2 September 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pokok chaya atau nama saintifiknya Cnidoscolus aconitifolius ialah tumbuhan saka renek daripada famili Euphorbiaceae yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Pokok yang juga digelar spinach tree dalam bahasa Inggeris digunakan dalam perubatan tradisional di Amerika Utara seperti Mexico.

Pokok chaya.

Daun pokok chaya mempunyai ciri seperti pokok betik, namun batangnya bercabang seperti pokok ubi. Pokok ini juga sering disalah anggap sebagai pokok betik atau ubi.

Daun pokok chaya.

 

Cnidoscolus aconitifolius merupakan spesies daripada genus Cnidoscolus, famili Euphorbiaceae, order Malpighiales, kelas Magnoliopsida dan divisi Magnoliophyta. Pokok chaya mempunyai tulang daun yang jelas pada permukaan daun. Tumbuhan ini juga mempunyai batang yang pucat dan daun yang tumbuh silih berganti pada satu batang.

Batang pokok chaya yang kelihatan seperti pokok ubi.

Pokok chaya juga dipanggil pokok Ajinomoto kerana mempunyai sifat yang menyerupai serbuk perasa tersebut yang boleh memberikan rasa kepada makanan. Pokok ini telah dimanafaatkan sebagai perasa makanan semula jadi yang tidak memberikan kesan buruk jika digunakan dengan cara yang betul.

Pokok chaya memiliki beberapa keistimewaan dan kegunaan. Selain itu, pokok ini mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi seperti vitamin A, vitamin C, zat besi, kalsium, protein dan serat. Tumbuhan ini boleh dimanfaatkan sebagai tumbuhan yang membantu dalam penjagaan kesihatan tubuh badan dan mencegah berbagai-bagai-bagai penyakit.

Spesies pokok chaya mempunyai bahan antioksidan yang tinggi seperti flavonoid dan asid askorbik. Kehadiran bahan antioksidan ini membantu melindungi badan daripada radikal bebas yang terdapat di persekitaran.

Pokok chaya telah digunakan sebagai ubat tradisional oleh masyarakat di Amerika Tengah dan Amerika Selatan sejak dahulu lagi. Chaya digunakan untuk merawat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, gangguan pencernaan dan jangkitan saluran kencing.

Spesies ini mengandungi nilai perubatan kerana mempunyai sifat antimikrob, antidiabetik dan hepatoprotective yang mencegah daripada kerosakan hati akibat kehadiran toksin dalam badan. Chaya juga merawat keracunan parasetamol dalam badan, mengawal malnutrisi protein serta digunakan untuk merawat anemia.

Terdapat kajian yang membuktikan bahawa pokok chaya boleh merendahkan kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah di dalam badan dan seterusnya merawat obesiti dan tekanan darah tinggi. Di Mexico, tumbuhan ini digunakan secara meluas dalam rawatan tradisional untuk merawat demam, batu karang, gangguan gastrik, masalah mata dan masalah pernafasan.

Dalam aspek penyediaan juadah, pokok chaya digunakan sebagai bahan dalam masakan. Daun chaya boleh dimasak dan dimakan seperti sayur. Daunnya boleh direbus, ditumis atau dicampurkan dalam pelbagai hidangan seperti sup, masak tumis atau sos cili.

Antara jenis masakan yang menggunakan daun pokok chaya termasuklah masak lemak, sup sayur dan dijadikan sebagai ulam. Apabila dimasak, daun muda dan pucuk bayam pokok dimakan sebagai sayuran kerana kaya dengan protein, kalsium, zat besi, karoten, riboflavin, niasin dan asid askorbik.

Selain itu, daun chaya mengandungi vitamin C yang dikeluarkan oleh daun apabila direbus. Maka itu, air rebusan daripada daun chaya boleh dijadikan teh minuman ataupun sup.

Poko chaya mempunyai nilai ekonomi yang berpotensi untuk dikomersialkan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi petani dan pengeluar makanan. Pokok ini boleh ditanam dengan mudah dan daunnya boleh dijual sebagai sayuran atau diproses menjadi produk yang diproses seperti teh atau makanan tambahan.

Daun pokok chaya disarankan untuk dimasak terlebih dahulu kerana tumbuhan ini mempunyai kandungan hidrosianida glukosida (HCN) yang berbahaya jika dimakan begitu sahaja. Masa memasak yang diperlukan untuk menurunkan HCN kepada paras selamat adalah kira-kira 15 minit.

Bukan itu sahaja, tumbuhan ini boleh menyebabkan kegatalan dan masalah kulit jika terdedah kepada getahnya. Daunnya juga mempunyai bulu yang bersifat menyengat atau memberikan rangsangan tidak selesa kepada kulit jika terkena getah tumbuhan ini.

Walaupun begitu, tumbuhan ini tidaklah termasuk dalam kumpulan spesies tumbuhan yang berbahaya. Namun begitu, seseorang itu disarankan untuk memakai sarung tangan semasa menuai dan melakukan proses pemotongan pada mana-mana bahagian tumbuhan.

Pokok chaya boleh dibiakkan melalui keratan batang dan mudah ditanam walaupun di kawasan yang lembap dan kering. Spesies ini sangat tahan lasak, tahan kemarau dan boleh tumbuh di kawasan berpasir.

Pokok ini juga boleh tumbuh dengan baik dalam persekitaran, sama ada keadaan cerah mahupun teduh. Hal ini menjadikan spesies ini baik untuk sistem agroperhutanan.

Antara perkara yang perlu diambil kira ketika penanaman dan pembiakan pokok chaya termasuklah:

  1. Pembiakan poko chaya boleh dilakukan melalui keratan batang atau keratan daun.
  2. Bagi keratan batang, pilih batang yang sihat dan potong kira-kira 20 sentimeter dengan dua hingga tiga anak daun atau daun. Bagi keratan daun, potong kira-kira dua hingga tiga helai daun daripada batang.
  3. Pilih tanah yang subur. Kawasan tanaman juga perlu mendapat cahaya matahari yang cukup. Seelok-eloknya, pastikan tiada air yang bertakung di kawasan tersebut.
  4. Sediakan lubang tanaman dengan saiz lebih kurang 40 sentimeter x 40 sentimeter x 40 sentimeter dan jarak antara pokok lebih kurang 50 sentimeter hingga 60 sentimeter.
  5. Campurkan tanah dengan baja organik dan bahan organik lain seperti sekam atau kompos. Tanaman keratan batang juga boleh dilakukan di dalam medium tanaman yang diperbuat daripada campuran tanah, pasir dan baja organik.
  6. Tanam keratan batang atau anak benih pokok chaya pada kedalaman kira-kira dua sentimeter hingga tiga sentimeter dalam. Bagi daun pula, tanam tangkai daun ke dalam medium tumbuh yang sama seperti keratan batang.
  7. Tanaman harus disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perlu diberikan baja secara konsisten. Siraman yang kerap akan memastikan kelembapan medium tanaman dikekalkan.
  8. Pokok chaya mempunyai getah beracun di batang dan daunnya. Oleh itu, sebaik-baiknya gunakan sarung tangan semasa memotong dan menanam pokok chaya. Pastikan juga mana-mana bahagian yang terlalu tua atau rosak dikeluarkan atau dibuang untuk memastikan tumbuhan itu sihat dan produktif.

Sebagai kesimpulannya, pokok chaya mempunyai potensi besar sebagai sumber makanan dan perubatan tradisional yang mampu memberikan manfaat kesihatan dan ekonomi kepada manusia. Walau bagaimanapun, sebelum mengambil atau menggunakan mana-mana bahagian daripada pokok chaya, sebaik-baiknya nasihat pakar perubatan diambil kira dan perlu mendapat panduan daripada pengamal perubatan tradisional yang terlatih terlebih dahulu.

 

Profesor Madya Dr. Noraini Talip, Dr. Ahmad Fitri Zohari dan Puan Balqis Zainab Yasiman, Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.