7 September 2023, 14:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hati ialah organ dalaman terbesar bagi manusia dan terlibat dalam pelbagai proses fisiologi utama badan. Dari aspek perubatan, hati berperanan penting dalam proses metabolisme ubat-ubatan. Fungsi ini dapat memastikan bahan aktif yang terkandung dalam kebanyakan ubat dimetabolismekan agar menjadi kurang aktif sebelum dikumuhkan daripada badan.

Namun demikian, terdapat beberapa kumpulan ubat yang boleh menyebabkan kecederaan pada tisu hati. Pada kebiasaannya, keadaan ini berlaku apabila sesuatu ubat itu diambil pada dos yang tinggi atau secara berterusan tanpa sebarang pemantauan.

Kecederaan pada tisu hati inilah yang dikenali sebagai kesan hepatotoksisiti. Masalah ini berisiko mengakibatkan kerosakan yang kronik pada hati dan seterusnya menyebabkan kegagalan fungsi hati.

Ubat-Ubatan yang Berisiko Menyebabkan Kesan Hepatotoksisiti

Kesan hepatotoksisiti berkemungkinan berpunca daripada tindak balas yang dihasilkan oleh bahan aktif atau metabolit ubat terhadap sel dan tisu pada hati. Metabolit ialah hasil daripada proses metabolisme ubat.

Mekanisme tindak balas yang mengakibatkan kesan hepatotoksisiti adalah berlainan dan lazimnya bergantung pada laluan metabolisme sesuatu ubat. Antara ubat yang berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti termasuklah:

(a) Paracetamol

Paracetamol adalah antara ubat yang paling biasa digunakan sebagai ubat demam atau analgesik. Kesan hepatotoksisiti yang dikaitkan dengan Paracetamol berpunca daripada metabolit yang terhasil daripada proses metabolisme ubat ini. Tindak balas metabolit dengan komponen di dalam sel hati akan menghasilkan radikal bebas yang seterusnya menyebabkan kecederaan pada tisu hati.

Pengguna harus lebih berhati-hati apabila menggunakan Paracetamol kerana ubat ini terdapat dalam beberapa bentuk sediaan. Hal ini dapat meningkatkan risiko dos berlebihan tanpa disengajakan yang berkemungkinan menyebabkan kerosakan hati.

(b) Ubat antiepileptik

Ubat antiepileptik digunakan untuk mengawal epilepsi atau lebih dikenali sebagai sawan. Sebagai contohnya, ubat antiepileptik yang boleh menyebabkan kesan hepatotoksisiti ialah Phenytoin, asid valproik, Lamotrigine dan Carbamazepine.

Kesan hepatotoksisiti yang berpunca daripada pengambilan ubat tersebut disebabkan oleh dua mekanisme utama, iaitu melalui penghasilan metabolit yang toksik dan tindak balas alergi terhadap tisu hati.

(c) Ubat antibiotik

Ubat ini digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Beberapa jenis ubat antibiotik yang berisiko mengakibatkan kesan hepatotoksisiti termasuklah Erythromycin, Ciprofloxacin, Nitrofurantoin, kombinasi Amoxicillin dan Clavulanate serta kombinasi Sulphamethoxazole dan Trimethoprim. Ubat antibiotik juga merangkumi ubat untuk rawatan tuberkulosis seperti Isoniazid, Rifampicin dan Pyrazinamide.

Mekanisme yang menyebabkan kesan hepatotoksisiti selepas penggunaan antibiotik sukar dijelaskan secara terperinci dan bergantung pada keadaan individu itu sendiri. Sebagai contohnya, komponen Clavulanate didapati menjadi penyebab kepada kesan hepatotoksisiti selepas pengambilan ubat kombinasi Amoxicillin dan Clavulanate.

Sementara itu, Nitrofurantoin dan Isoniazid pula mengakibatkan kesan hepatotoksisiti melalui penghasilan metabolit dan radikal bebas yang berbahaya kepada tisu hati.

Bagi Pyrazinamide pula, risiko untuk mendatangkan kesan hepatotoksisiti berlaku berkadar langsung dengan dos yang diambil, manakala kesan hepatotoksisiti bagi Erythromycin tidak dipengaruhi oleh dos dan tempoh pengambilannya.

Selain kumpulan ubat yang dinyatakan, terdapat beberapa kumpulan ubat lain yang berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti. Antaranya termasuklah ubat antikulat, ubat untuk rawatan aritmia (denyutan jantung tidak normal), ubat antipsikiatri dan ubat untuk rawatan gout.

Panduan Penggunaan Ubat untuk Mengelakkan Kesan Hepatotoksisiti

Memandangkan kesan hepatotoksisiti yang berlarutan berisiko mengakibatkan kegagalan fungsi hati, ubat-ubatan yang telah dikenal pasti mampu menyebabkan kesan hepatotoksisiti hendaklah digunakan dengan lebih berhati-hati.

Secara lazimnya, doktor yang merawat akan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap pesakit yang perlu mengambil ubat-ubatan yang berisiko ini. Penilaian yang dilakukan termasuklah ujian fungsi hati sebagai satu daripada cara untuk mengetahui status fungsi hati.

Keputusan ujian fungsi hati tersebut dapat membantu doktor memilih ubat yang bersesuaian atau dos yang selamat untuk diambil oleh pesakit. Sekiranya ujian fungsi hati menunjukkan hati pesakit tidak berfungsi secara optimum, ubat-ubatan yang berisiko perlu digunakan dengan lebih berhati-hati.

Sebagai contohnya, dos ubat tersebut perlu diubah suai mengikut kaedah yang bersesuaian. Penggunaannya juga harus dipantau secara berterusan. Dalam hal ini, keputusan ujian fungsi hati berperanan penting sebagai panduan kepada doktor untuk menentukan sama ada ubat tersebut boleh terus diambil oleh pesakit ataupun perlu dihentikan selepas beberapa tempoh ubat berkenaan digunakan.

Pesakit pula hendaklah menggunakan ubat-ubatan yang diberikan mengikut dos dan kekerapan yang telah dipreskripsikan oleh doktor. Pesakit tidak seharusnya mengambil ubat pada dos yang lebih tinggi atau secara lebih kerap sehingga melebihi dos maksimum yang dibenarkan. Tindakan tersebut dikhuatiri akan meningkatkan risiko kesan hepatotoksisiti. Bahkan, perkara ini perlu lebih dititikberatkan dalam pengambilan ubat yang dikategorikan sebagai ubat am seperti Paracetamol.

Selain itu, pesakit dinasihatkan agar sentiasa membaca label setiap kali sebelum mengambil ubat bagi memastikan kesilapan pengubatan tidak berlaku. Membaca dan memahami label, terutamanya maklumat berkaitan dengan nama dan kekuatan ubat dapat mengelakkan pesakit daripada mengambil ubat yang mengandungi bahan aktif lalu menyebabkan kejadian terlebih dos tanpa disengajakan.

Pesakit juga disarankan agar sentiasa memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sebarang ubat-ubatan lain atau suplemen kesihatan yang sedang diambil, sekiranya ada. Selain ubat-ubatan, produk suplemen kesihatan juga dikhuatiri mengandungi bahan aktif yang berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti, misalnya herba black cohosh, dedalu dan senna.

Di samping itu, sejarah perubatan, terutamanya yang berkaitan dengan hati juga adalah antara maklumat penting yang harus dikongsikan oleh pesakit kepada doktor atau ahli farmasi. Begitu juga bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan bagi penyakit berkaitan dengan hati, maklumat tentang rawatan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada ahli profesional kesihatan. Kesemua maklumat berkenaan adalah penting bagi membolehkan doktor merancang pelan rawatan yang bersesuaian dan selamat dengan tahap kesihatan serta fungsi hati pesakit.

Sebagai kesimpulannya, jelaslah bahawa sesetengah ubat diketahui berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti kepada hati. Namun demikian, disebabkan oleh kegunaannya tetap diperlukan untuk mengawal dan merawat penyakit lain, ubat-ubatan ini masih perlu diambil mengikut dos dan peraturan yang telah ditetapkan. Pemantauan yang berterusan juga dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya kesan hepatotoksisiti. Bukan itu sahaja, komunikasi antara pesakit dengan ahli profesional kesihatan juga dapat membantu dalam perancangan rawatan yang lebih selamat.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Penulis: Nurul Nasrah Mohd Ariffin, Pegawai Farmasi, Klinik Kesihatan Padang Rengas, Perak. 

Disemak oleh: Siti Nurul Fathiah Baharudin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.