22 Ogos 2023, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memastikan liputan imunisasi pertusis dalam kalangan kanak-kanak di negara ini kekal melebihi 95 peratus bagi mengurangkan risiko golongan tersebut daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

Pertusis atau batuk kokol ialah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis yang menjangkiti mulut, hidung dan tekak serta tersebar melalui udara semasa pesakit bersin ataupun batuk.

Gejala pertusis bukan sahaja melibatkan batuk yang teruk dan berpanjangan hingga dua bulan, malah boleh menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (sianosis) kerana kekurangan oksigen, sawan, radang paru-paru, radang otak dan kematian jika tidak mendapat rawatan awal.

“Pertusis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia, namun bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah antara golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit tersebut,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, setakat ini peningkatan kes pertusis yang berlaku selepas pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan adalah lebih rendah berbanding dengan purata tahunan bilangan kes pandemik COVID-19 sekali gus menunjukkan jangkitan pertusis semasa di negara ini adalah terkawal dan tidak membimbangkan.

Tambah beliau, kes pertusis yang berlaku di daerah Rompin, Pahang baru-baru ini melibatkan dua orang anak dan ibu mereka telah diberikan rawatan dan pesakit berada dalam keadaan stabil serta tiada kes baharu yang dikesan di sekitar kawasan tempat tinggal pesakit.

KKM sentiasa berwaspada dan mengambil langkah yang sewajamya untuk memastikan pertusis terus terkawal dan tidak menjadi masalah kesihatan utama di negara ini walaupun jangkitan penyakit berkenaan adalah terkawal.

Hingga 19 Ogos 2023, sebanyak 329 kes pertusis dengan 23 kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia, iaitu 219 kes (66.6 peratus) melibatkan warganegara, manakala 110 kes (33.4 peratus) lagi merupakan bukan warganegara.

Daripada jumlah kes berkenaan, kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi ialah bayi berumur bawah 12 bulan, yakni 189 kes (57.4 peratus), diikuti dengan kanak-kanak berumur antara satu tahun hingga hingga 10 tahun dengan 94 kes (28.6 peratus) dan selebihnya melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun dan ke atas.

Mengulas lebih lanjut, beliau menasihatkan agar ibu bapa perlu memastikan anak mereka mendapatkan imunisasi yang lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan dan sekiranya tercicir mendapatkan imunisasi tersebut, ibu bapa boleh membawa anak mereka ke klinik kesihatan yang berhampiran bagi melengkapkan imunisasi.

Vaksin pertusis di Malaysia diberikan kepada bayi berumur dua bulan, tiga bulan. lima bulan dan 18 bulan secara rutin dalam bentuk vaksin kombinasi enam serangkai difteria-tetanus-polio-hepatitis B-Haemophilus influenzae type b.

Bagi mencegah penularan jangkitan pertusis kepada orang lain, terutamanya kanak-kanak, individu yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin, iaitu dengan menutup mulut dan diikuti dengan mencuci tangan serta mendapatkan rawatan dengan segera jika mengalami gejala pertusis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.