12 Oktober 2023, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran sebanyak 10 000 petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) di seluruh negara menjelang tahun 2025, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menyediakan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) bagi mempercepat proses penyediaan infrastruktur EVCB yang selamat dan lengkap di lokasi strategik.

Pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan pelan pembangunan dan pertimbangan terhadap permohonan kebenaran merancang, pelan bangunan atau permit pembinaan bagi EVCB perlu menggunakan GPP EVCB yang disediakan.

“Garis panduan perancangan tersebut adalah terpakai untuk pembangunan sedia ada dan pembangunan baharu yang merangkumi aspek perancangan dan reka bentuk bagi penyediaan EVCB mengikut jenis peranti pengecasan, iaitu peranti jenis arus ganti (AC) atau peranti jenis arus terus (DC) yang mematuhi ketetapan Guide on Electric Vehicle Charging System (EVCS) 2021 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga,” kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, penyediaan EVCB perlu mematuhi syarat yang terdapat dalam Garis Panduan Keselamatan Kebakaran bagi Pemasangan EVCB di Premis oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Antara aspek perancangan dan reka bentuk dalam GPP EVCB termasuklah lokasi dan peletakan EVCB, bilangan keperluan EVCB, saiz EVCB, suis pengasingan elektrik utama, sistem semburan automatik atau sistem pengesan kebakaran automatik jenis haba, kedudukan EVCB dari pili bomba dan sebagainya.

Sementara itu, bagi mempermudah proses permohonan pemohon bagi pemasangan EVCB di bangunan sedia ada, terdapat empat inisiatif proses kelulusan pelan di PBT yang telah digariskan, iaitu praperundingan dengan pembekal utiliti (Tenaga Nasional Berhad); tempoh kelulusan adalah antara tujuh hari hingga 14 hari dan tertakluk kepada jenis peranti, reka bentuk dan lokasi; penurunan kuasa kepada jabatan memperaku, iaitu Jabatan Kawalan Bangunan PBT atau Jabatan Kejuruteraan PBT; serta pelaksanaan kaedah pengaturan diri (self regulation) oleh perunding bertauliah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.