27 September 2023, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memandu merupakan tugasan kompleks yang melibatkan gabungan fungsi atau komponen visual, kemahiran fizikal dan persepsi kognitif. Gabungan fungsi atau komponen ini penting untuk memastikan pemanduan yang selamat, terutamanya dalam kalangan pemandu warga emas.

Namun begitu, peningkatan usia menyebabkan penurunan dalam ketiga-tiga fungsi atau komponen ini, walaupun dalam kalangan warga emas yang sihat. Perubahan fungsi yang berkaitan dengan usia ini boleh menyebabkan kesukaran pemanduan dan menurunkan prestasi pemanduan.

Di Amerika Syarikat, satu daripada enam warga emas dianggarkan mempunyai masalah penglihatan. Antara penyakit mata berkaitan usia yang menyebabkan masalah penglihatan termasuklah degenerasi makular berkaitan usia, glaukoma dan katarak.

Di Malaysia, katarak merupakan punca utama masalah penglihatan dalam kalangan golongan warga emas yang berumur 50 tahun ke atas. Katarak ialah penyakit mata yang menyebabkan kekaburan kanta mata secara beransur-ansur akibat penuaan. Kehadiran katarak menyebabkan tahap penglihatan dan kepekaan kontras berkurangan secara perlahan-lahan.

Individu dengan penglihatan normal (kiri) berbanding dengan penglihatan yang mengalami katarak pada peringkat awal (tengah) dan katarak teruk (kanan).
(Sumber: Penuaan Sihat dan Kesejahteraan 2020)

Tahap penglihatan boleh ditakrifkan sebagai ketajaman dan kejelasan penglihatan dalam melihat sesuatu objek. Tahap ini boleh dinilai dengan ujian ketajaman penglihatan menggunakan carta Snellen.

Tahap penglihatan minimum yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia ialah 6/12 yang diuji tanpa atau dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti kaca mata atau kanta sentuh. Selain itu, penentuan keluasan medan penglihatan, rabun warna, rabun malam dan penglihatan berganda juga mempengaruhi piawaian pemeriksaan perubatan dalam menentukan keseluruhan fungsi penglihatan.

Pelbagai perubahan berkaitan proses penuaan boleh mempengaruhi kemampuan pemandu warga emas untuk memandu dengan selamat.

Bagaimanakah penglihatan warga emas yang mengalami masalah katarak? Warga emas dengan masalah katarak mengalami kekaburan penglihatan seolah-olah terdapat asap atau kabus di hadapan mata mereka.

Keadaan ini boleh menjejaskan aktiviti harian warga emas, termasuklah tugas berkaitan pemanduan seperti membaca papan tanda, melihat objek di bawah keadaan kontras rendah dan melihat kenderaan di lorong bersebelahan. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan prestasi pemanduan dan meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya semasa hujan, waktu puncak, keadaan lalu lintas yang sibuk, sewaktu membuat pusingan dan memandu di jalan persekutuan atau lebuh raya.

Kelayakan permohonan Lesen Belajar memandu (LDL) berbeza mengikut kelas dan minimum umur yang ditetapkanĀ  adalah berumur melebihi 16 tahun untuk kelas A, B2, B dan C. Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula dinaik taraf daripada lesen percubaan “P” setelah tamat tempoh percubaan selama dua tahun.

Pemegang lesen CDL tertakluk kepada sistem mata demerit 15 mata Sistem Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), iaitu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya, sebelum lesen pemanduan mereka digantung atau dibatalkan.

Sistem memperbaharui lesen memandu di Malaysia tidak memerlukan pemandu untuk menjalani penilaian kesihatan mata secara umum, kecuali untuk Lesen Memandu Vokasional (GDL, PSV dan Konduktor). Keadaan ini membolehkan orang awam meneruskan pemanduan walaupun mempunyai tahap penglihatan dan kepekaan kontras yang rendah.

Situasi ini berbeza dengan negara lain seperti di Kesatuan Eropah. Di sana, pemandu warga emas perlu menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui lesen memandu.

Prosedur pelesenan khas ini berbeza-beza antara negara. Sebagai contohnya, di United Kingdom dan Belanda, Sijil Kecergasan Perubatan untuk Memandu (MFTD) diperlukan apabila pemandu mencapai umur 70 tahun. Di Perancis, Iceland, Norway dan Latvia pula, ujian semula MFTD pertama diperlukan apabila pemandu mencapai usia 60 tahun. Sebaliknya, Portugal memerlukan ujian semula MFTD apabila pemandu mencapai umur 40 tahun, iaitu pada usia paling muda, berbanding dengan negara lain yang memerlukan ujian semula MFTD.

Pada masa ini, hanya tahap penglihatan jauh dan penglihatan warna diuji semasa permohonan lesen memandu. Sekiranya pihak berwajib dapat mempertimbangkan kepekaan kontras dan pemeriksaan penglihatan secara berkala sebagai satu daripada kriteria semasa memohon atau memperbaharui lesen memandu, hal tersebut amat wajar dilakukan.

Warga emas digalakkan mendapatkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun oleh ahli optometri bertauliah. Hal ini adalah untuk memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mata sentiasa berada dalam keadaan baik.

Selain itu, warga emas boleh mengelak ketidakselesaan dan mata kering dengan tidak menghalakan penyaman udara kereta terus ke muka. Sekiranya mata letih dan masih berasa kering, warga emas disarankan menggunakan ubat titis air mata palsu sebagai pengganti air mata untuk menyegarkan mata.

Untuk mengurangkan kesensitifan terhadap cahaya, warga emas digalakkan memakai kaca mata hitam dengan pelindung sinar ultraungu untuk menapis cahaya matahari ketika panas terik. Pemakaian kacamata berwarna amber (kekuningan) juga membantu meningkatkan kontras penglihatan ketika hujan dan sesuai dipakai untuk mencegah silau pada waktu malam.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pemandu warga emas disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata secara komprehensif sekurang-kurangnya setahun sekali oleh ahli optometri bertauliah sebelum memperbaharui lesen memandu. Tindakan ini dapat memastikan jalan raya menjadi tempat yang selamat bagi semua pengguna.

Dr. Mohd Harimi Abd Rahman, Pensyarah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nur Adibah Yahaya, Pegawai Optometri, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.