Oleh Normah Awang
25 Oktober 2023, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Webinar berkaitan dengan bahaya psikososial di tempat kerja anjuran Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA) Student Chapter, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, UKM yang diadakan secara dalam talian menerusi platform Webex memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta tentang bahayanya psikososial terhadap kesihatan mental dan fizikal pekerja.

Program yang disertai oleh 210 orang peserta itu terdiri daripada pelajar dan pekerja dari dalam dan luar UKM bukan sahaja memberikan pemahaman yang lebih jelas dalam pelaksanaan pencegahan dan strategi kawalan untuk mengurangkan risiko psikososial di tempat kerja, malah membantu semua peserta untuk memahami hak pekerja bagi menangani bahaya psikososial di tempat kerja.

“Bahaya psikososial di tempat kerja semakin hari semakin bertambah akibat pelbagai faktor dalaman dan luaran, jadi pekerja haruslah mengambil berat mengenai masalah ini dan segera bertindak apabila berhadapan dengan risiko psikososial tersebut,” kata Pengerusi webinar berkenaan, Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang menyampaikan ucapan alu-aluan pada permulaan sesi webinar.

Sementara itu, wakil dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) merangkap pakar teknikal dalam bidang psikososial, Puan Siti Nurani Hassan yang diundang sebagai penceramah dalam webinar berkenaan mendefinisikan bahaya psikososial merujuk keadaan pengurusan kerja, konteks organisasi dan sosial di tempat kerja yang berpotensi menyebabkan bahaya kepada psikologi atau fizikal serta mempengaruhi kesejahteraan psikososial pekerja termasuklah keupayaan mereka untuk berinteraksi dengan orang lain.

Puan Siti Nurani Hassan berkongsikan ilmu mengenai bahaya psikososial di tempat kerja terhadap kesihatan mental dan fizikal pekerja.

Menurut beliau, suasana persekitaran di tempat kerja yang toksik, gangguan seksual di tempat kerja, tindakan buli, bekerja secara syif dan sebagainya adalah antara contoh bahaya psikologi yang boleh memberikan kesan terhadap kesejahteraan psikologi seseorang.

Webinar yang berlangsung selama empat jam itu membincangkan tiga topik menarik, iaitu berkaitan dengan bahaya psikososial dan kesannya terhadap kesihatan mental pekerja; bahaya psikososial yang sering berlaku di tempat kerja; serta strategi mencegah dan mengawal untuk menghapuskan atau meminimumkan risiko bahaya psikososial di tempat kerja.

Puan Siti Nurani Hassan menjelaskan bahawa terdapat pelbagai kaedah atau aktiviti yang boleh dilakukan oleh majikan di tempat kerja masing-masing bagi membantu menangani masalah pekerja yang mengalami tahap tekanan yang tinggi dan tanggungjawab untuk menjadikan persekitaran di tempat kerja lebih kondusif dan harmoni haruslah dipikul bersama-sama.

Sesi soal jawab antara para peserta dengan penceramah ketika webinar berlangsung.

Webinar tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah dan sesi bergambar bersama-sama peserta program.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.