Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Paku gajah atau Angiopteris evecta (G. Forst.) Hoffm. merupakan paku-pakis terestrial atau paku-pakis yang mendiami kawasan daratan. Spesies ini cenderung untuk tumbuh di hutan tropika dan subtropika, terutamanya di kawasan lembap dan teduh;  hutan tanah rendah hingga tanah tinggi; dan hutan primer yang tidak terganggu.

Paku gajah biasanya ditemukan tumbuh berhampiran dengan sungai atau sumber air yang terdapat kelembapan dan tanah yang subur. Spesies ini dinamakan paku gajah kerana saiznya yang agak besar bagi pokok paku-pakis.

Paku gajah merupakan spesies pakis yang berasal dari Asia Tenggara, khususnya Indonesia dan Papua New Guinea. Kedua-dua negara ini merupakan kawasan utama spesies ini ditemukan secara semula jadi.

Paku gajah juga boleh ditemukan di Semenanjung Malaysia, terutamanya di kawasan yang teduh, tidak terlalu panas dan mendapat lindungan daripada tumbuhan lain. Spesies ini juga mempunyai julat geografi yang luas, iaitu dari Madagascar, India, Sri Lanka, Bhutan, Bangladesh, China, Asia Tenggara, Australia, Melanesia, Micronesia dan Polynesia.

Paku gajah boleh mencapai ketinggian hingga dua meter. Tumbuhan ini mempunyai pulvinus yang merupakan ciri unik bagi spesies ini, krozier dan batang yang bersisik.

Pulvinus (a), krozier (b), batang (c), fron atau daun steril (d) dan daun fertil dengan sporangia (e).

Sporangia paku gajah yang merupakan struktur yang mengeluarkan spora berkembang di sepanjang sisi tepi permukaan abaksial fron atau daun. Paku gajah membiak melalui penyebaran spora dan juga melalui pembahagian rizom.

Secara tradisional, masyarakat orang asli di Malaysia menggunakan akar spesies ini untuk mengubati penyakit beri-beri dengan meminum air rebusan akar bersama-sama kacang hijau. Selain itu, rizom dan akar tumbuhan ini apabila dikunyah bersama-sama halia serta sirih pernah digunakan untuk merawat individu yang keracunan.

Di Indonesia, daripada lima subetnik suku Batak di Sumatera Utara, tiga subetnik menggunakan daun spesies paku-pakis ini sebagai sumber tumbuhan ubatan. Subetnik Batak, Simalungun menggunakan daun paku gajah untuk merawat ulser, manakala subetnik Batak, Phakpak dan Batak Toba menggunakannya untuk merawat ulser dan demam.

Bagi Orang Minangkabau di Kampung Simpang Alahan Mati, Semenanjung Sumatera Barat, mereka menggunakan air rebusan pulvinus untuk merawat sembelit. Selain itu, daun yang ditumbuk digunakan untuk mengubati masalah gatal oleh suku Mentawai di Pulau Siberut, Sumatera Barat.

Orang Sunda dan orang Jawa Barat menggunakan ekstrak daun paku gajah untuk merawat ulser melalui penggunaan bahagian daun yang ditumbuk hingga lumat untuk menyembuhkan luka, lebam dan menggalakkan pertumbuhan rambut.

Di Semenanjung Malaysia, daun paku gajah ditumbuk dan ekstraknya dimakan untuk menyembuhkan batuk. Air rebusan akar digunakan untuk menahan pengeluran darah selepas keguguran dan sebagai tonik.

Daun paku gajah juga digunakan untuk merawat disentri, manakala sporanya digunakan untuk rawatan menyembuhkan kusta dan penyakit kulit. Suku Temuan Kampung Ulu Kuang, Chemor, Perak menggunakan rizomnya yang ditumbuk dan dicampurkan dengan minyak kelapa untuk rawatan jangkitan kurap tinea versikolor, manakala air rebusan daripada akar paku gajah digunakan untuk merawat penyakit hematochezia.

Di Thailand, rizom yang direndam digunakan untuk merawat cirit-birit oleh komuniti Mien di Kampung Sancharurn, Wilayah Nan, Thailand. Air rebusan daripada rizomnya digunakan untuk mengubati kusta oleh pengamal perubatan di sekitar Khao Luang Wilayah Bukit Gunung, Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand.

Banyak kumpulan sebatian kimia yang telah direkodkan bagi daun paku gajah. Antaranya termasuklah alkaloid, karbohidrat, flavonoid, monoterpenoid, polifenol, saponin, seskuiterpenoid, steroid, triterpenoid dan kuinon.

Spesies ini juga menunjukkan pelbagai bioaktiviti, termasuklah antibakteria, antikanser, antikeguguran rambut, antituberkulosis dan antioksidan. Ekstrak akar, rizom dan daun juga merekodkan aktiviti antikulat terhadap Aspergillus niger dan antibakteria terhadap Staphylococcus aureus dan Escherichia coli.

Bagi masyarakat Serampas Jambi, Sumatera, paku gajah tergolong dalam kategori tumbuhan uras. Uras merujuk kumpulan tumbuhan yang digunakan untuk upacara khas masyarakat di Sumatera seperti untuk memberkati sesuatu projek, melindungi seseorang, ternakan dan tanaman daripada pelbagai gangguan roh jahat dan penyakit. Pakis ini juga digunakan untuk tujuan ritual merawat hasil padi yang berpenyakit bersama-sama 12 spesies uras yang lain.

Sementara itu, suku Karen di Chiang Mai dan Wilayah Chiang Rai, Thailand Utara menggunakan akar atau rizom sebagai sebahagian daripada ubat tonik untuk gajah.

Nilai Ekonomi Paku Gajah

Nilai landskap dan hiasan luar

Angiopteris evecta sering digunakan sebagai tanaman hiasan di negara tropika. Morfologi daunnya yang besar dan unik serta bentuk silaranya yang menarik menjadikan tumbuhan ini sesuai sebagai tanaman hiasan.

Nilai estetika hiasan dalaman

Paku gajah juga sesuai sebagai tanaman hiasan dalaman bangunan dan ditanam di dalam pasu. Pakis ini juga boleh diusahakan untuk industri tanaman hiasan secara komersial.

Nilai ekologi

Paku gajah mempunyai nilai ekologi dalam menjaga keseimbangan ekosistem hutan tropika. Spesies paku gajah mempunyai kemampuan untuk menahan tanah dan mencegah tanah runtuh.

Nilai tradisional

Beberapa kumpulan masyarakat adat menggunakan paku gajah untuk acara tradisional atau budaya.

Paku gajah juga diancam kepupusan kerana penebangan hutan. Maka itu, usaha perlu dilakukan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan spesies ini. Pemuliharaan spesies ini merupakan satu daripada nilai tambah dalam mengekalkan kepelbagaian biologi negara ini.

Penanaman paku gajah di taman botani juga boleh dilakukan sebagai satu daripada usaha pemuliharaan spesies ini. Oleh hal yang demikian, segala usaha perlu dipertimbang untuk memulihara dan memelihara spesies ini supaya tidak terancam dengan kepupusan akibat eksploitasi hutan dan penggunaan secara berlebih-lebihan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.