanak-kanak di negara berkenaan berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin D berbanding dengan kanak-kanak di Malaysia.

Selain itu, pencemaran udara merupakan antara faktor kekurangan vitamin D. Selaras dengan pembangunan negara ini, terdapat banyak faktor yang memungkinkan anak-anak di negara ini terdedah kepada risiko kekurangan vitamin D seperti pembalakan, pengilangan, kenderaan bermotor, pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan banyak lagi. Hal ini boleh menyebabkan pencemaran udara dan secara tidak langsung menjejaskan kualiti dan jumlah UVB daripada sinaran matahari.

Selain itu, gaya pemakaian serta gaya hidup yang menutupi majoriti kawasan kulit yang kebanyakannya diamalkan oleh orang Melayu Islam di Malaysia sejak dari kanak-kanak lagi juga mempengaruhi faktor kepada kekurangan vitamin D.

Kanak-kanak yang berkulit sawo matang dan gelap mempunyai lebih banyak melanin jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang berkulit lebih cerah. Melanin merupakan pigmen yang bertanggungjawab memberikan warna kepada kulit. Oleh itu, tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk penyerapan UVB bagi kanak-kanak yang mempunyai melanin yang lebih banyak kerana melanin mengurangkan sintesis vitamin D.

Tinjauan Pemakanan Asia Tenggara telah dijalankan di seluruh Malaysia pada tahun 2010 hingga tahun 2011 yang melibatkan sebanyak 3542 kanak-kanak berumur empat tahun hingga dua belas tahun. Keputusan ujian darah menunjukkan sebanyak 47.5 peratus kanak-kanak di Malaysia mempunyai status vitamin D yang rendah. Sementara itu, kanak-kanak perempuan mempunyai prevalens yang lebih tinggi  berbanding kanak-kanak lelaki.

Selain pendedahan kepada sinar matahari, vitamin D juga boleh diperoleh daripada sumber makanan dan makanan tambahan. Mari kita lihat  dahulu berapakah saranan pengambilan vitamin D dalam kalangan kanak-kanak.

Jadual 1 Saranan pengambilan vitamin D dalam kalangan kanak-kanak.

Persoalan utama ialah adakah bahaya jika anak kurang mendapat pendedahan terhadap cahaya matahari? Jawapan kepada persoalan ini boleh dirungkai dengan melihat keperluan seharian kanak- kanak terhadap vitamin D.

Sebenarnya, jika kanak-kanak tidak mendapat cukup sinaran matahari, mereka boleh mendapatkannya daripada sumber makanan. Terdapat dua sumber utama vitamin D, iaitu vitamin D3 daripada sumber haiwan dan vitamin D2 dari sumber tumbuhan.

Jadual 2 Contoh sumber vitamin D mengikut kelas.

Pendedahan kanak-kanak terhadap cahaya matahari bukan hanya penting untuk mencukupkan keperluan vitamin D mereka. Pada masa yang sama, kanak-kanak dapat melakukan aktiviti fizikal mereka serta memenuhi keperluan emosi mereka sebagai kanak-kanak yang sedang membesar.

Untuk mencapai keperluan optimum vitamin D daripada sumber matahari, pelarasan tingkah laku oleh ibu bapa serta sistem sokongan yang kuat perlu diterapkan dalam sesebuah keluarga. Antaranya pendekatan yang boleh dilakukan termasuklah dengan memperuntukkan masa untuk kanak-kanak bermain di luar pada waktu pagi atau petang.

Selain itu, terdapat beberapa cadangan tip yang praktikal boleh dilakukan adalah seperti:

  1. Merancang tempat tinggal yang berhampiran dengan pejabat untuk menjimatkan masa pergi dan balik kerja. Masa yang ada boleh digunakan untuk memberikan pendedahan terhadap sinar matahari.
  2. Mendedahkan kulit lengan dan muka kepada cahaya matahari tanpa pelindung matahari selama lebih kurang 30 minit sebanyak dua kali seminggu. Tindakan ini boleh meningkatkan serum vitamin D sebanyak 40 peratus.
  3. Jika perlu, hanya gunakan krim pelindung muka sekiranya cahaya matahari terik atau selepas pendedahan terdapat cahaya matahari selepas 30 minit tanpa pelindung matahari.

Kesimpulannya, sebagai ibu bapa dan penjaga kanak-kanak ini, kita perlu mengetahui dan menyedari kekurangan vitamin D di Malaysia dalam kalangan kanak-kanak berada dalam keadaan yang membimbangkan. Sekiranya berlarutan, keadaan tersebut akan mengganggu fungsi badan dan metabolisme kanak-kanak pada masa hadapan. Oleh sebab itu, pengamalan langkah yang dikongsikan dalam rencana ini mampu sedikit sebanyak membantu meningkatkan kadar vitamin D pada paras yang optimum.

 

Rencana ini disediakan oleh Nur Raihanah Mohd. Rozaimi, Ahli Dietetik Korporat yang menyambung pengajian sebagai siswazah Sarjana Sains Kesihatan Pemakanan Klinikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan disemak oleh Dr. Nor Aini Jamil, pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.