Oleh Hamdan Abu
30 Oktober 2023, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lembah Klang adalah antara kawasan yang sering dilanda banjir kilat di negara ini. Banjir kilat seperti di Kuala Lumpur kebanyakannya berlaku kerana hujan lebat.

Hujan yang lebat dan berterusan menyebabkan lebihan air berkumpul di satu-satu kawasan yang berpunca daripada longkang atau saliran yang mungkin tersumbat. Walau bagaimanapun, sesetengah tempat banjir kilat mungkin dapat dielakkan jika pintu kawalan air atau dipanggil pintu kunci air dapat berfungsi dengan baik.

Pintu kunci air ialah pintu khas boleh laras yang digunakan untuk mengawal aliran air yang biasanya dipasang di muara sungai, kolam takungan loji rawatan air atau terusan sawah padi. Pintunya diturunkan hingga ke dasar sungai untuk menutup aliran air dan dinaikkan untuk melepaskan air ke laut.

Oleh hal yang demikian, pintu kunci air memainkan peranan yang besar dalam sistem pengairan untuk mengawal aliran air dari hulu dan hilir di sesuatu kawasan. Pintu air juga merupakan instrumen penting untuk mengelakkan banjir kilat. Begitu juga dengan kunci air yang menyekat air masin ketika air pasang daripada memasuki kawasan darat dan untuk mengawal simpanan air ke kawasan pertanian.

Ciri utama kunci air adalah untuk mengawal paras air, sama ada dari hulu atau hilir. Kunci air juga menutup aliran air supaya tidak berlaku limpahan ke kawasan daratan akibat hujan lebat atau air pasang.

Pintu air dikendalikan oleh kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengikut jadual air pasang surut, keadaan hujan atau ketinggian paras air di sungai. Petugas akan dibekalkan dengan jadual air pasang surut supaya mereka bersedia untuk menutup pintu ketika air pasang dan membukanya apabila paras air dari hulu melebihi ketinggian daripada biasa.

Kunci air yang dipasang berhampiran dengan muara sungai bertindak menghalang kemasukan air masin ke kawasan kebun atau penempatan penduduk. Penjaga akan menutup pintu air ketika air pasang dan membukanya ketika air surut  untuk melepaskan air daripada hulu ke laut.

Sungai Batu berhampiran Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh), Kuala Lumpur.

Namun demikian, ketika hujan berterusan atau pada musim tengkujuh, kakitangan perlu memantau paras air dari semasa ke semasa. Jika paras air adalah lebih tinggi daripada paras biasa, maka pintu kunci air perlu dibuka untuk mengalirkan air ke sungai atau laut.

Pintu Kunci Air Gagal Beroperasi

Menurut sumber tertentu, beberapa kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa tempat, khususnya di kawasan rendah berkaitan dengan kegagalan operasi kunci air. Kegagalan itu berpunca daripada beberapa faktor seperti kerosakan mekanikal pintu air atau faktor kelemahan petugas.

Komponen utama pintu air merangkumi peralatan hidro mekanikal seperti pintu aluminium, kotak gear, suis dan kotak panel elektrik atau mekanikal, shaft roller, tali dawai dan lain-lain. Peralatan ini memerlukan penyelenggaraan secara berkala dan penukaran beberapa peralatan yang bersifat “guna dan ganti”.

Pada kebiasaannya, pengganding aci akan cepat rosak atau patah, sama ada pintu air dikendalikan secara manual atau automatik, kerana kemudahan digunakan pada setiap hari. Hal ini menyebabkan pintu tidak boleh dibuka atau ditutup. Selain itu, serangga seperti semut sering bersarang di dalam kotak panel dan keadaan tersebut menyebabkan kerosakan pintu kunci air.

Antara faktor lain yang menyebabkan pintu kunci air gagal berfungsi termasuklah kegagalan petugas atau operator kunci air membuka atau menutup pintu pada masa yang sepatutnya, terutamanya pintu air yang jauh dari perkampungan penduduk, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Kedudukan pintu air yang terletak jauh itu menyukarkan operator JPS membuat pemantauan, terutamanya pada waktu malam.

Ketika hujan lebat yang berterusan dan paras air melepasi paras biasa,  operator yang tidak memantau keadaan tersebut menyebabkan pintu air lewat dibuka. Kelewatan itu boleh menyebabkan  limpahan air dan mengakibatkan banjir kilat. Oleh sebab itu, kerjasama penduduk diperlukan untuk memaklumkan kepada JPS akan keadaan paras air semasa di tempat mereka.

Pada musim tengkujuh, penduduk yang tinggal berhampiran dengan pintu kunci air juga diharap untuk lebih peka dengan ketinggian paras air. Sekiranya paras air meningkat dengan mendadak, penduduk boleh memaklumkan kepada pihak JPS supaya operator boleh datang ke kawasan tersebut untuk membuka pintu air.

Jenis Pintu Air

Terdapat beberapa jenis pintu kunci air yang digunakan oleh pihak JPS yang setiap satunya mempunyai ciri yang berlainan. Antara jenis pintu air termasuklah pintu penggelek aluminium (aluminium roller), pintu jejari (radial), pintu kayu keras skru (hardwood screw down), pintu kepak (flap gate), pintu kepak jatuh (drop gate) dan pintu pagar bendungan (barrage gate).

Daripada kesemua jenis tersebut, pintu penggelek aluminium digunakan secara khusus di muara sungai untuk mengawal aliran air pasang dan surut. Jenis ini juga digunakan di kolam takungan atau terusan untuk mengalirkan air ke kawasan pertanian. Pintu tersebut dilengkapkan dengan pengedap getah atau kayu keras di bahagian bawah dan tepi.

Pintu kepak banyak dipasang pada longkang konkrit di kawasan taman perumahan di dalam bandar. Pintu kepak berbentuk bulat atau persegi yang diperbuat daripada polietilena ketumpatan tinggi (HDPE) seperti injap. Pintu jenis ini banyak digunakan di dalam loji rawatan air kumbahan, sistem saliran dan sistem pengaliran bendalir untuk mengawal aliran air. Pintu kepak juga boleh dikendalikan secara manual, secara graviti atau melalui sistem kawalan automatik.

Pintu kepak HDPE yang dipasang di Sungai Batu, Kuala Lumpur.

Dalam sistem pengaliran, pintu kepak dipasang secara kekal di longkang konkrit yang menuju ke sungai atau kolam takungan. Arah aliran airnya hanya sehala yang bermaksud hanya air dari longkang itu sahaja boleh mengalir ke sungai atau takungan. Secara graviti, apabila paras air di bahagian hulu tinggi, keadaan tersebut akan menolak pintu dan menyebabkan pintu terbuka. Sebaliknya, jika air di hilir melebihi paras tertentu, pintu tersebut akan tertutup.

Pintu kepak HDPE yang dipasang di longkang konkrit di tepi Lebuh Raya Grand Saga, Cheras, Selangor bagi mengalirkan air dari taman perumahan ke Sungai Langat.

Namun begitu, pintu kepak ini juga boleh menyekat aliran air jika banyak sampah sarap terperangkap di dalam longkang jika tidak diselenggara secara berkala. Sampah sarap akan terkumpul di hujung longkang dan lama kelamaan akan menjadi mampat dan menghalang saliran lalu menyebabkan limpahan air.

Penghalang air mudah alih pula digunakan secara sementara untuk menghalang air seperti di permukaan jalan raya, tanah atau sesuatu premis. Penghalang air mudah alih daripada getah atau plastik dan perlu dikembangkan sebelum digunakan selain diisikan dengan air sebagai pemberat. Selepas digunakan, penghalang air mudah alih dikempiskan semula dan disimpan untuk kegunaan akan datang. Penghalang air jenis ini sangat mudah digunakan, melibatkan kos yang efektif dan menjadi pengganti  kepada kaedah tradisional seperti penggunaan guni pasir atau batu untuk menahan aliran air.

Sementara itu, pintu pagar baraj digunakan di muka sauk atau takungan dalam industri rawatan air bersih seperti di Sungai Muda Kedah yang mengalami masalah pada Mei lalu apabila satu daripada penderia automatik pintu barajnya rosak hingga mengakibatkan aliran deras air ke laut dalam kuantiti yang banyak. Masalah tersebut telah menjejaskan lebih daripada 250 ribu pengguna di negeri itu.

Berdasarkan statistik pada tahun 2020, terdapat lebih daripada 1589 pintu kunci air yang diuruskan oleh JPS di seluruh negara yang merangkumi sebanyak 58 pintu kunci air di Perlis, 68 di Kedah, 186 di Pulau Pinang, 264 di Perak, 383 di Selangor dan sembilan di Kuala Lumpur. Selebihnya pula, sebanyak 39 pintu air terletak di Negeri Sembilan, 22 di Melaka, 180 di Johor, 43 di Pahang, 40 di Terengganu, 61 di Kelantan,190 di Sabah, empat di Sarawak dan lima di Labuan.

Pintu kunci air di muara Sungai Duyung, Kampung Padang Temu, Melaka (kiri) dan di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor (kanan).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 176 operasi pintu kunci air yang terletak di muara sungai dirangkaikan menerusi Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data (SCADA) sejak tahun 2003. Sistem ini menggunakan teknologi pengkomputeran awan untuk mengawal dan memantau secara automatik sistem mekanikal dan elektrikal pintu kunci air pasang surut.

Pintu kunci air SCADA yang dikendalikan secara dalam talian pada jangka panjang menjimatkan kos operasi, masa dan tenaga manusia. Sistem ini menjadi alternatif terbaik bagi mengatasi kelewatan operator, terutamanya di lokasi pintu air yang jauh daripada penempatan penduduk.

Pintu kunci air juga dipasang pada terusan air di kawasan bendang atau sawah padi berskala besar seperti di Kedah, di daerah Kuala Selangor dan di daerah Pasir Mas, Kelantan. Pintu ini dipasang untuk mengawal paras air di dalam sawah padi. Lazimnya, ketika padi ditanam, petak sawah akan mendapat air apabila pintu dibuka. Kemudian, pintu akan ditutup apabila paras air sudah mencukupi sehinggalah padi membesar dan mengeluarkan hasil.

Ketika musim menuai, pintu kunci air akan dibuka untuk mengeringkan air di dalam sawah padi bagi memudahkan kerja menuai. Walau bagaimanapun, jika dalam tempoh sebelum padi masak berlakunya hujan lebat dan paras air dikhuatiri menenggelamkan pokok padi, pintu air akan dibuka untuk mengalirkan lebihan air ke dalam sungai sehingga paras air di sawah padi menjadi normal.

Di samping itu, enjin pengepam air juga diletakkan di pintu kunci air bagi memastikan pintu tersebut berfungsi pada tahap optimum, terutamanya pada musim tengkujuh. Enjin pengepam digunakan untuk menyedut air di permukaan di samping pintu kunci air yang dibuka bagi tujuan tersebut. 

Projek Tebatan Banjir

Namun begitu, kejadian banjir bukanlah boleh diketahui dengan sekelip mata. Oleh sebab itu, kaedah yang lebih berkesan untuk mengatasi banjir adalah dengan melaksanakan projek tebatan banjir dengan segera di kawasan yang kerap dilanda banjir dengan kos bernilai RM22 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024. Projek ini juga yang terdahulunya telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, namun masih belum terlaksana sepenuhnya.

Pada akhirnya, rakyat telah menanggung kerugian harta benda yang sangat besar akibat banjir yang kerap melanda selain kehilangan nyawa yang tidak terjangka. Ribuan kereta tenggelam di jalan raya dan begitu banyak peralatan serta harta benda  tidak lagi boleh digunakan atau musnah akibat banjir.

Kerugian harta benda dan kediaman akibat banjir besar pada tahun 2021 di Hulu Langat, Selangor.

Maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui pautan DOSM NextGen menyatakan bahawa banjir pada tahun 2022 melibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion di seluruh negara yang merangkumi kerosakan tempat kediaman dan kenderaan, premis perniagaan dan pembuatan, infrastruktur serta aset awam.

Guni pasir yang diletakkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai penghalang limpahan air Sungai Batu di laluan siar kaki yang kerap dilanda banjir kilat.

Pada tahun 2024, diharapkan sebanyak 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi dengan kos sebanyak RM11.8 bilion di beberapa lokasi  tertentu akan dilaksanakan. Antaranya termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang, Pahan, Sungai Langat Fasa Dua, Selangor dan Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Memandangkan musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan tiba pada November 2023, penduduk yang tinggal berhampiran dengan pintu kunci air atau yang berhampiran muara sungai seharusnya lebih peka dengan perubahan cuaca. Jika dilihat paras air lebih tinggi daripada kebiasaan dan ketiadaan operator pintu air, laporkan dengan segera kepada JPS supaya operator dapat hadir dan mengendalikan pintu air.

Di samping itu, terdapat juga kejadian vandalisme yang melibatkan pintu kunci air. Ada beberapa kes peralatan tertentu seperti stereng pintu kunci air yang diambil atau dicuri. Kejadian seperti itu menjadi antara faktor pintu kunci air gagal dioperasikan dan menimbulkan masalah berbangkit. Penulis juga ingin mencadangkan agar nombor telefon pihak berkuasa dipamerkan di pintu kunci air bagi membolehkan penduduk untuk membuat laporan berkaitan vandalisme dan memberikan maklumat paras air semasa kecemasan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.