15 September 2023, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketika dunia bergantung pada bunyi, kesunyian boleh mengundang kesepian, terutamanya bagi individu yang dilahirkan dengan masalah pendengaran yang ketara. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, satu daripada lima individu di seluruh dunia mengalami masalah pendengaran dan angka ini dijangkakan meningkat kepada satu daripada empat individu pada tahun 2050.

Walau bagaimanapun, teknologi perubatan moden mempunyai potensi untuk mengubah kehidupan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami masalah kehilangan pendengaran yang serius, iaitu dengan melakukan implan koklea.

Dalam rencana ini, Pakar Perunding Otorinolaringologi (ENT), Otologi, Neurotologi, Bedah Kepala, Leher dan Pangkal Tengkorak, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, YBrs. Dr. Shailendra Sivalingam berkongsikan perihal implan koklea, kepentingan menerima intervensi awal, manfaat transformasi yang ditawarkan dan peranan kumpulan sokongan dalam membimbing ibu bapa, ahli keluarga serta pesakit bagi mengembalikan semula pendengaran mereka.

Penyelesaian yang Mengubah Kehidupan Pesakit Masalah Pendengaran

Implan koklea membolehkan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami gangguan pendengaran merealisasikan impian mereka untuk mendengar menjadi kenyataan. Implan koklea terdiri daripada komponen dalaman dengan elektrod yang dimasukkan ke dalam koklea dan komponen luaran bertindak menangkap bunyi serta menghantarkannya kepada implan. Keadaan ini melalui koklea yang rosak, mengubah tenaga bunyi menjadi isyarat elektrik yang merangsangkan saraf pendengaran dan membolehkan individu menerima bunyi.

Selain itu, implan koklea banyak memberikan manfaat kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pemasangan implan koklea sebelum usia lima tahun dapat memberikan kesan yang mendalam terhadap perkembangan pendengaran kanak-kanak dan memberikan kelebihan sepanjang hayat kepada kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut.

Implantasi awal adalah penting terhadap perkembangan pendengaran kanak-kanak kerana keupayaan mereka untuk belajar dan memahami pertuturan akan berkurangan selepas berumur empat tahun hingga lima tahun. Oleh itu, pemasangan implan koklea sebelum usia lima tahun membolehkan mereka mendapat pendidikan dan kemahiran sosial yang sepadan dengan rakan sebaya mereka yang boleh mendengar.

Proses Pembedahan dan Pemulihan Implan Koklea

Proses daripada pembedahan kepada fasa pemulihan dan terapi boleh menjadi panjang dan mencabar, namun memberikan kesan yang positif terhadap kehidupan seseorang sepanjang hayat. Pesakit dan keluarga mereka boleh mendapatkan sokongan daripada pakar terapi di pusat pertuturan dan pendengaran pada peringkat awal didiagnos hilang pendengaran, iaitu sewaktu memilih alat bantuan pendengaran yang sesuai untuk kanak-kanak sebelum melakukan implantasi koklea dan semasa proses pemulihan.

Di samping itu, peranan juruaudiologi dan ahli terapi pertuturan sepanjang tempoh pemulihan dan terapi pesakit juga sangat penting. Apabila pesakit dibenarkan untuk menjalani pembedahan, mereka akan menjalani prosedur pembedahan untuk memasang implan koklea di bawah bius penuh. Pembedahan ini melibatkan penempatan rangkaian elektrod dalaman ke dalam koklea.

Selepas pembedahan, pesakit akan mula melakukan pemetaan dengan juruaudiologi selama enam bulan hingga lapan bulan, yakni ahli terapi akan menyesuaikan tetapan pada implan koklea untuk mengoptimumkan pendengaran dan pertuturan pesakit.

Sementara itu, proses pemetaan secara berkala dapat memastikan keupayaan pendengaran dan pertuturan kanak-kanak bertambah baik dari semasa ke semasa, terutamanya apabila mereka semakin membesar.

Terdapat kes seorang wanita muda yang berusia 30-an telah kehilangan pendengaran secara perlahan-lahan, namun setelah melakukan pembedahan implan koklea, wanita tersebut berupaya pulih dengan cepat dan kini dapat mendengar dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang tidak dapat dilakukannya sebelum ini. Kini, beliau menjadi inspirasi kepada pesakit lain yang sedang mempertimbangkan pembedahan implan koklea.

Sistem Sokongan yang Kuat

Masalah kehilangan pendengaran boleh mencetuskan tekanan emosi kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang menghadapi masalah berkenaan. Semakin awal dirawat, hasilnya akan lebih baik. Apabila ibu bapa dimaklumkan bahawa anak mereka memerlukan pembedahan implan koklea atau mengalami masalah pendengaran yang teruk pasti menyebabkan mereka terkejut.

Pada kebiasaannya, ibu bapa akan cuba untuk menidakkan perkara tersebut dan berasa takut sehingga menyebabkan rawatan tertangguh. Dalam beberapa kes, apabila ibu bapa ingin mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka, peluang untuk menjalani pemasangan implan koklea itu sangat tipis disebabkan oleh kelewatan dalam mendapatkan rawatan.

Selain itu, kumpulan sokongan dan testimoni peribadi dapat membantu ibu bapa dan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan implan koklea. Mereka dapat memberikan sokongan emosi, panduan yang praktikal dan berkongsikan pengalaman yang pernah dilalui bagi membantu keluarga lain dalam menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan cara kehidupan baharu.

Sebagai kesimpulannya, bantuan implan koklea telah menyebabkan perubahan yang besar dalam kehidupan seseorang. Intervensi pada peringkat awal dan sokongan daripada pengamal perubatan profesional membolehkan individu yang mengalami masalah pendengaran kini dapat menikmati kemerduan suara dan keasyikan bunyi yang mampu mengubah dunia mereka menjadi sebuah simfoni yang penuh keceriaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.