16 Oktober 2023, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Garis panduan dan kod etika khas dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dijangkakan dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada awal tahun hadapan bagi meningkatkan keselamatan siber dan memastikan keselamatan data peribadi pengguna lebih terjamin.

Demikian antara inti pati perbincangan yang dikongsikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia.

Menurut beliau, MOSTI bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya sektor kesihatan, pendidikan dan agensi kerajaan lain bagi membangunkan teknologi AI dan memastikan pengguna tidak menyalahgunakan teknologi tersebut.

Jelas beliau, berdasarkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana  Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari Jumaat lalu, inisiatif penubuhan Fakulti AI yang pertama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta merupakan tindakan yang bijak kerana institusi pengajian tinggi ini bekerjasama dengan MOSTI dalam membangunkan Pelan Tindakan AI.

UTM adalah antara institusi terulung dalam bidang AI dan diharapkan dapat melahirkan pengekod yang berkemahiran dan mampu mengaplikasikan pelbagai kaedah terkini dalam memastikan keselamatan siber.

Tambah beliau, hal ini adalah selaras dengan sasaran di bawah Pelan Tindakan AI yang bermatlamat untuk melahirkan 10 000 pengekod di negara ini menjelang tahun 2025.

Mengulas lebih lanjut, satu persidangan berkaitan dengan teknologi AI akan dilaksanakan pada 17 Oktober 2023 hingga 18 Oktober 2023 di Bangsar yang mengumpulkan para pakar AI dari Malaysia, Singapura, China, Indonesia dan United Kingdom bagi berkongsikan kaedah dan pengetahuan terkini tentang AI dan lebih memfokuskan penggunaan AI dalam bidang pertanian dan kesihatan.

Malaysia telah melengkapkan tujuh daripada sembilan parameter dalam Indeks Inovasi Global dan kejayaan ini merupakan satu peningkatan usaha yang baik.

Pada akhir rancangan, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia adalah antara negara yang terbaik di Asia Tenggara dalam persediaan dan pembangunan infrastruktur AI dan hal ini dibuktikan melalui pencapaian Malaysia yang berada pada kedudukan 30 teratas dalam indeks kesediaan AI di dunia sekali gus menarik minat pelbagai syarikat berteknologi tinggi untuk melabur di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.