9 November 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa sebanyak 49 juta kes sepsis berlaku di seluruh dunia dan mengakibatkan kira-kira 11 juta kematian pada tahun 2017. Antara penyumbang terbesar kepada jumlah insiden dan kematian yang melibatkan sepsis termasuklah jangkitan paru-paru dan jangkitan pada saluran pencernaan yang lazimnya mengakibatkan cirit birit.

Sebahagian daripada jumlah maut tersebut juga disebabkan oleh kecederaan (kebanyakannya akibat kemalangan jalan raya) dan komplikasi penyakit tidak berjangkit. Tambah membimbangkan, pada tahun yang sama, sebanyak 20 juta kes sepsis di seluruh dunia melibatkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Ancaman Global

Walaupun sepsis berupaya menjadi ancaman kesihatan global seperti yang telah dilaporkan oleh WHO, perkataan sepsis mungkin masih belum difahami secara menyeluruh oleh kebanyakan orang awam.

Secara ringkasnya, sepsis merupakan tindak balas luar biasa yang mengakibatkan sistem imuniti menyerang sel badan. Sepsis boleh disebabkan oleh jangkitan mikroorganisma seperti bakteria, virus atau kulat serta komplikasi daripada kecederaan atau penyakit kronik seperti diabetes.

Sepsis seterusnya boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ dan tekanan darah menjadi terlalu rendah hingga pada tahap kritikal. Keadaan ini berisiko tinggi mengakibatkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

Menurut statistik WHO, kadar kematian akibat sepsis dalam kalangan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi adalah sebanyak 42 peratus. WHO juga menganggarkan bahawa satu daripada empat kes sepsis berpunca daripada jangkitan yang terdapat di hospital.

Sepsis bukan sahaja mengancam nyawa, malah rawatannya memerlukan kos yang agak tinggi. Perkara ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh WHO di beberapa buah negara berpendapatan tinggi.

Namun begitu, gambaran keseluruhan kos rawatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana pula sukar untuk ditentukan kerana kekurangan kajian yang dilakukan, walaupun sebenarnya kadar kes dan kematian lebih tinggi direkodkan di negara ini.

Rawatan sepsis sangat bergantung pada pengesanan awal gejala sepsis dan penggunaan antibiotik yang optimum, memandangkan kebanyakan kes sepsis adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria. Namun demikian, krisis ketahanan antibiotik menjadi penghalang kepada rawatan sepsis yang berkesan.

Ketahanan Antibiotik

Sejak penemuan antibiotik pertama pada tahun 1928, ubat ini digunakan secara meluas dalam bidang perubatan sebagai agen untuk merawat jangkitan bakteria. Antibiotik dilaporkan mengurangkan jumlah kematian daripada pembedahan berisiko serta kematian dalam kalangan golongan yang lebih berisiko seperti kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas. Selain itu, penyakit berjangkit seperti tuberkulosis dan sifilis juga dapat dirawat dengan lebih berkesan.

Namun demikian, penggunaan antibiotik secara tidak wajar dalam jangka masa panjang menjadi punca kepada satu lagi isu kesihatan sejagat, iaitu ketahanan antibiotik. Ketahanan antibiotik terjadi apabila bakteria berevolusi dan menjadi kebal terhadap antibiotik sedia ada.

Antibiotik juga tidak dapat digunakan lagi untuk merawat jangkitan bakteria seperti sebelumnya. Oleh sebab itu, antibiotik dengan spektrum tindakan yang lebih luas terpaksa digunakan sebagai alternatif.

United Kingdom Health Security Agency melaporkan pada tahun 2020, satu daripada lima pesakit di negara itu yang mengalami jangkitan turut didapati mengalami ketahanan antibiotik. Agensi ini juga telah menyuarakan kebimbangan berkaitan ketahanan antibiotik yang berkemungkinan menjadi “pandemik tersembunyi” selepas COVID-19 sekiranya masalah ini terus diambil mudah oleh masyarakat.

Isu ketahanan antibiotik menjadi semakin serius apabila beberapa spesies bakteria dikenal pasti kebal kepada lebih daripada satu jenis antibiotik. Antaranya termasuklah spesies metallo-beta lactamases yang didapati tahan kepada semua jenis antibiotik daripada kumpulan beta-laktam yang turut merangkumi antibiotik Carbapenem yang diketahui mempunyai spektrum yang sangat luas. Antibiotik ini lazimnya dikhaskan untuk merawat jangkitan yang lebih serius dan hanya apabila antibiotik barisan pertama seperti Penicillin dan Cephalosporin didapati tidak berkesan.

Ketahanan antibiotik menyebabkan pemilihan antibiotik yang dapat digunakan untuk rawatan pesakit, khususnya individu yang mengalami sepsis menjadi terhad. Kos rawatan juga akan meningkat kerana sepsis yang berlarutan memerlukan pesakit dirawat di hospital dalam tempoh yang lebih lama. Jangkitan juga hanya dapat dirawat dengan menggunakan ubat antibiotik yang lebih mahal dan sukar diperoleh.

Faktor Penyebab Ketahanan Antibiotik

Menurut WHO, antara penyumbang kepada ketahanan antibiotik termasuklah penggunaan antibiotik untuk merawat jangkitan yang tidak disebabkan oleh bakteria. Sebagai contohnya, jangkitan saluran pernafasan dengan gejala lazim seperti batuk dan selesema biasanya disebabkan oleh virus. Jangkitan virus tidak seharusnya dirawat dengan antibiotik.

Selain itu, tindakan sesetengah pihak yang tidak mengambil antibiotik mengikut dos, kekerapan dan tempoh rawatan yang telah dipreskripsikan juga dapat meningkatkan risiko ketahanan antibiotik. Amalan tidak menghabiskan antibiotik seperti yang diarahkan serta berkongsi ubat tersebut dengan orang lain turut berkemungkinan menyebabkan ketahanan antibiotik.

Bukan itu sahaja, penggunaan antibiotik untuk haiwan peliharaan dan ternakan tanpa kawalan juga boleh menyumbang kepada ketahanan antibiotik. Di sesetengah negara membangun, para penternak menggunakan antibiotik sebagai cara untuk mengelakkan jangkitan dan sekali gus membantu pertumbuhan haiwan ternakan.

Langkah Menangani Isu Ketahanan Antibiotik

Pelbagai strategi harus dilakukan dalam usaha mengelakkan ketahanan antibiotik daripada menjadi lebih serius. Antara langkah yang telah diambil termasuklah pelaksanaan program pengawasan antimikrob atau antimicrobial stewardship (AMS) di kemudahan kesihatan yang melibatkan ahli profesional kesihatan daripada pelbagai disiplin perubatan.

Fokus utama AMS adalah untuk memastikan penggunaan antibiotik yang rasional. Perkara ini meliputi pemilihan antibiotik yang betul berdasarkan diagnosis, penggunaan antibiotik pada dos, kekerapan dan tempoh yang bersesuaian serta dengan kaedah pemberian yang disarankan.

Di samping itu, peranan untuk membendung ketahanan antibiotik harus dimainkan oleh masyarakat. Orang awam hendaklah mengambil ubat antibiotik mengikut dos dan kekerapan yang telah diarahkan serta menghabiskan semua ubat yang diberikan mengikut tempoh rawatan. Rawatan antibiotik tidak sepatutnya dihentikan sendiri walaupun telah berasa lebih sihat.

Amalan penjagaan kebersihan juga amat penting untuk mengurangkan risiko jangkitan. Antara langkah yang digalakkan termasuklah memakai pelitup muka di kawasan yang sesak dan kerap mencuci tangan dengan cara yang betul.

Selain itu, teknik penjagaan luka yang baik juga dapat mengelakkan luka tersebut menjadi lebih parah dan berkemungkinan untuk dijangkiti bakteria. Sesetengah golongan berisiko pula disarankan untuk mendapatkan suntikan vaksin tertentu seperti vaksin pneumokokal bagi menguatkan lagi ketahanan badan daripada jangkitan.

Selain untuk manusia, penggunaan antibiotik secara rasional untuk haiwan juga haruslah dititikberatkan. Antibiotik untuk merawat jangkitan haiwan peliharaan atau ternakan hendaklah dipastikan hanya diberikan oleh doktor veterinar yang bertauliah berdasarkan penilaian profesional mereka. Langkah ini dapat mengelakkan antibiotik digunakan secara tanpa kawalan.

Ketahanan Antibiotik Menggugat Kejayaan Rawatan Sepsis

Sepsis dapat mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan baik dan satu daripada rawatan yang diketahui berkesan untuk sepsis ialah antibiotik yang digunakan dengan cara yang betul. Namun begitu, isu ketahanan antibiotik yang semakin meruncing berkemungkinan menyebabkan sepsis tidak dapat dirawat pada suatu hari nanti. Perkara ini harus diambil serius kerana dikhuatiri dapat memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia pada masa akan datang.

Oleh sebab itu, ketahanan antibiotik harus ditangani bersama-sama secara konsisten oleh semua pihak bermula dari sekarang. Kesedaran tentang penggunaan antibiotik yang rasional bukan sahaja dapat mengelakkan kegagalan rawatan penyakit seperti sepsis dan jangkitan lain, bahkan, perkara ini penting untuk menjimatkan kos perkhidmatan kesihatan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Puan Zalikha Zainuddin, Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.