Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDunia yang kita diami terus berkembang dengan penciptaan baharu pada setiap hari, seolah-olah tiada garis penamat untuk inovasi manusia. Walau bagaimanapun, kadangkala inovasi yang dilakukan lebih tertumpu kepada orang normal dan kurang memberikan perhatian kepada komuniti orang kurang upaya (OKU).
Mesin layan diri ialah satu daripada contoh manifestasi kebijaksanaan manusia dalam teknologi. Mesin layan diri komersial pertama yang pernah direkodkan dalam sejarah adalah pada abad ke-18 di England. Mesin ini menggunakan kotak yang digerakkan oleh duit syiling untuk menjual tembakau.
Selepas itu, penggunaan mesin layan diri beralih pula ke Amerika Syarikat, iaitu di bandaraya New York di kawasan kereta api bertingkat pada tahun 1888. Matlamat utama mesin layan diri ini adalah untuk menjual dan memasarkan gula-gula getah di kawasan yang tidak dapat dikunjungi selain kawasan tersebut tidak praktikal untuk mendirikan gerai jualan.
Landskap industri di Amerika Syarikat lebih banyak tertumpu kepada kepenggunaan dan kebendaan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an yang mendorong kepada kewujudan mesin layan diri gula-gula hingga tahun 1926. Selepas itu, diikuti dengan mesin layan diri untuk membeli rokok. Mesin minuman ringan yang pertama pula diperkenalkan pada tahun 1937.
Pada masa ini, mesin layan diri melanda dunia bak ribut taufan. Pelbagai jenis mesin layan diri terdapat di seluruh dunia, terutamanya dalam tempoh 10 tahun lalu.
Jenis barangan yang dijual di dalam mesin layan diri dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti budaya, persekitaran, agama dan kepercayaan yang berbeza-beza antara negara. Sebagai contohnya, mesin layan diri Gold to Go yang terletak di Pusat Beli-belah Dubai, Emeriah Arab Bersatu dikawal oleh pengawal bersenjata sepanjang hari. Mesin layan diri ini mengeluarkan emas 24 karat dalam pelbagai bentuk seperti syiling, barang kemas, bar dan emas.
Selain itu, terdapat mesin layan diri untuk membeli ketam hidup di Nanjing, Wilayah Jiangsu, China. Mesin ini diletakkan di stesen bawah tanah yang menawarkan ketam hidup dengan harga ¥20 RMB ($3.27) seekor yang bersamaan dengan RM12.78. Mesin ini akan diisikan semula dengan ketam hidup pada setiap hari.
Di samping itu, terdapat juga mesin layan diri untuk membeli kek cawan (Beverly Hills, California, Amerika Syarikat), mesin layan diri untuk memperoleh susu mentah (Eropah), mesin layan diri untuk mendapatkan kentang goreng (Rusia) dan mesin layan diri yang menjual arak dan sake (Jepun).
Di Malaysia pula, mesin layan diri yang terdapat di negara ini lebih tertumpu kepada makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi kerabu, makanan serta minuman ringan.
Mesin minuman ringan layan diri dengan Braille di Malaysia mula diperkenalkan pada November 2021. Mesin ini merupakan projek jangka masa panjang hasil kerjasama antara ATLAS Vending, pengendali mesin layan diri yang terbesar di Asia Tenggara dengan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB). Mesin ini ialah mesin yang pertama di Malaysia dilengkapi dengan plat Braille.
Ketua Bahagian Pemasaran dan Sampingan Perniagaan, ATLAS Vending, Amy Gan menyatakan bahawa maklum balas dan cadangan daripada MAB pada setiap peringkat diperhalusi untuk memastikan produk akhir mesin minuman layan diri ini benar-benar mesra pengguna, khususnya kepada golongan yang cacat penglihatan.
Mesin layan diri dengan Braille dapat memenuhi keperluan OKU penglihatan dan bukan OKU di Malaysia. Mesin layan diri jenis ini dilengkapi dengan tiga ciri utama, iaitu memberikan maklumat tentang penggunaan peranti, memancarkan cahaya diod pancaran cahaya (LED) untuk membantu golongan OKU penglihatan dan mempunyai plat Braille pada mesin bagi membolehkan golongan tersebut mengenal pasti harga dan jenis sesuatu produk.
Mesin layan diri minuman ringan dengan Braille terdapat di sembilan lokasi berdasarkan Peta Transit Bersepadu Lembah Klang. Empat daripada mesin layan diri tersebut berada di laluan Kelana Jaya, manakala lima mesin lagi terdapat di laluan Ampang. Daripada sembilan lokasi ini, satu daripadanya terletak di KL Sentral yang merupakan pusat tumpuan kepada semua hab pengangkutan di Lembah Klang.
Stesen kereta api yang mempunyai mesin layan diri minuman ringan dengan Braille adalah seperti yang berikut:
Mesin layan diri minuman ringan dengan Braille dan mesin layan diri minuman ringan biasa kelihatan sama. Namun begitu, perkara yang menjadikan mesin layan diri minuman ringan dengan Braille lebih bersifat unik ialah mesin ini mempunyai suara untuk memberikan arahan dan maklumat tentang cara melakukan transaksi pembelian.
Suara tersebut akan diaktifkan secara automatik apabila sesiapa sahaja yang mendekati mesin layan diri berkenaan disebabkan oleh pengaktifan penderia gerakan. Bukan itu sahaja, kelajuan arahan semasa menggunakan peranti dan membuat proses transaksi juga diselaraskan pada kadar yang perlahan daripada kebiasaan. Oleh itu, individu yang cacat penglihatan dapat mengikuti arahan tersebut dengan lebih mudah.
Seterusnya, mesin layan diri minuman ringan dengan Braille akan memancarkan lampu LED pada peranti untuk membantu golongan OKU penglihatan mencari butang yang betul berdasarkan cahaya atau warna yang dipancarkan. Tempat untuk memasukkan wang kertas, duit syiling dan tempat mengambil air minuman juga dilengkapi dengan cahaya LED.
Terdapat dua jenis warna butang pada mesin layan diri minuman ringan dengan Braille. Butang berwarna kuning menunjukkan pembayaran secara tunai, manakala butang berwarna biru menunjukkan pembayaran tanpa tunai. Ciri ini dapat membantu OKU penglihatan dan memudahkan proses daripada membuat pesanan hingga membuat pembayaran.
Mesin layan diri minuman ringan dengan Braille turut dilengkapi dengan plat Braille. Ciri ini bertujuan memudahkan golongan OKU penglihatan memilih jenis minuman yang dikehendaki di samping dapat membaca harga produk tersebut.
Walau bagaimanapun, mesin layan diri minuman ringan biasa tidak menawarkan ciri ini. Sebaliknya, mesin tersebut hanya mempunyai butang untuk memilih jenis minuman yang pembeli mahukan.
Berdasarkan pemerhatian penulis, mesin layan diri minuman ringan dengan Braille diletakkan di kawasan laluan dan tumpuan orang awam, sama ada di dalam atau di luar stesen kereta api. Selain itu, mesin layan diri ini juga diletakkan berhampiran dengan pondok rehat pemandu LRT.
Oleh hal yang demikian, penulis beranggapan bahawa kewujudan mesin layan diri minuman ringan dengan Braille adalah disebabkan oleh faktor keselamatan dan meringankan beban golongan OKU penglihatan. Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingin, orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut boleh membantu golongan berkenaan dengan segera.
Mesin layan diri minuman ringan biasa kadangkala mesindiletakkan di sudut bangunan atau lokasi yang agak terpencil daripada keberadaan orang ramai. Hal ini mungkin tidak menjadi suatu masalah bagi orang normal, namun bukan sesuatu yang ideal untuk golongan OKU penglihatan atas faktor keselamatan, terutamanya bagi golongan wanita.
Sebagai kesimpulannya, mesin layan diri minuman ringan dengan Braille diharapkan bukan sahaja boleh didapati di bandar besar, malah dapat diperluaskan penggunaannya di semua bandar di seluruh Malaysia, termasuklah di kawasan luar bandar.
Walaupun penambahbaikan ini memerlukan masa untuk dicapai, namun asas dan strategi permulaan bagi usaha ini telah dimulakan. Untuk mencapai matlamat tersebut, masyarakat haruslah saling bekerjasama untuk menjayakannya.
Hal ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menyatakan secara jelas bahawa golongan OKU tidak dipinggirkan dalam lima kategori SDG, iaitu pendidikan berkualiti, pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi, mengurangkan ketidaksamaan, menjadikan bandar dan petempatan masyarakat mampan serta menggiatkan kerjasama demi matlamat.