29 September 2023, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada hari ini, kebanyakan daripada kita sering mendengar atau melihat mengenai produk “detoks” atau penyahtoksikan yang laris diiklankan melalui media sosial dan kaca televisyen. Produk seumpama juga telah menjadi trend pada masa kini bagi sesetengah individu yang berminat dengan kesan yang diberikannya.

Istilah “detoks” yang sering digunakan dalam kalangan masyarakat merujuk proses penyahtoksikan atau penyingkiran bahan toksik daripada badan. Produk ini dipasarkan sebagai cara untuk membersihkan badan daripada bahan toksik melalui perubahan gaya hidup atau makanan tambahan.

Tidak dinafikan bahawa kebelakangan ini terdapat lambakan produk penyahtoksikan dalam pasaran yang dipromosikan secara meluas melalui pelbagai kaedah. Produk ini juga mudah didapati di kedai jamu, pasar raya, farmasi, kedai dalam talian atau pembelian melalui agen tertentu.

Terdapat beberapa sebab mengapa seseorang itu mudah tertarik dengan produk detoks. Antara alasan yang biasa didengarkan termasuklah keinginan untuk menurunkan berat badan.

Kebanyakan individu menganggap bahawa produk penyahtoksikan merupakan cara yang cepat untuk menurunkan berat badan dan menyingkirkan lemak badan yang tidak diinginkan. Terdapat juga dakwaan bahawa produk penyaktoksikan yang dipasarkan boleh meningkatkan tahap tenaga dan meningkatkan kesejahteraan badan secara keseluruhan.

Sesetengah individu juga percaya bahawa produk penyahtoksikan boleh membantu untuk meningkatkan penghadaman. Sekiranya masalah ini dapat diatasi, gejala masalah pencernaan seperti kembung perut dan sembelit dapat dipulihkan dengan baik.

Selain itu, kebanyakan orang mempercayai bahawa bahan atau suplemen tertentu yang terdapat dalam produk detoks mungkin mempunyai ciri antiradang. Kelebihan ini dilihat boleh mengurangkan keradangan dalam badan dan meningkatkan tahap kesihatan.

Sesetengah individu juga mungkin beralih kepada penggunaan produk penyahtoksikan sebagai cara untuk memulakan diet baharu atau melakukan perubahan gaya hidup seperti menjadi vegan atau mengamalkan pengambilan jus berbanding dengan amalan pemakanan secara lazim.

Walaupun sesetengah individu mungkin mendapat manfaat jangka pendek daripada penggunaan produk penyahtoksikan, namun terdapat bukti saintifik yang terhad bagi menyokong manfaatnya untuk jangka masa panjang. Oleh hal yang demikian, sebelum seseorang itu merancang untuk mengambil produk penyahtoksikan atau mengamalkan diet penyahtoksikan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

 

Sistem Penyahtoksikan Semula Jadi Badan

Kebanyakan pengeluar produk penyahtoksikan mendakwa bahawa produk mereka bertindak dengan menyingkirkan bahan toksik di dalam badan secara melawaskan pembuangan sisa kotoran di dalam usus, sekaligus memberikan kesan kesihatan yang lebih baik. Walhal, badan manusia mempunyai sistem penyahtoksikan semula jadi.

Hati dan buah pinggang mempunyai mekanisme yang hebat untuk menyingkirkan bahan toksik. Dengan bantuan enzim, hati membantu menukarkan bahan kimia larut lemak dan bahan toksik menjadi lebih larut di dalam air supaya mudah dikumuhkan oleh buah pinggang melalui air kencing.

Oleh hal yang demikian, pengambilan air yang mencukupi adalah penting bagi membantu proses penyahtoksikan badan. Air juga tidak memberikan kesan sampingan terhadap badan, mudah didapati dan murah.

Bahan toksik juga boleh digabungkan dengan bahan kimia lain di dalam hati untuk menghasilkan sebatian yang kurang toksik yang boleh dihapuskan dengan selamat. Tempoh proses metabolisme dan perkumuhan sesetengah sebatian berlangsung selama beberapa jam selepas pengambilannya. Namun begitu, sesetengah sebatian seperti plumbum, merkuri, dan bahan pencemar organik kekal akan terkumpul di dalam tisu badan atau darah.

Meskipun terdapat kajian yang menyatakan bahawa sesetengah bahan di dalam produk penyahtoksikan seperti ketumbar, asid malik (terdapat di dalam anggur), asid sitrik (terdapat di dalam buah sitrus), asid suksinik (terdapat di dalam epal dan beri biru), pektin sitrus (terdapat dalam kulit dan pulpa buah sitrus) dan klorela (sejenis alga hijau) mampu menyingkirkan logam toksik. Namun begitu, kebanyakan kajian tersebut dilakukan terhadap haiwan. Pada masa ini, kajian terhadap manusia masih terhad dilakukan.

Kandungan Produk Penyahtoksikan dan Risiko Kepada Kesihatan

Produk penyahtoksikan lazimnya mengandungi beberapa bahan berasaskan laksatif (bahan yang merangsang pembuangan air besar), diuretik (bahan yang merangsang pembuangan air kecil),  vitamin, mineral dan makanan pembersih (cleansing food). Bahan dalam produk penyahtoksikan adalah berbeza-beza dan bergantung pada produk dan jenama tertentu.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bahan yang biasanya terdapat dalam produk detoks termasuklah ekstrak herba daripada bunga-bungaan (seperti susu tisel, dandelion, adas dan birch), akar (seperti burdock dan likoris) serta dedaun (seperti teh hijau, sena dan gelenggang); vitamin dan mineral seperti vitamin C dan magnesium; probiotik dan enzim pencernaan; suplemen serat seperti sekam psilium atau biji rami; dan ekstrak buah jamun dan jambolan yang biasanya terdapat dalam produk penyahtoksikan Ayurveda.

Yang lebih membimbangkan, sesetengah produk penyahtoksikan mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Kebanyakan bahan yang digunakan bersifat laksatif atau diuretik. Laksatif atau julap merupakan bahan yang merangsang untuk pembuangan air besar.

Antara contoh bahan yang bersifat laksatif termasuklah bunga adas, sekam psilium dan daun sena. Sementara itu, bunga birch, dandelion, akar burdock dan teh hijau merupakan antara bahan bersifat diuretik.

Penggunaan produk penyahtoksikan yang mengandungi bahan tersebut secara kerap atau berlebihan akan menyebabkan seseorang itu kerap ke tandas. Sekiranya keadaan ini berlarutan, seseorang itu berpotensi mengalami penyahhidratan dan gangguan elektrolit dalam badan.

Penyahhidratan menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti sakit kepala, pening dan keletihan. Selain itu, pengambilan bahan yang berasaskan herba tertentu boleh mengganggu keseimbangan gula dalam darah, tekanan darah dan untuk jangka masa panjang, masalah tersebut boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.

Kekurangan Nutrien Penting

Sesetengah produk penyahtoksikan mungkin kekurangan nutrien penting seperti protein, asid lemak dan mikronutrien tertentu.  Sebagai contohnya, pengambilan produk penyahtoksikanyang perlu melibatkan perubahan diet seperti hanya meminum jus, sekatan diet yang melampau, berpuasa yang berlebihan, mengehadkan atau menghapuskan makanan tertentu daripada diet yang akan menyebabkan badan kekurangan nutrien penting dari semasa ke semasa, berlakunya dehidrasi serta ketidakseimbangan elektrolit. Antara nutrien yang sering berisiko mengalami kekurangan termasuklah protein, kalsium, zat besi dan vitamin B12 jika diet tersebut tidak dirancang dengan betul.

Bagi penghidap penyakit kronik seperti diabetes, pesakit seharusnya lebih cakna sebelum menggunakan produk penyahtoksikan atau melakukan perubahan diet. Misalnya, perubahan diet yang dramatik seperti berpuasa atau mengehadkan pengambilan makanan tertentu boleh membahayakan pesakit diabetes.

Hal ini dikatakan demikian kerana diet penyahtoksikan yang tidak dirancang dengan betul berkemungkinan menyebabkan kekurangan jumlah karbohidrat atau pembahagian karbohidrat yang tidak sekata dalam sehari dan boleh menyebabkan pesakit diabetes mengalami hipoglisemia. Jika anda merupakan penghidap penyakit kronik, pastikan anda berunding dengan profesional penjagaan kesihatan seperti doktor atau pegawai dietetik sebelum menggunakan produk penyahtoksikan atau membuat perubahan besar dalam tabiat pemakanan.

Menjanjikan 1001 Kebaikan

Kebanyakan produk penyahtoksikan membuat tuntutan berlebihan atau palsu tentang manfaatnya seperti mampu menyembuhkan diabetes, darah tinggi, hiperkolesterolemia, kanser dan pelbagai penyakit serius lain.

Satu daripada tuntutan utama produks detoks ialah produk ini mampu menurunkan berat badan. Meskipun munasabah bahawa pengambilan produk detoks melalui perubahan diet mampu menyumbang kepada pengurangan pengambilan kalori dan menghasilkan kesan penurunan berat badan jangka pendek, namun terdapat bukti saintifik yang terhad bagi menyokong diet ini dapat mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang.

Kajian pada tahun 2015 mendapati bahawa diet penyahtoksikan menggunakan jus boleh menyebabkan penurunan berat badan, lemak tubuh dan ketahanan insulin yang disebabkan oleh pengambilan kalori yang rendah dan bukan disebabkan diet penyahtoksikan semata-mata.

Kajian lain pada tahun 2017 yang membandingkan penurunan berat badan antara diet penyahtoksikan dengan diet Mediterranean pula mendapati bahawa penurunan berat badan lebih banyak berlaku dalam kumpulan yang mengamalkan diet Mediterranean.

Hasil dapatan yang sama bagi kajian pada tahun 2020 yang mendapati bahawa kumpulan yang mengamalkan diet pengehadan kalori mengalami penurunan berat dan jisim lemak lebih banyak berbanding kumpulan yang mengamalkan diet penyahtoksikan.

Terdapat juga trend di mana individu mengamalkan pengambilan telur dengan tujuan menurunkan berat badan. Telur merupakan sumber baik bagi protein, namun telur juga mengandungi kolesterol.

Ulasan sistematik yang terkini mengenai pengambilan telur terhadap berat badan dan komposisi badan dalam kalangan individu dewasa merumuskan bahawa pengambilan telur tidak memberikan kesan yang ketara terhadap berat badan, indeks jisim tubuh (IJT), ukur lilit pinggang dan jisim bebas lemak jika tiada pengehadan kalori di dalam diet. Walau bagaimanapun, bagi individu yang mengamalkan pengehadan kalori dan diet sihat, pengambilan telur memberikan kesan pengurangan IJT yang signifikan.

Sebagai kesimpulannya, perubahan gaya hidup dengan mengamalkan diet yang seimbang, melakukan aktiviti fizikal dan berhenti merokok merupakan kaedah penjagaan kesihatan yang lebih baik, berkesan dan selamat.

Namun begitu, jika anda masih ingin menggunakan produk penyahtoksikan atau mengamalkan diet penyahtoksikan, anda perlu lebih cakna, melakukan penyelidikan terhadap produk tersebut dan berunding dengan profesional penjagaan kesihatan yang boleh memberikan bimbingan tentang keselamatan dan keberkesanan produk atau diet tersebut berdasarkan keperluan individu.

 

Nannee Marlia Jaafar, Pegawai Dietetik Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Pelajar Pascasiswah, Pemakanan Klinikal, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf, Pensyarah, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.