1 Oktober 2023, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan rekod bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), sebanyak tiga stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 53 stesen merekodkan status kualiti udara pada tahap sederhana, manakala bacaan IPU di 12 stesen berada pada tahap tidak sihat, sekali gus menunjukkan kualiti udara di negara ini mengalami kemerosotan.

Antara 12 stesen yang menunjukkan bacaan IPU tidak sihat termasuklah stesen di Seberang Jaya, Pulau Pinang (IPU 110), Taiping, Perak (IPU 118), Tasek, Perak (IPU 106), Tanjung Malim, Perak (IPU 106), Batu Muda, Kuala Lumpur (IPU 151), Cheras, Kuala Lumpur (IPU 155), Putrajaya (IPU 115), Kuala Selangor, Selangor (IPU 153), Petaling Jaya, Selangor (IPU 153), Shah Alam, Selangor (IPU 142), Nilai, Negeri Sembilan (IPU 126) dan Johan Setia, Selangor (IPU 139).

“Peningkatan bacaan IPU yang mengakibatkan jerebu di kebanyakan kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak adalah disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku di bahagian selatan Sumatera dan bahagian tengah dan selatan Kalimantan, Indonesia,” kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, sebanyak 52 titik panas dikesan di Sumatera, 264 titik panas dikesan di Kalimantan dan tiada titik panas dikesan di negara ini berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre yang berpusat di Singapura.

Tambah beliau, satu daripada usaha untuk menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara ialah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi tinggi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

Beliau juga menasihatkan semua pemilik tanah agar memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah pencegahan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Berdasarkan Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, denda tidak melebihi RM500 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pihak yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka dan kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan yang dilakukan.

Mengulas lebih lanjut, kerjasama daripada orang ramai untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian 1-800-88-2727 amat diperlukan.

Masyarakat juga boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan semasa jerebu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.