27 September 2023, 01:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Anugerah Persatuan Sains dan Matematik Malaysia (PERSAMA) 2023 telah menyaksikan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kekal utuh selaku penerbit berwibawa dalam berkongsikan ilmu dalam bidang sains dan matematik menerusi hasil penulisan buku dan rencana yang berjaya memenangi Hadiah Sanjungan dalam dua kategori, iaitu Buku Karya Asli dan Rencana Popular bagi anugerah tersebut.

Buku Amos Graphic: Permodelan Persamaan Struktur telah berjaya merangkul Hadiah Sanjungan bagi kategori Buku Karya Asli hasil penulisan Pensyarah di Jabatan Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan, YBrs. Dr. Haji Alias Hussain dan Pensyarah di Jabatan Sains dan Sosial, IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan, YBrs. Dr. Hajah Hartini Husain.

Secara ringkasnya, buku tersebut merupakan buku yang membincangkan konsep asas matematik yang terlibat dalam permodelan persamaan struktur (SEM) seperti analisis korelasi, regresi dan kovarian dan sesuai dijadikan sebagai bahan rujukan kepada pengguna baharu bagi SEM dan Amos Graphic kerana disertakan dengan beberapa contoh dan boleh dipraktikkan dengan menggunakan perisian yang berkaitan.

YBrs. Dr. Haji Alias Hussain dan YBrs. Dr. Hajah Hartini Husain.

Menurut YBrs. Dr. Haji Alias Hussain, beliau berasa bersyukur, gembira dan terkejut kerana tidak menyangka bahawa karya yang dianggap biasa itu berjaya memenangi anugerah berprestij tersebut dan merakamkan sekalung penghargaan kepada rakan seperjuangannya, YBrs. Dr. Hajah Hartini Husain dan Puan Nik Azianna Haji Khairudin selaku editor kerana bertungkus-lumus menyiapkan buku berkenaan hingga peringkat akhir.

Ketika mengulas mengenai cetusan idea untuk menghasilkan buku tersebut, beliau berkata:

Idea untuk menulis buku ini tercetus setelah saya menamatkan pengajian  pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2016 dan proses penulisan buku itu turut dibantu apabila saya menyertai Bengkel Gabungan Penulis Muda yang diterajui oleh mantan Timbalan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, YBrs. Dr. Abdullah Yussof dengan usaha sama DBP serta Dr. Hajah Hartini Husain yang banyak menyumbang kepakaran semasa penerokaan dan susun atur konsep bagi kaedah SEM.

Pada ketika itu, buku dalam bahasa Melayu dalam bidang ini tidak banyak dan memandangkan saya telah meneroka bidang ini selama dua tahun serta boleh dikatakan telah menguasai perisian IBMM Amos Graphic, saya berasa rugi jika pengetahuan yang dimiliki ini tidak dibukukan dan boleh dimanfaatkan kepada semua penyelidik yang menggunakan kaedah SEM, terutamanya pelajar pada peringkat Sarjana dan PhD serta pensyarah universiti.

Dari segi cabaran pula, beliau cuba menghasilkan buku yang mampu melepasi kriteria yang disarankan oleh panel penilai dan berusaha menghadapi tempoh yang lama bagi menerbitkan buku berkenaan.

Apabila disoalkan mengenai cara untuk membahagikan masa antara kerjaya sebagai seorang pensyarah dengan aktiviti penulisan, beliau tidak meletakkan satu tekanan untuk menulis dan hanya melaksanakannya secara santai dengan peruntukan masa satu jam sehari bagi membuat rujukan terhadap teks utama konsep SEM, menyusun dan menulisnya.

Nasihat saya kepada rakan penulis, jika meneroka sesuatu ilmu, kita tidak boleh meninggalkan aktiviti penerokaan itu lebih daripada tiga hari bagi mengelakkan hilang fokus dan kesinambungan idea semasa menulis.

Sementara itu, YBrs. Dr. Hajah Hartini Husain turut berasa bersyukur kerana diberikan peluang untuk bersama-sama rakannya, YBrs. Dr. Haji Alias Hussain dalam menyiapkan buku Amos Graphic: Permodelan Persamaan Struktur walaupun melibatkan tempoh yang agak panjang, iaitu selama 18 bulan, termasuklah mengemas kini manuskrip berdasarkan penambahbaikan daripada panel penilai.

Tambah beliau, dunia penulisan merupakan satu daripada cara untuk meningkatkan kompetensi dirinya dengan meneroka dan mengikuti pelbagai bengkel menganalisis data, terutamanya kaedah Amos Graphic dan SEM sekali gus dengan kepakaran yang dimilikinya, beliau menerima tawaran untuk menjadi penulis buku itu.

Apabila ditanya tentang ciri penting yang perlu ditekankan ketika menghasilkan sesuatu penulisan bagi menarik perhatian pembaca untuk terus membaca buku tersebut, beliau berpandangan bahawa buku yang dihasilkan haruslah ringkas, mudah difahami dan menepati keperluan pembaca.

Bagi saya, untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, kita perlulah mengkaji keperluan pembaca dan menulis mengikut kepakaran diri masing-masing serta memperuntukkan sedikit masa untuk aktiviti penulisan pada setiap hari.

Kedua-dua penulis buku Amos Graphic: Permodelan Persamaan Struktur yang memenangi Anugerah PERSAMA 2023 bergambar bersama-sama editor buku tersebut, Puan Nik Azianna Haji Khairudin (kiri).
YBrs. Dr. Malathi Letchumanan, pemenang Anugerah Hadiah Sanjungan bagi Kategori Rencana Popular dalam Anugerah PERSAMA 2023 yang mempertaruhkan hasil penulisannya bertajuk “Kriptologi Primitif Menjamin Keselamatan Data” (Dewan Kosmik, Disember 2022).

Seterusnya, anugerah bagi Kategori Rencana Popular telah dimenangi oleh YBrs. Dr. Malathi Letchumanan dengan hasil penulisannya yang bertajuk “Kriptologi Primitif Menjamin Keselamatan Data” yang berjaya disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik keluaran Disember 2022.

Beliau yang merupakan Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia berkongsikan rahsia sumber inspirasi penulisannya adalah berdasarkan output daripada hasil kajian yang dilakukan dan memastikan setiap penulisan beliau mampu memberikan manfaat kepada orang ramai sekiranya dikongsikan bersama-sama.

Ujar beliau lagi, selain menjadikan majalah Dewan Kosmik sebagai medan penulisan rencana popular beliau yang pertama, beliau juga menulis artikel jurnal dan prosiding.

Bagi individu yang berminat untuk menulis dan mahu melibatkan diri dalam dunia penulisan, saya menyarankan anda supaya merajinkan diri untuk menulis dan berkongsikan output menarik daripada penyelidikan yang dijalankan demi kebaikan bersama.

Selain dua kategori yang dimenangi oleh penulis buku dan majalah terbitan DBP itu, kategori lain yang turut dipertandingkan dalam Anugerah PERSAMA 2023 termasuklah Tesis Sarjana/Doktor Falsafah, Buku Karya Terjemahan, Makalah Ilmiah dan Reka Cipta Matematik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.