18 September 2023, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bekalan beras di negara ini masih mencukupi walaupun terdapat sedikit kenaikan harga pada beras import yang menyebabkan peningkatan permintaan terhadap beras tempatan serta memberikan peluang kepada pesawah di seluruh Malaysia untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dan hasil negara.

Menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia, Ketua Pengarah, Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Azman Mahmood telah berkongsikan maklumat berkenaan dengan isu harga dan status bekalan beras pada masa ini yang disebabkan oleh keputusan kerajaan India untuk menghentikan eksport beras, sekali gus memberikan impak yang besar kepada seluruh dunia termasuklah Malaysia memandangkan negara tersebut merupakan penyumbang sebanyak 40 peratus eksport beras dunia.

“Peningkatan paras harga beras dunia daripada 400 dolar hingga 500 dolar kepada 620 dolar telah mendorong penyelarasan harga mengikut pasaran dunia dibuat pada 1 September,” ujar YBhg. Datuk Azman Mahmood ketika ditemu bual dalam rancangan televisyen itu secara dalam talian.

Ketua Pengarah, Pengawalan Padi dan Beras, KPKM, YBhg. Datuk Azman Mahmood (kanan) ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia secara dalam talian.

Menurut beliau, kerajaan telah menjalankan beberapa langkah intervensi bagi menangani masalah tersebut seperti penganjuran sesi dialog bersama 157 pengilang padi di seluruh negara untuk memberikan tumpuan kepada pengeluaran beras tempatan. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah sebanyak 20 peratus pengedaran beras diserahkan kepada pihak kerajaan untuk diuruskan.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang berusaha untuk menambah bekalan beras di pasar raya, memberikan potongan harga terhadap beras import untuk tujuan perniagaan dan menambah sebanyak 1400 bekalan beras di saluran keluar (outlet) Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, termasuklah di pasar tani bagi membantu rakyat mendapatkan beras.

Jelas beliau, KPKM menjangkakan bekalan beras tempatan akan banyak dalam pasaran bagi tempoh satu hingga dua bulan ini dengan adanya langkah intervensi tersebut.

Untuk pelan jangka masa panjang, projek berskala besar diperkenalkan, iaitu Projek Padi Sekinchan agar dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi dan amalan penanaman padi di Sekinchan dapat diperluas ke seluruh negara.

Selain itu, program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun merupakan inisiatif yang dilakukan oleh KPKM dan dirancang dilaksanakan di seluruh negara bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.

Penggunaan teknologi turut dipraktikkan seperti penggunaan Internet benda dan dron untuk meracun dan penaburan benih serta memastikan sistem pengairan dan keadaan tanah diteliti dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan pengeluaran beras bagi setiap hektar tanah.

Mengulas lebih lanjut, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM1.8 bilion subsidi kepada pesawah, manakala Kerajaan Negeri melalui Exco Pertanian telah menguruskan hal ehwal zon tanah padi bagi memastikan keterjaminan makanan di negara ini.

Pada akhir sesi perkongsian tersebut, beliau menyatakan bahawa kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri amat penting dalam menangani isu pengeluaran beras negara, terutamanya dalam urusan penggunaan tanah secara optimum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.