28 Ogos 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan membeli air yang dilabel sebagai air zamzam dalam pasaran tempatan kerana dikhuatiri minuman tersebut adalah tiruan dan tidak berlesen.

Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa KKM juga memberikan amaran dan melarang penjualan air zamzam dalam semua platform, sama ada secara fizikal ataupun secara dalam talian.

Tambah beliau, mana-mana peniaga atau pengedar yang masih mempunyai stok air zamzam diarahkan menghentikan serta-merta penjualan minuman itu dan seterusnya menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

KKM mengambil serius aduan yang diterima daripada orang ramai melalui beberapa sumber, termasuklah daripada media sosial berhubung dengan penjualan air yang didakwa air zamzam.

Menurut beliau, KKM telah mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan larangan penjualan air zamzam dalam pasaran serta isu air zamzam tiruan pada 6 Januari 2020 dan kali terakhir kenyataan berkenaan adalah pada 1 Julai 2022.

Lanjutan daripada itu, beliau menjelaskan bahawa air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Jelas beliau, kerajaan Arab Saudi didapati tidak mengeluarkan sebarang pengesahan berkenaan dengan hal ini kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

Beliau juga memaklumkan bahawa hasil aktiviti penguatkuasaan sejak tahun 2012 hingga kini, nilai rampasan terhadap air zamzam dalam pasaran adalah berjumlah RM83 618.20 selain KKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform secara dalam talian, termasuklah e-dagang.

Berdasarkan hasil pemantauan dalam media sosial sejak tahun 2021 hingga kini, sebanyak 63 iklan air berkaitan dengan penjualan air zamzam telah dipadamkan daripada media sosial.

Di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sementara itu, satu operasi serbuan khas yang dijalankan di sebuah pejabat pengurusan di Petaling Jaya, Selangor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor pada 23 Ogos lalu berjaya merampas 10 botol (lima liter) air zamzam bernilai RM1600 dan satu notis kesalahan di bawah Peraturan 360A (2) Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan.

Menerusi hasil operasi khas yang dijalankan di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pejabat Kesihatan Cheras, seorang individu didapati menjual produk air zamzam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian.

Susulan itu, sebanyak 83 botol (41.5 liter) air zamzam milik individu berkenaan yang bernilai RM2075 telah disita dan satu notis kompaun sebanyak RM3000 dikeluarkan berikutan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 360A Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Rampasan yang dilakukan ialah hasil maklumat daripada beberapa aduan yang diterima dan seterusnya Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), KKM melakukan siasatan dan risikan terperinci sehingga premis yang menjalankan aktiviti penjualan serta pengedaran air yang didakwa air zamzam itu ditemukan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh memperdayakan pengguna dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara ini boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau salurkan aduan melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam KKM atau Facebook rasmi BKKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.